Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:19 AM

Menjadi penasihat Petronas, LADA dan TDA

Pelantikan Mahathir gugat visi Abdullah

Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (Impak) menyifatkan pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai penasihat beberapa agensi awam dibawah Jabatan Perdana Menteri boleh menggugat visi pentadbiran baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pengerusinya, Mahfuz Omar berkata, pelantikan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) hanya akan melanjutkan penguasaan serta pengaruh bekas Perdana Menteri itu yang selama ini mempunyai rekod tidak cemerlang ke atas agensi-agensi terbabit.

"Perkara ini akan mewujudkan konflik antara pentadbiran Abdullah yang cuba membawa imej Islam, sifar rasuah dan telus dengan pentadbiran era Mahathir yang sering dipersoalkan dalam isu-isu yang melibatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan."

"Pelantikan ini juga akan dilihat bertujuan menafikan kewibawaan Abdullah dalam menentukan sendiri corak penmbangunan dan pentadbiran agensi yang berada di bawah beliau."

"Gagasan dan polisi baru Abdullah yang cuba ditonjolkannya pasti sukar dilaksanakan kerana penguasaan berterusan bekas Perdana Menteri ini," kata beliau, dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tambahan pula, kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, negara tidak boleh memaafkan perbuatan Dr Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya yang menggunakan wang Petronas untuk menyelamatkan beberapa syarikat yang mengalami kerugian.

Beliau menyenaraikan antara langkah-langkah yang menjadi sejarah pahit rakyat negara ini ialah Petronas diarahkan membeli 90% saham Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) bernilai dua bilion ringgit apabila syarikat itu mengalami kerugian akibat penyelewengan yang berlaku.

Seterusnya sejumlah RM982.4 juta dan RM1.15 bilion lagi wang Petronas terus disuntik apabila BBMB terus mengalami kerugian sehingga akhirnya Petronas sendiri terpaksa menaggung kerugian sebanyak RM1.857 bilion.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menambah, di bawah pentadbiran Dr Mahathir juga, sejumlah RM1.8 juta wang Petronas telah digunakan untuk membeli saham KWSP dalam MISC sebagai "bail-out" kepada MISC yang mengalami kerugian.

Selain itu kata beliau lagi, pada tahun 1998 penyelewengan juga berlaku apabila Petronas telah membeli 27.2% saham Proton bernilai RM981 juta di dalam DRB dengan nilai RM7.00 seunit walaupun ketika itu nilai semasa saham tersebut hanyalah RM3.50 seunit.

Sementara itu kata beliau, LADA dan TDA yang diwujudkan untuk membangunkan Pulau Langkawi dan Tioman juga menyerlahkan banyak kepincangan serta kelemahan yang ketara ketika Dr Mahathir masih menjadi Perdana Menteri.

"Langkawi berkembang menjadi pusat minuman keras dan peningkatan gejala sosial sehingga ke tahap kronik dan kini ia telah menjalar ke Pulau Tioman yang mula dikenali sebagai pusat baru untuk perjudian dan minuman keras."

"Penyelewengan juga berlaku dalam LADA pada tahun 1998 seperti yang disiarkan dalam laporan Ketua Audit Negara."

"Selain daripada pembangunan hotel dan pusat pelancongan, Langkawi tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dibanggakan sama ada dari sudut pembangunan kemanusiaan, perkembangan pendidikan, pertambahan sumber pendapatan, peningkatan kualiti hidup dan pengangan kepada nilai-nilai agama. Semuanya meluncur jatuh sepanjang pembangunannya di bawah era Dr Mahathir," tambahnya.