Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:14 AM

Kisah Khalil dapat 4,517 hektar tanah di Pahang ke BPR

Kesungguhan Perdana Menteri untuk membanteras rasuah teruji lagi apabila kisah Setiausaha Agung Umno, Datuk Khalil Yaakub mendapat tanah seluas 4,517.01 hektar di Pahang dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membolehkan badan itu menyiasat bagaimana ia boleh berlaku.

Laporan berkenaan dibuat oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang dari Barisan Alternatif baru-baru ini.

Pada 11 Disember lalu, Adun Jengka, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Adun Chini, Mohd Jafri Ab Rashid dan Adun Kuala Pahang, Mohd Iqbal Hamdi Rosdi membuat laporan berkenaan di Pejabat BPR di Wisma Persekutuan, Kuantan.

Laporan berkenaan adalah berkaitan dengan pendedahan yang dibuat oleh Adun Jengka di Dun Pahang dan disahkan ‘betul’ oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakub.

Salinan Rekod Ketuanpunyaan yang diserahkan kepada Ketua Unit Siasatan BPR Pahang, Wan Ramli Wan Abdullah mencatatkan nama bekas Menteri Besar dan dua orang timbalannya sebagai pemegang amanah.

Mereka ialah Datuk Haji Mohd Khalil bin Yaacob (no k/p 4067914), Datuk Haji Abd Rashid bin Abd Rahman (no k/p 0939462) dan Datuk Haji Hasan bin Ariffin (no k/p 530428-06-5189).

Tanah yang mempunyai hasil hutan itu terletak di mukim Kuala Kuantan. Kuantan, Pahang dengan nombor lotnya PT 18178.

Tuan Ibrahim dalam aduannya kepada BPR menggesa agensi berkenaan menyiasat sama ada tokoh-tokoh Umno berkenaan ada di dalam mesyuarat semasa meluluskan permohonan tanah tersebut.

Jika ada, mereka perlu diambil tindakan seperti mana yang pernah dikenakan ke atas Datuk Muslim di Kedah dan Datuk Harun Idris di Selangor.

Mereka tidak sepatutnya berada di dalam mesyuarat yang meluluskan tanah balak itu kepada mereka sendiri.

BPR juga diminta menyiasat cara hasil hutan itu dikeluarkan serta kepada siapa hasil itu dibayar.

Salinan Borang 11AK Kanun Tanah Negara mencatatkan cukai yang sepatutnya dibayar oleh mereka ialah sebanyak 158,099.00 setahun.

“Dalam suasana Perdana Menteri meminta BPR membongkar habis-habisan gejala rasuah, maka isu ini juga perlu dibongkar,” kata Adun Jengka itu.

Tambahnya, “Di Terengganu, baru sahaja wakil BN sebut (mengenai penyelewengan balak) di dewan (undangan negeri), BPR terus hantar wakilnya pergi siasat. Justeru kita meminta BPR Pahang mencontohi ‘kecekapan’ BPR Terengganu kerana perkara ini telah pun saya dedah dalam dewan pada Oktober lalu dan pada hari ini kita buat laporan rasmi.”

Adun Chini, Mohd Jafri Ab Rashid (keADILan) pula menegaskan bahawa wakil rakyat dilantik oleh rakyat, oleh itu laporan yang dibuat ini adalah laporan rakyat.

“Rakyat mahu mereka yang bersalah diheret ke muka pengadilan. Biar rakyat tahu siapa mereka yang sebenarnya,” katanya.

Sebagai tindak balas, wakil BPR berjanji akan menyiasat laporan berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Wan Ramli Wan Abdullah, BPR hanya mempunyai kuasa menyiasat dan menggeledah. Manakala kuasa mendakwa, bukan milik BPR.

Turut serta mengiringi wakil-wakil rakyat berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusuf Embong, Exco Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPP), Ustaz Suhaimi dan Timbalan Pengerusi Lajnah Peneroka dan Nelayan DPPP, Ustaz Aris Fezul Hj Ismail.

Sebelum beredar, mereka sempat bertemu secara tidak rasmi Pengarah BPR Negeri, Encik Rahim Mustakin yang sebelum itu tidak ada ketika laporan dibuat.