Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:14 AM

Kenyataan Naib Presiden Gerakan menghasut - Peguam

Seorang peguam membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu pada 17 Disember lalu, mendakwa kenyataan Naib Presiden Gerakan, Dr Tan Kee Kwong sebagaimana yang tersiar dalam New Straits Times pada 2 Disember 2003 sebagai menghasut.

Mohamad Rohan Mohamad Aziz dalam aduannya memohon pihak polis menyiasat kenyataan itu di bawah Akta Hasutan.

Antaranya kenyataan Dr Tan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Tanah dan Pembangunan Koperasi yang menggambarkan pentadbiran Kelantan dan Terengganu berbentuk teokrasi dan ekstremis.

Dr Tan mendakwa, langkah kedua-dua kerajaan negeri itu boleh menakut-nakutkan pelabur terutamanya peniaga Cina.

“Kenyataan beliau itu jelas menghasut dan mengaibkan secara jenayah serta menimbulkan ketegangan kaum yang menjejaskan keharmonian dan integrasi kaum di Malaysia,” lapor Rohan.

Rohan juga meminta polis menyiasat tuduhan Dr Tan yang berkata beliau menerima aduan bahawa kakitangan kerajaan Terengganu menerima gaji bulanan terlewat tiga bulan.

“Kenyataan ini mesti disiasat kerana boleh menimbulkan elemen-elemen menghasut serta membenci kepimpinan kerajaan Terengganu yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi,” kata Rohan dalam kenyataannya.

Rohan juga meminta polis menyiasat kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda MCA yang menggambarkan PAS berusaha menjejaskan keharmonian bangsa dan agama di Malaysia dengan mengumumkan dokumen Negaa Islam. – Ehsan Harakahdaily