Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:14 AM

P.Pinang: keADILan-DAP sedia berbincang

Kesediaan DAP tidak meneruskan ‘Kempen Tanjung’ di Pulau Pinang pada pilihanraya umum akan datang memungkinkan parti tersebut berbincang dengan parti keADILan bagi menentang Barisan Nasional (BN).

Menurut pengerusi keADILan Pulau Pinang, Dr. Mansur Othman, masih ada ruang untuk berunding berikutan bertambahnya kerusi parlimen dan negeri di Pulau Pinang.

“Kami berharap agar dapat menentang Barisan Nasional, satu lawan satu. Citarasa pengundi berbeza berbanding dengan pilihanraya umum lepas (1999).

“keADILan akan memberi tumpuan lebih kepada isu-isu komersial dan pembangunan Pulau Pinang seperti mendapatkan status pelabuhan dagangan bebas dan mempertingkatkan industri pelancongan,” ujar beliau di satu sidang media baru-baru ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata bahawa parti itu tidak akan memperjudikan kerusi Tanjung sebaliknya akan mengambil pendekatan yang lebih berkesan dengan berunding bersama keADILan.

Sementara itu, pemimpin DAP Pulau Pinang, Teoh Teik Huat berkata kempen kali ini ialah untuk memperkuatkan pakatan pembangkang khususnya di Pulau Pinang.

Apabila ‘Kempen Tanjung’ dilancarkan dahulu parti itu berjaya menawan 10 kerusi pada pilihanraya umum 1986 dan dan 14 kerusi pada tahun 1990, daripada 33 kerusi yang dipertandingkan.