Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:14 AM

ISA: Suhakam dinafi hak lawatan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa kem tahanan di Kamunting, Perak yang menafikan hak  Suhakam untuk melawat pelajar-pelajar yang kini ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan Jemaah Islamiah.

Ketua Jawatankuasa Kerja Aduan dan Pertanyaan Suhakam, Prof Mohd Hamdan Adnan berkata Seksyen 4 (3) Akta Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 memaktubkan bahawa pihak pengurusan kem tahanan tidak boleh menolak lawatan Suhakam.

“Ini adalah satu prosedur perundangan yang harus diikuti.  Usaha kami untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar tersebut gagal meski pun Akta Suhakam jelas memaktubkan hak melawat Suhakam,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Hamdan mengalu-alukan pembebasan empat pelajar yang ditahan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri pada 24 Nov lalu. Empat pelajar yang dibebaskan itu ialah Mohd Tarmizi Nordin, 16, Ahmad Muaz al Bakry, 21, Ahmad Firdaus Kamaruddin, 18, and Amin Ahmad, 20.

“Suhakam mengharapkan penilaian semula keputusan penahanan pelajar-pelajar yang masih ditahan. Khasnya Nurul Mohd Fikri Mohd Safar dan Faiz Hasan Kamarulzaman yang berumur hanya 17 tahun,” kata Hamdan.

Menurut beliau lagi, pihak kerajaan sepatutnya mematuhi syarat yang telah dimaktubkan dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khasnya dalam kes penahanan pelajar-pelajar tersebut.

Tambahnya, menurut undang-undang negara yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 segala penangkapan, penahanan dan penghakiman ke atas mereka yang berumur di bawah 18 tahun sepatutnya dilakukan berasaskan akta tersebut.

Ketika para peguam melawat pelajar-pelajar yang ditahan di Kamunting, mereka diawasi rapat oleh pegawai-pegawai kem tahanan.

Perkara yang sama berlaku semasa lawatan kedua dan para peguam terpaksa membuat laporan mebantah tindakan penguatkuasa kem tersebut.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) turut menyeru agar Suhakam mendesak pihak polis membenarkan pihak yang ditahan diberikan hak berjumpa dengan peguam mereka.