Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:15 AM

Undang-undang anti keganasan tak jelas - Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan peruntukan undang-undang anti keganasan yang baru diluluskan di Parlimen kerana merasakan ia juga boleh digunakan untuk menindas pihak pembangkang kerana definisinya yang tidak jelas.

Pindaan ke atas Kanun Kesiksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang baru diluluskan itu dikatakan bertujuan menjadikan kedua-dua undang-undang asas itu “lebih berkesan” dalam memerangi “keganasan”.

“Kita perlu ada pemahaman dan mengerti sebenarnya apa itu keganasan dan faham apakah tindakan yang berkaitan dengannya sejelas mungkin. Definisi “tindakan keganasan” yang termaktub dalam peruntukan tersebut adalah terlalu luas dan tidak jelas.

“Kami berharap tindakan politik yang sah seperti hak bersuara, berpiket atau berhimpun secara aman tidak akan dihukum di bawah akta sedemikian kerana intepretasi ke atas objektif dan bahasa yang termaktub dalam akta baru ini agak mengelirukan” jelas Setiausaha Suhakam, Kamaruddin Baria dalam kenyataan media Suhakam baru-baru ini.

Menurut Kamaruddin lagi, Suhakam amat prihatin terhadap pengubahsuaian rang undang-undang ini kerana ia “tidak selari dengan kanun kesiksaan yang telah sedia ada, iaitu terminologinya yang tidak jelas, penggunaan bahasa yang mampu merangkumi semua jenis kesalahan dan juga hukumannya yang serius.”

“Sebagai contoh, definisi seperti “serious bodily injury” amat tidak jelas sekali. Kami harap definisi yang telah sediapakai di Seksyen 320 Kanun Kesiksaan iaitu “grievous hurt” terus digunakan,” tambahnya.

Beliau juga  menjelaskan penggubalan akta ini juga tidak memberi penjelasan jelas,

khasnya dari segi kesalahan yang berkaitan dengan ancaman awam menggunakan bahan toksik kimia atau agen biologi lain.

Suhakam juga turut berpendapat hukuman yang dikenakan dalam pindaan akta tersebut “amat keterlaluan”.

Suhakam, yang ditubuhkan untuk memantau hak asasi manusia di negara ini, turut menegaskan bahawa perlunya pihak kerajaan mendapat nasihat dari Suhakam semasa membuat penggubalan perundangan.seperti yang termaktub dalam seksyen 4(1) , Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999. 

Menurut Kamaruddin, meskipun wujudnya keperluan menggubal undang-undang untuk menangani ancaman keganasan namun ia juga harus memastikan supaya undang-undang tersebut selaras dengan piawaian hak asasi antarabangsa.

“Justeru itu, Suhakam ingin menegaskan keperluan untuk pihak kerajaan mengadakan dialog dengan pihak Suhakam.

“Dengan ini, Suhakam dapat menjalankan tugasnya dan juga berbincang dengan kumpulan masyarakat lain sebelum  penggubalan undang-undang dibuat di parlimen,” tambahnya.