Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 11:57 AM

‘Pakatan’ dengan Pak Lah cerita karut - Anwar

Seruan Keadilan (SK) sempat menemubual Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sewaktu kes rayuan beliau didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 10 Disember 2003 lalu. Berikut kami siarkan sepenuhnya temubual tersebut.

SK: Apakah benar ura-ura mengaitkan kebebasan Saudara dengan apa-apa syarat politik?

DSAI : Sebarang percubaan untuk mengaitkan isu ikat jamin atau kebebasan saya dengan sebarang syarat politik adalah khianat dan zalim.  Fakta dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah berkaitan isu ikat jamin adalah kukuh. Bahkan penafian hak ke atas saya belum pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

Dalam sidang Mahkamah Rayuan pada 10 Disember 2003 lalu, kedua-dua pihak, peguam saya dan Peguam Negara telah mengaku bahawa keputusan Mahkamah Rayuan mempertikai wujudnya notis alibi adalah salah.  Sewajarnya saya dibebaskan atau Mahkamah memutuskan supaya diulang bicara.  Sebaliknya mereka menangguhkan lagi buat sekian kalinya.

Maka perlu saya tegaskan bahawa setelah dipenjara lebih lima tahun, adalah bertambah zalim bagi penguasa atau wakil mereka meneruskan muslihat politik kotor dan jahat untuk menafikan hak saya diikat jamin dan dibebaskan.

Saya ulangi penegasan awal mengenai keadilan kerana ia juga melibatkan ramai tokoh-tokoh lain yang teraniaya termasuk Irene Fernandez, Tian Chua, Ezam Mohd Noor, Azmin Ali yang menjadi mangsa mainan politik ganas yang menggunakan jabatan Peguam Negara dan Mahkamah.  Ratusan yang lain juga terlibat termasuk Sukma Darmawan di Penjara Kajang dan lain-lain mangsa tahanan ISA.

SK: Apakah Saudara bersedia mengadakan perundingan dengan pimpinan Umno?

DSAI:  Pada dasarnya saya tidak pernah menolak sebarang cadangan perundingan untuk kebaikan.  Dan saya percaya ini juga pendirian pimpinan keADILan.  Namun kita harus berwaspada dengan muslihat politik yang bertujuan untuk memerangkap, mengugut atau memberikan sogokan kepada mana-mana tokoh untuk memecahbelahkan.  Kita telah mengambil sikap yang sama tatkala Tun Dr. Mahathir mempelawa keADILan dan PAS untuk mengadakan perundingan.  Dalam isu tersebut ternyata Dr. Mahathir tidak ikhlas kerana permintaan PAS untuk membuktikan keikhlasan beliau tidak dapat ditunai.

Saya dimaklumkan mengenai wujudnya perbincangan tidak rasmi yang bersifat peribadi di kalangan beberapa pemimpin parti. Dan saya hormati pendirian dan ketegasan mereka menjelaskan kepada pemimpin Umno supaya meninggalkan cara angkuh, rasuah dan kezaliman yang dilakukan.  Inilah yang dimaksudkan dengan perubahan dan tidak setakat kenyataan atau retorik sahaja.

Adalah penting untuk penyokong parti dan reformis untuk memperolehi kenyataan yang benar dan tidak melayani fitnah dan prasangka yang akan melemahkan barisan kita.  Terdapat berita palsu yang disebarkan yang bertujuan memecahbelahkan barisan kepimpinan kita.  Ini termasuklah cerita karut kononnya yang melibatkan pakatan saya dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

SK:  Bagaimana reaksi saudara terhadap tindakan Datuk Seri Abdullah membanteras rasuah dan lain-lain perubahan?

DSAI:  Pendekatan kita harus objektif, maka sebarang tindakan ke arah kebaikan harus disokong.  Ini termasuk isu rasuah yang merupakan di antara isu pokok gagasan reformasi.

Tetapi kita belum menyaksikan sebarang tindakan tegas.  Tekanan sekarang ialah jabatan-jabatan kerajaan.  Sebaik mahu disoal siasat pemimpin, BPR pula yang disergah.  Apa halnya dengan kertas pendakwaan yang sudah lengkap menunggu pendakwaan?  Isu Perwaja yang menyebabkan tanggungan kerugian 11 bilion ringgit melibatkan Tun Dr. Mahathir.  Apakah akan diteruskan siasatan untuk beberapa tahun lagi?

Dihebahkan juga isu protokol dan pembaziran.  Tetapi amalannya diteruskan dengan lebih jelek lagi dengan majlis-majlis perayaan termasuk iklan kementerian termasuk universiti sebagai publisiti murah untuk Menteri dan Naib Canselor.  Amalan sedemikian dulunya dilarang oleh Kementerian Kewangan.  Ia menjadi budaya baru dalam kerajaan.

Selain itu kita masih menunggu akan berlakunya perubahan positif.  Di sebaliknya apa yang berlaku ialah ISA dan penahanan nampaknya lebih mudah; sekatan dan kengkangan media berterusan.  Cara Tan Sri Abdullah Ahmad disingkir dari NST tambah menakutkan pengarang-pengarang lain.  Yang mengambil keputusan adalah Umno walaupun secara rasmi ia dimiliki badan korporat.