Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 11:37 AM

BICARA PRESIDEN

Letak BPR di bawah suruhanjaya bebas

Ungkapan “undang-undang adakalanya ibarat sarang labah-labah, ia cukup kuat untuk menangkap yang lemah tetapi terlalu lemah untuk menangkap yang kuat” adalah satu realiti di negara ini.

Serangan media yang dilakukan Menteri Pembangunan Usahawan ke atas Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini menunjukkan tanggapan sebahagian pemimpin parti yang memerintah hari ini terhadap undang-undang dan perundangan.

Beliau menganggap kakitangan BPR sebagai kakitangan kerajaan sepatutnya berada di bawah tuan-tuan politik atau “political masters”. Kecaman beliau ini memberikan gambaran bahawa pemimpin-pemimpin politik, khususnya para menteri, tidak boleh dipertanggungjawabkan oleh agensi seperti BPR. 

Sejak beberapa bulan yang lalu kita dapat melihat seolah-olah wujud satu kesungguhan untuk memerangi rasuah. Namun, kes-kes yang dibawa ke pendakwaan setakat ini nampaknya hanyalah melibatkan ikan-ikan kecil.

Rasuah yang dilakukan melibatkan wang yang jumlah setakat 4-5 angka. Mereka yang didakwa adalah terdiri dari pegawai kerajaan. BPR dan Peguam Negara belum lagi mendakwa kes-kes besar. Mungkin kes-kes sebegini sukar disiasat dan memerlukan masa yang lama. 

Namun kemarahan Menteri Pembangunan Usahawan menunjukkan bahawa pada pandangannya BPR telalu lembab dan memakan masa yang lama untuk menjalankan siasatan. Anehnya, masa yang lama yang diambil BPR untuk menyiasat kes seperti Perwaja tidak pula menimbulkan kegusaran atau kemarahan sesiapa.

Kedua-dua peristiwa ini, skandal Perwaja dan kemarahan Menteri Pembangunan Usahawan, menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan BPR. Adakah prestasi BPR yang dilihat sebagai lemah ini berpunca dari kelemahan pegawai-pegawainya?  

Ketika ini BPR diletak dibawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri. Ia bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Ini bererti keputusan akhir penyiasatan BPR boleh dipengaruhi oleh Perdana Menteri. Dan BPR sudah tentu akan berada dalam keadaan yang amat sukar jika objek siasatannya ialah Perdana Menteri sendiri. Nyata sekali BPR tidak mempunyai autonomi. 

Inilah sebabnya usaha membanteras rasuah yang dilakukan lebih tertumpu kepada peringkat bawahan sahaja. BPR, seperti juga dengan undang-undang di negara ini, adalah ibarat sarang labah-labah. Ia hanya mempunyai kekuatan untuk menangkap yang lemah tetapi terlalu lemah untuk menangkap yang kuat, terutama sekali apabila golongan kuat ini terdiri dari menteri-menteri. Apa tah tidak, ia sendiri berada di bawah telunjuk golongan yang lebih kuat. Nampaknya, status BPR tidaklah berbeza dari polis dan kehakiman di negara ini. 

Di negara-negara yang serius dalam usaha membenteras rasuah, satu elemen penting dalam menjamin kewibawaan agensi yang bertanggungjawab menyiasat kes-kes rasuah ialah menjamin autonomi agensi berkenaan.

Di Hong Kong, agensi yang bertanggungjawab menyiasat kes-kes rasuah diletak di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya bebas. Suruhanjaya ini tidak terikat kepada cabang eksekutif kerajaan. Dengan ini, agensi berkenaan dapat bertindak tanpa campur tangan pemimpin politik.

Memang mudah untuk mempersalahkan pegawai-pegawai BPR di atas berbagai masalah. Namun, tangan mereka sebenarnya diikat oleh sistem yang sedia ada. Satu keluhan yang sering dinyatakan oleh pegawai-pegawai BPR ialah kuasa mereka hanya sekadar menyiasat. Keputusan untuk mendakwa masih terletak pada Peguam Negara.

Untuk memastikan BPR bebas, ia mestilah diletakkan di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya bebas. Ketua Pengarahnya mestilah dicalonkan oleh Parlimen dan dilantik oleh Yang Dipertuan Agong. Belanjawan BPR diluluskan terus oleh Parlimen dan jumlah yang diluluskan tidak boleh kurang dari jumlah tahun seterusnya.

Satu unit khas perlu diwujudkan untuk membolehkan BPR menjalankan pendakwaan. Dengan ini, ia tidak terkongkong dengan pejabat Peguam Negara. Untuk memastikan ini semua berjalan lancar, satu akta khusus perlu diwujudkan untuk memberi kuasa-kuasa ini. Hanya dengan ini dapat BPR bertindak dengan bebas.  

Ukuran kesungguhan usaha membanteras rasuah bukanlah pada penubuhan akademi anti rasuah, atau kesanggupan menandatangani perjanjian mengenai rasuah. Ini semua hanyalah tindakan-tindakan simbolik.

Demikian juga, perang rasuah tidak akan berjaya sekiranya sasaran penyiasatan hanyalah ikan-ikan kecil sedangkan jerung-jerung besar dibiarkan bermaharajalela. Jerung-jerung inilah yang menyebabkan negara rugi berjuta-juta, malahan beratus juta dan adakalanya berbilion ringgit. 

Kita akan mengukur kesungguhan usaha membanteras rasuah dengan pengukur-pengukur berikut: 

1. Kesediaan kerajaan memberi dan menjamin autonomi BPR.

2. Keupayaan BPR menyelesaikan kes-kes besar , khususnya

o Skandal Perwaja

o Skandal pembinaan makmal komputer sekolah-sekolah

o Skandal pembalakan Umno Pahang

o Skandal penyeludupan beras secara besar-besaran

 Bersediakah Abdullah Badawi menyahut cabaran ini?