Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 11:33 AM

EDITORIAL

Noktah kepada kekarutan

“Terdapat berita palsu yang disebarkan yang bertujuan memecahbelahkan barisan kepimpinan kita. Ini termasuklah cerita karut kononnya yang melibatkan pakatan saya dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.’’

Demikianlah sepotong ayat penegasan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Apa yang jelas penggunaan perkataan ‘karut’ sudah cukup memberikan isyarat jelas rasa jelak terhadap desas-desus yang berlegar selama ini kononnya Anwar akan bebas dengan ‘ehsan’.

Hakikat ini sebenarnya menuntut semua pihak menyedari bahawa Anwar adalah mangsa  kepada permainan politik kotor parti pemerintah. Parti yang tidak mengendahkan prinsip, membelakangkan pertimbangan agama dan kemanusiaan dan parti yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

Dalam masa menyedari buruknya sikap parti yang memerintah, mana mungkin boleh dibiarkan wujud tiupan desas-desus kononnya Anwar mampu dibawa keluar sekiranya rundingan politik dilakukan.

Adalah malang untuk meletakkan harapan Anwar akan terbela melalui ehsan tangan-tangan yang telah bergelumang dengan noda dan dosa.

Sebaliknya, perjuangan yang didukung oleh rakyat terbanyak percaya dan yakin, nasib Anwar hanya dapat dibela oleh rakyat yang inginkan perubahan berlaku di negara ini. Dengan sebab itu menguatkan harakah perjuangan menjadi keutamaan.

Bukankah membuang masa namanya, membiarkan cerita-cerita karut seperti yang diungkapkan oleh Anwar mendominasi gerakan dan halatuju perjuangan. Bukankah khianat juga namanya seperti yang turut diungkapkan oleh Anwar bermain dengan syarat dan rundingan  politik dalam soal pembebasan beliau.

Ingatan dan kenyataan keras Anwar itu bukan sahaja menjadi ingatan kepada kita tentang sikap buruk parti pemerintah tetapi pada masa yang sama, kita yang berada di dalam gerakan pembaharuan tidak leka dan hanyut dengan dengan desas-desus tersebut.

Apakah mungkin kita dapat meletakkan sasaran perjuangan di landasan yang benar sekiranya kita turut dibuai oleh angin cerita karut berkenaan.

Apa yang dapat dinyatakan, noktah harus diletakkan kepada cerita karut ini. Anwar tidak akan bebas dengan ehsan mereka yang korup dan kotor. Anwar hanya akan bebas dan terbela sekiranya perjuangan kita kuat dan teratur.

Maka dengan sebab itu, kita bertanggungjawab untuk menghilangkan kerisauan dan keresahan di kalangan para pendukung dan simpatisan perjuangan menegakkan keadilan di negara ini bahawa kita bukan bermain politik di dalam perjuangan.

Perjuangan hari ini tidak harus ada tempelan imej buruk parti politik yang tidak berprinsip seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Kita tidak mahu rakyat terus disodorkan dengan cerita pernah ada parti yang dahulunya melawan parti pemerintah tetapi hasil rundingan politik, perjuangan yang diharapkan menjadi sinar baru kepada rakyat pada akhirnya terkubur.

Sejarah buruk ini tidak harus mendapat tempat dan berulang kembali. Malah, ia tidak sepatutnya muncul dan berlegar di kalangan para pemuka politik yang membawa obor perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran.

Sudah sampai masanya untuk kita melalui jalan sehala yang tidak berbelok dan berliku di dalam perjuangan. Di hadapan kita adalah sinar yang menjadi harapan rakyat untuk menerangi mereka, di akhir perjuangan kita, rakyat mendambakan kemurnian politik dan hidup dapat dikecapi.

Tidak perlulah kita merintis jalan sukar dan berliku sekiranya terbentang luas di hadapan kita jalan lurus dan tidak bercabang. Pilihan di tangan kita. Melayani cerita karut hanya memperbanyakkan cabang dan simpang siur perjuangan. Meletakkan noktah kepada cerita karut ini hanya lebih memperjelaskan arah tujuan.

Tinggalkan cerita karut dan pada masa yang sama kita juga jangan menjadi sebahagian daripada pihak yang merekayasa cerita karut ini.