Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 11:39 AM

MINDA ANWAR

Politik harus menyumbang kepada kesejahteraan sejagat

Dunia hari ini ternyata keliru kerana terdapat terlalu banyak pemikiran yang berbeza dan bercanggah antara satu sama lain. Sesetengah pemikiran ini akan dapat bertahan sementara yang lain akan pudar di makan zaman.

Di antara pelbagai pemikiran ini, ideologi demokrasi mampu hidup kerana ia merupakan kuasa pembebasan paling besar dalam sejarah manusia. Sejak ideologi ini mula dipraktikkan dalam pembentukan negeri berkerajaan (city state) di Greece, walaupun terdapat beberapa kelemahan, manusia telah menjumpai satu cara organisasi politik di mana kuasa diagihkan dengan lebih banyak dan pertukaran kuasa juga boleh dicapai tanpa menggunakan kekejaman.

Banyak masyarakat membangun telah memulakan perjalanan mereka sebagai negara moden dengan niat untuk memasuki senarai negara berdemokrasi. Namun, demokrasi tidak boleh dipindahkan begitu sahaja ke dalam sesebuah masyarakat yang telah berkurun lamanya sengsara di bawah keadaan yang tidak berkembang dan semakin merosot.

Pegangan sistem autokrasi dan sistem fuedal yang memandang kebelakang kadangkala terlalu mendalam sehinggakan demokrasi tidak mampu untuk berakar. Oleh yang demikian, banyak dari negara-negara ini hanya menjalankan percubaan ke arah demokrasi tetapi akhirnya menjurus ke arah kuasa autokrasi pelbagai jenis.

Di dalam beberapa kes, kerajaan pribumi itu sendiri yang membawa kesengsaraan dan kekejaman yang lebih teruk ke atas rakyat mereka sendiri berbanding kuasa yang pernah menjajah mereka. Seperti di dalam hari-hari terakhir hidup Simon Bolivar, yang diolah semula oleh Garcia Marquez di dalam bukunya “The General in His Labyrinth”, banyak masyarakat terpaksa menyaksikan perjuangan berani dan mulia yang dilakukan oleh pejuang kebebasan terdahulu, dikhianati.

Kejadian keganasan di dalam masyarakat ini nyata bukti bahawa usaha untuk menjadikan masyarakat madani yang stabil dan berpanjangan merupakan sesuatu yang sukar. Masyarakat yang telah berjaya menjadi negara demokrasi moden yang boleh dipercayai hanya mampu melakukannya dengan kesabaran dan kebijaksanaan di kalangan pemimpin dan sifat realisme dan pertimbangan waras di kalangan penduduknya.

Pergolakan politik negara-negara sedang membangun juga ditambah dengan masalah ekonomi yang mendalam. Walaupun terdapat beberapa kejayaan di dalam beberapa wilayah, kemiskinan dan kedaifan yang teruk masih perkara biasa. Kelahiran bandar-bandar besar membawa masalah baru kerana masalah ekonomi mempercepatkan masalah sosial, moral dan juga merosakkan nilai-nilai kekeluargaan.

Dari segi inilah masyarakat membangun memerlukan reformasi. Sebagaimana kata Edmund Burke, negara yang tidak mempunyai cara untuk berubah tidak mempunyai jalan untuk terus wujud. Sistem raja yang telah terhapus di dunia ini adalah disebabkan mereka enggan atau tidak boleh berubah. Bukan sahaja mereka tidak mengendahkan keadaan yang berubah di sekeliling mereka tetapi raja-raja ini terus memperjuangkan kehidupan mereka yang berlebihan dan membazir. Bagi jenis-jenis kerajaan pula, mereka berubah menjadi rejim totalitarian dan rasuah hanya dapat dihapuskan melalui cara keganasan.

Negara Barat, terutamanya Amerika, sedang berusaha untuk membawa seluruh dunia ke arah demokrasi. Walaupun demokrasi mempunyai pelbagai halangan kepada kerajaan yang efektif, kita masih lagi mempercayai sistem ini. Namun, pengalaman beberapa negara membangun mengajar kita untuk sangsi kepada usaha negara Barat memperluaskan demokrasi.

Tindakan secara rahsia oleh kuasa Barat untuk menjatuhkan kerajaan yang dilantik merupakan didikan asas pelajar diplomasi dan hal ehwal antarabangsa. Mengapakah kejadian Tiananmen begitu dikritik tetapi negara Barat amat mengalu-alukan tindakan keras tentera ke atas pergerakan demokrasi di Algeria? Masyarakat membangun sentiasa harus berani mengahadapi bukan sahaja masalah dalaman tetapi juga sentiasa waspada mengenai hubungan mereka dengan kuasa-kuasa barat, kerana ternyata, prinsip dan moral tidak begitu penting berbanding dengan kepentingan mereka.

Pembohongan yang sedemikian boleh juga dilihat di dalam bidang ekonomi. Perdagangan bebas kini hanya slogan kerana semuanya terdiri dari blok dan kumpulan masing-masing. Beberapa negara di Utara kini lemah kepada tekanan untuk mementingkan diri sendiri dan memelihara persaingan antarabangsa mereka yang semakin lemah. Namun, walaupun mereka menyatakan hak mereka untuk bertindak terhadap realiti global yang baru ini dengan membina blok seperti NAFTA dan EC, mereka memberi amaran kepada negara yang lemah untuk tidak berbuat demikian jika tidak mahu menerima padahnya.

Negara membangun juga terpaksa menghadapi sifat besar diri organisasi antarabangsa, bukan kerajaan dan juga pelbagai badan multilateral. Kita sering diberi tekanan, secara lansung atau tidak, untuk mewujudkan polisi yang ditetapkan oleh pakar-pakar mereka. Walaupun ada yang bermotivasikan niat baik, kita juga harus berjaga-jaga dengan mereka yang hanya berpura-pura. Mereka lebih mementingkan kepentingan mereka sendiri dan mereka, termasuk universiti Barat, telah  memaksa polisi yang akhirnya merosakkan masyarakat yang dibantu.

Kita telah menyaksikan kesan-kesan buruk yang datang dari ideologi anti-pasaran dan pasaran bebas yang telah dipromosikan oleh universiti Barat. Dari segi institusi multilateral pula, pemikiran mereka yang bercanggah telah menyebabkan kekeliruan di kalangan pemikir polisi di negara membangun.

Daripada pengalaman, kita mengetahui bahawa pasaran bebas adalah cara yang efisien untuk membahagikan sumber ekonomi. Namun pada masa yang sama, pembangunan selama hampir empat dekad meyakinkan kita mengenai perlunya ‘affirmative action’, iaitu campurtangan kerajaan untuk menangani masalah kemiskinan dan mengurangkan jurang sosial dan ekonomi.

Apabila kita menjurus kepada kebebasan ekonomi, ia bukan kerana kita mengabaikan tanggungjawab sosial tetapi untuk menumpukan sumber kepada kawasan lebih penting seperti menghapuskan kefakiran dan memodenkan infrastruktur. Sambil kita menswastakan syarikat-syarikat kerajaan dan keperluan awam, falsafah asas kita seharusnya keuntungan dengan tanggungjawab sosial.

Perubahan di dalam dunia ekonomi dan politik global telah memenuhi abad ini dengan pelbagai cabaran baru. Sambil kita harus menjadi berani, pintar dan bermoral untuk mengatasi masalah ini, kita tidak boleh membenarkan keyakinan dan perasaan bahawa diri kita betul menjadikan kita angkuh. Kita mesti mempelajari semula sifat rendah diri. Kita mesti tahu had kita kerana dunia telah menderita disebabkan keangkuhan dan idea yang berbahaya.

Keadaan dunia yang kini makin mengecil sebagai perkampungan global harus ditemani dengan pembukaan fikiran kita dari segi kebudayaan. Kita juga harus menjurus kepada interaksi kebudayaan kreatif di dalam rangka nilai moral sejagat. Sifat kebudayaan yang pelbagai ini tidak boleh berjaya tanpa kebolehan kita melihat keindahan dan kebesaran orang lain.

Potensi abad ini yang begitu besar telah hilang oleh kerana sifat manusia yang gila kuasa, seolah-olah tidak cukup dengan dua perang dunia dan kegilaan bangsa di Auschwitz. Tiada abad lain yang telah menyaksikan kemusnahan yang lebih besar atau penderitaan manusia yang begitu teruk berbanding di bawah rejim realpolitik zaman ini. Mungkin, dengan kebangkitan abad baru ini, kita mampu mengharapkan perubahan dari realpolitik kepada sesuatu yang lebih bersifat moral dan kemanusiaan.

Abad akan datang ini tidak akan selamat untuk anak-anak kita jika kita tidak mengendahkan nilai-nilai moral dan idea yang boleh melepaskan kita dari dunia sempit dan bersifat perkauman. Kita perlu mengajar diri kita sendiri dan juga orang lain bahawa politik dan politik antarabangsa harus menjadi sebahagian daripada niat kita untuk menyumbang kepada kesejahteraan manusia sejagat.