Seruan
Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 11:50 AM
Kewartawanan
dan sejarah
Oleh:
Mohd Zukri bin Aksah
Ketua
Penerangan Angkatan Muda keADILan Pahang
Pada
Ahad malam yang lepas, saya menonton Smallville, sebuah drama mengenai
kisah hidup waktu remaja Clark Kent alias Superman. Dialog pada
akhir cerita itu yang diucap oleh Luthor (ayah Lex) kepada Chloe
(editor Torch, akhbar sekolah tinggi Smallville) begitu melekat
di pendengaran saya, secara lebih kurangnya, Luthor berkata, "śwartawan
adalah bidan sejarah".
Begitulah
gambaran peri pentingnya peranan wartawan dalam proses pembikinan
sejarah moden. Bila kita meneliti sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan
negara kita, tentu segera kita akan teringat nama Pak Sako, seorang
wartawan. Di tangan orang-orang sebeginilah, "sejarah"
diperanakkan lewat tulisan-tulisan mereka.
Tetapi
malangnya, keberkesanan para wartawan dalam membidankan kelahiran
sejarah-sejarah baru telah dilihat oleh politikus-politikus yang
memegang kuasa sebagai kuda yang boleh ditunggang pada bila-bila
masa, membawa ke arah yang mereka mahu dalam usaha mereka mengekalkan
status quo penguasaan mereka.
Wartawan
yang biasanya menyambut kelahiran sejarah baru dari sang ibunya,
iaitu sejarah terdahulu, kini terpaksa pula akur pada Sang Kelembai,
si politikus yang berkuasa yang sentiasa mahu sejarah baru lahir
mengikut iras rupa mereka, silap-silap ingkar nanti ditegur dan
disumpah - inilah nasib yang diterima oleh bekas Ketua Pengarang
Kumpulan New Straits Times, Tan Sri Abdullah Ahmad alias Dollah
Kok Lanas (DKL) yang telah dipecat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan
NST.
Konon
alasan yang diberikan kelantangan DKL mengkritik Kerajaan Arab Saudi
adalah penyebab utamanya, bisa membikin goncang hubungan diplomatik
Malaysia-Arab Saudi. Adakah semudah itu pemuka-pemuka negara melonggarkan
hubungan dua negara, semata-mata kerana komentar seorang wartawan?
Ingin
juga saya bertanya kepada Syed Hamid Albar, bagaimana pula jika
wartawan Arab Saudi yang mengkritik Kerajaan Malaysia? Apakah Malaysia
akan memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara?
Bagaimana
pula hubungan diplomatik Malaysia dengan negara yang menjadi tempat
keluarnya majalah-majalah seperti The Economist dan Far Eastern
Economic Review, sekadar contoh? Majalah ini pernah secara terbuka
mengkritik kepimpinan Malaysia di dalam keluarannya. Atau apakah
benar kerana sokongan terbuka DKL terhadap Najib dalam ulasan-ulasannya
mengenai kepimpinan nombor dua negara menjadi penyebab?
Apa
sahaja jawapan kepada persoalan ini semuanya membuktikan satu perkara,
kebebasan media kita telah tiada, telah mati semenjak terlantiknya
Ibrahim Fikri sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu, gagalnya Mogok
Utusan dan terhumbannya Said Zahari ke dalam kepungan kezaliman
ISA.
Insiden
pemecatan DKL ini hanyalah penerusan peristiwa yang membuktikan
tentang cengkaman Umno/BN terhadap media, bahkan DKL sendiri adalah
Ketua Pengarang yang ketiga jatuh akibat sumpahan dan keteguran
Sang Kelembai yang memegang kuasa.
Di
bawah cengkaman Umno/BN, para wartawan kita, tanpa rela, seringkali
terpaksa menyambut kelahiran sejarah-sejarah baru yang kelihatannya
tidak ubah seperti cerita fiksyen, penyuntingan bukan lagi istilah
berkait dengan profesionalisme kewartawanan, tetapi ia adalah tentang
cerita mana yang paling menyedap dan menggembirakan hati si politikus
yang berkuasa.
Cerita-cerita
inilah yang menjadi "sejarah" untuk
masa hadapan yang kini menjadi bahan bacaan adik-adik dan anak-anak
kita, sejarah dalam bentuk "tengok-tulis-ubah-cipta-reka-ulas-lapor".
Percayalah,
semakin hari sejarah-sejarah baru yang disambut kelahirannya berbidankan
wartawan-wartawan yang dicatu ideanya ini semakin banyak yang cacat,
semakin banyak yang sumbing, bahkan ada yang mengalami "down-syndrome".
|