Seruan
Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 11:55 AM
Mendobrak sistem yang
anti-anak muda
Oleh: Amin Iskandar
Anak
muda merupakan tulang belakang kepada kekuatan sesuatu bangsa atau
negara. Usia muda membolehkan mereka aktif dalam program kemasyarakatan.
Namun, kita sering mendengar tentang masalah sosial yang melibatkan
anak muda, antaranya, perilaku seks luar nikah, kes membuang bayi,
lumba haram, kongsi gelap, gejala dadah dan yang terbaru, ialah
gejala samseng.
Berikutan
itu, ramai ahli akademik mencari punca dan bagaimana untuk mengatasinya.
Mereka sering menuding jari menyalahkan ibu bapa kerana gagal mendidik
anak. Para guru juga sering menjadi kambing-hitam apabila berlaku
masalah yang melibatkan anak muda.
Masalah
kemiskinan jarang sekali disentuh sebagai punca masalah ini, sedangkan,
jika dikaji tentang “kaum miskin kota”, kita akan melihat kemiskinan
adalah faktor penting yang menyebabkan berlakunya masalah sosial
dalam masyarakat.
Kerajaan
juga terheret sama dalam mencari penyelesaian kepada masalan ini.
Pelbagai program dirancang bagi menarik pembabitan anak muda sepertimana
Program Rakan Muda. Kerajaan pula sering mengatakan peruntukan yang
disediakan untuk melaksanakan program untuk anak-anak muda amat
besar.
Namun,
masalah tersebut masih belum dapat dikurangkan, malahan peratusannya
dikatakan semakin meningkat. Kerajaan dilihat tidak serius dalam
menangani masalah ini manakala ibu bapa dan anak muda sendiri dipersalahkan.
Media elektronik, media cetak dan Internet juga tidak terlepas daripada
dijadikan kambing-hitam sebagai punca permasalahan sosial di kalangan
anak-anak muda.
Pernahkah
kita bertanya mengapa ini berlaku? Terdapat banyak faktor yang menyebabkan
permasalahan ini tidak dapat diatasi. Pada pandangan saya, akar
kepada permasalahan ini ialah sistem sedia ada bersifat anti kepada
anak muda. Sistem ini juga menjadi satu “hegemoni” yang membentuk
masyarakat yang bersikap anti-anak muda.
Mengapa
saya berkata begini? Pertama, cuba kita kaji kembali masyarakat
di negara kita - tidak kira Melayu, Cina ataupun India. Kita akan
dapat lihat anak muda tidak begitu berminat mengambil bahagian dalam
kehidupan sosial masyarakat.
Makan
garam
Di rumah pula, apabila anak
muda cuba memberi pandangan, ibu bapa sering membalas dengan ayat-ayat
yang anti-anak muda seperti “kau belajar lagi”, “habiskan belajar
dulu”, “aku lebih dulu makan garam”, “kau budak-budak lagi, apa
yang kau tahu” dan banyak lagi.
Apabila
ibu bapa memarahi kita dan kita cuba menjelaskan apa yang berlaku,
kita sebaliknya akan dimarahi dengan “kau dah pandai menjawab ye!”.
Perkara yang hampir sama dilalui oleh setiap anak muda kita, tidak
kira mereka golongan miskin atau kaya. Persekitaran sebeginilah
yang mendorong anak muda lebih berminat menyertai kegiatan sosial
negatif, daripada hidup bermasyarakat.
Kedua,
cuba kita kaji kembali sistem masyarakat yang tidak berpihak kepada
anak muda. Di dalam masyarakat kita memang terdapat banyak persatuan
untuk anak muda, baik di dalam kerajaan mahupun bukan kerajaan.
Organisasi seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Belia 4B, Angkatan
Belia Islam Malaysia (Abim), juga masih gagal menerapkan nilai baik
di jiwa anak muda.
Di
peringkat universiti pula, kita sering terdengar nama seperti Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis),
Karisma (Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia), Barisan Bertindak Mahasiswa
Negara (BBMN) dan Dema, juga tidak berjaya mempengaruhi majoriti
mahasiswa di kampus.
Pada
pandangan saya, ada beberapa sebab yang munasabah mengapa persatuan-persatuan
anak muda sedia ada, gagal menjadi “saluran perdana” di kalangan
anak muda dan mahasiswa. Pertama cuba kita ambil contoh GPMS, Presidennya
Datuk Suhaimi Ibrahim tidak lagi muda tetapi memimpin organisasi
orang muda.
Ini
tidak memungkinkan beliau memahami aliran-aliran terbaru di kalangan
anak muda. Jadi bagaimana kita hendak harapkan anak muda menyertai
organisasi seperti ini? Pemimpin Abim, MBM dan Belia 4B juga dari
kalangan orang tua yang tidak memahami jiwa nak muda.
Ketika,
jika kita melihat, persatuan-persatuan ini seringkali ingin menerapkan
budaya yang membosankan dan berimej “Mat Belia” kerana majoriti
pemimpinnya dari kalangan “Mat Belia” dan “Mat Skema”. Mereka sudah
tentu tidak memahami masalah dan minat anak muda yang hidup dalam
dunia yang lain daripada masyarakat umum.
Graduan
robot
Undang-undang
dan akta-akta yang sedia ada tidak memungkinkan anak muda di kampus
aktif di dalam masyarakat. Di peringkat universiti, Akta Universiti
dan Kolej Universiti (AUKU) tidak memungkinkan mahasiswa membentuk
cara hidup dan “trade mark” mereka sendiri. Akta anti-anak muda
ini juga, tidak memungkinkan mahasiswa berpersatuan secara bebas.
Jadi,
apa yang mereka inginkan tidak mungkin dapat dilakukan di dalam
kampus. Universiti yang seharusnya menjadi gelanggang perdebatan
ilmu dan tempat menzahirkan kreativiti, telah berubah menjadi kilang
melahirkan graduan robot bagi memenuhi peluang pekerjaan. Jika tiada
peluang pekerjaan, maka ramailah menjadi penganggur terhormat.
Jadi,
apa yang boleh dilakukan? Beberapa langkah harus diambil segera
untuk memastikan sistem anti-anak muda ini dapat didobrak oleh kita
(baca: anak muda). Perdana Menteri baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, tidak dilihat akan melakukan sesuatu perubahan ke atas masyarakat
anak muda.
Pelajar
universiti yang tidak berminat dengan aliaran perdana yang dikuasai
oleh Mat Belia dan Mat Skema bolehlah membangunkan dunia mereka
sendiri. Tidak perlu mengharapkan bantuan kerajaan dan pihak universiti.
Jika berminat untuk bermotosikal, bolehlah menubuhkan kelab mereka
sendiri.
Di
Universiti Putra Malaysia (UPM), contohnya, terdapat kelab motosikal
yang ditubuhkan atas inisiatif mahasiswa sendiri yang dikenali sebagai
SETARA (Kelab Motor Pelajar Selatan dan Utara). Kelab ini tidak
ditaja oleh mana-mana pihak. Mereka mengumpulkan dana sendiri dan
bergerak secara independen dan tersusun. Kumpulan yang minat dengan
kesenian, kebudayaan, politik, filem, kewartawanan dan lain-lainnya,
juga boleh mencontohi aktiviti SETARA.
Kita
harus mendobrak tabu-tabu yang menjadi penghalang untuk berkembang
maju. Jangan sia-siakan bakat dan kreativiti yang ada. Kitalah yang
akan mewarisi dunia ini. Orang tua sememangnya tidak memahami kehendak
dan citarasa kita. Merekalah yang menciptakan tabu-tabu anti-anak
muda.
Tidak
salah untuk belajar dari pengalaman mereka, tetapi ia tidak bermakna
kita harus menjadi robot yang diprogramkan mereka. Lawan segala
bentuk cengkaman ini dengan membangunkan masyarakat anak muda yang
independen. Anak muda sememangnya mempunyai hak untuk melakukan
kesilapan kerana ianya merupakan proses untuk pendewasaan fikiran.
Amin
Iskandar adalah bekas mahasiswa UPM yang aktif dengan Universiti
Bangsar Utama (UBU) dan bekas presiden Kelab Motosikal Mahasiswa
UPM. Beliau kini menjadi penulis bebas dan aktif di dalam KUBU (Kumpulan
Kebudayaan UBU). – Ehsan Malaysiakini.
|