Seruan
Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 11:02 AM
Penyokong
SRJ(C) Damansara ditahan edar risalah
Tiga
penyokong jawatankuasa Save Our School (SOS) SJK(C) Damansara ditahan
semasa perayaan tahun baru di Dataran Merdeka baru-baru ini kerana
mengedarkan risalah kepada orang ramai.
Ketiga-tiga mereka, penduduk
Kampung Damansara Baru, Wong Yau King, Saw Chin Cai dan ahli jawatankuasa
Malaysian Youth and Students Democratic Movement, Ng Chong Soon,
adalah antara 50 ahli SOS dan penyokong yang hadir pada perayaan
tahun baru itu.
Kumpulan
tersebut yang memakai kemeja-T ‘SOS Damansara’, mengedar risalah
kepada orang ramai sambil mendedahkan cubaan pihak berkuasa menukar
sekolah tersebut menjadi gudang menyimpan barang.
Pegawai
polis yang bertugas mengarahkan kumpulan tersebut berhenti mengedar
risalah dan bersurai setelah memerhati mereka selama 20 minit.
Polis
berkata kumpulan SOS tersebut tidak mempunyai permit untuk kegiatan
pada malam tersebut dan mendakwa risalah yang diedar mengandungi
“unsur perkauman yang sensitif”.
Menurut
ahli SOS, polis juga telah mengatakan isu penutupan sekolah tidak
sesuai dibawa pada malam itu.
Pada
suatu ketika, polis mengugut menahan semua yang memakai kemeja-T
‘SOS’ jika mereka berdegil untuk terus berada di Dataran Merdeka.
Apabila
polis menyuraikan ahli-ahli dan penyokong SOS, polis menahan dua
penduduk kampong tersebut dan Ng yang sedang mengambil gambar kejadian.
Ketiga-tiga
mereka dibawa ke Balai Polis Dang Wangi dan ditahan selama empat
jam.
Akhirnya,
mereka dibebaskan pada jam 4.00 pagi dengan ikat jamin polis dan
diminta untuk melaporkan diri dibalai polis tersebut pada 8 Januari
2004.
Ketua
Penerangan SOS Chong Pai Chee, apabila dihubungi menganggap penahanan
tersebut melanggar hak asasi manusia.
Menurutnya,
apabila polis mengancam menangkap semua penyokong SOS pada malam
itu, polis tidak memberi apa-apa alasan untuk berbuat demikian.
“Bukankah itu
salah guna kuasa yang berlebihan oleh pihak polis?” kata Chong.
Chong
menjelaskan bahawa kumpulan SOS telah berkumpul di Dataran Merdeka
untuk menyambut kedatangan tahun baru sambil mengedar risalah.
Sekolah
Damansara yang terletak di Kampung Damansara Baru, telah diarah
tutup oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2001 kerana mereka
mendakwa sekolah tersebut “tidak menyediakan persekitaran pembelajaran
yang baik”.
|