Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 11:10 AM

Najib diminta hormati hak asasi manusia

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) meminta agar Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar memberikan tumpuan yang lebih serius kepada isu hak asasi manusia di negara ini.

Pesuruhjaya SUHAKAM Prof. Hamdan Mohd. Adnan berkata, Najib sebagai orang kedua berkuasa di negara, harus "memperjuangkan hak asasi manusia", walaupun Najib sebelum ini pernah membuat kenyataan yang mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang jelas bercanggah dengan hak asasi manusia.

Hamdan menyatakan demikian sebagai mengulas ucapan Najib sempena sambutan Hari Hak Asasi Sedunia yang dianjurkan SUHAKAM di Kuala Lumpur pada 19 Disember 2003 lalu.

Najib dalam ucapan pembukaannya, berkata ISA merupakan ukuran pre-emptif yang penting untuk menangani ancaman keselamatan negara disebabkan persekitaran global yang asyik berubah.

Katanya, kerajaan harus mengambil pendekatan "menghalang lebih baik dari menyembuh".

Menurut Hamdan, apabila Najib dijemput ke program tersebut, ia menandakan bahawa beliau harus melihat isu hak asasi manusia daripada perspektif yang lebih luas.

“Ini merupakan masa hadapan kita, walaupun telah berlaku peperangan menentang terrorisme, apakah kita boleh membenarkan negara yang besar dan berkuasa menakluk negara-negara kecil dan menggunakan undang-undang keselamatan sebagai alasan?" tanya Hamdam.

“Kerajaan harus meneliti perkara ini dengan secepat mungkin. Mengenai ISA, kita meminta mereka yang ditahan di bawa ke mahkamah, dan mereka dalam penjara diberi perwakilan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, badan hak asasi manusia SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) mahu Najib menggalakkan dasar-dasar yang lebih progresif bagi hak asasi manusia dan demokrasi.

“Ini bukan satu komen tetapi satu permintaan dari kami,” kata Pengarah Esekutif SUARAM Cynthia Gabriel.

Menurut beliau, walaupun komen Najib mengenai ISA tidak memberikan gambaran kesediaan beliau untuk melakukan sesuatu mengenai ISA tetapi kita tetap meminta agar beliau  memandang perkara itu secara serius.

Sementara itu, Penyelaras bagi badan komuniti SOS (Save Ourselves) di Pulau Pinang, Ong Boon Keong berkata, perlantikan Najib sesuatu yang mengecewakan, terutamanya, selepas komennya mengenai ISA.

“Kenyataan beliau bertentangan dengan imej kerajaan baru yang mahu ditunjukkan oleh Perdana Menteri baru, yang bertekad mahu menghapuskan rasuah, memperbaiki perkhidmatn kerajaan, membebaskan media dan menggalakkan ekonomi.

“Beliau mungkin menjadi satu beban kepada kerajaan baru dan apa yang ia mahu lakukan untuk memperbaiki hak asasi manusia. Beliau nampaknya tidak berupaya membawa imej mesra yang mahu dicapai oleh Abdullah,” katanya.

Ong berkata pilihan Najib sebagai TPM tidak baik bagi ‘hubungan etnik dan hak asasi manusia’.

“Terutama selepas peristiwa Operasi Lalang pada tahun 1987. Pada masa itu, beliau terkenal sebagai perusuh kerana ucapan-ucapannya yang membakar perasaan perkauman. Tetapi tindakan tidak di ambil terhadap beliau. Sebaliknya 100 lebih orang di tahan di bawah ISA dan empat syarikat suratkhabar terpaksa di tutup sementara,” ujar beliau.