Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:54 AM

BA mampu tawan Kedah

Naib Presiden Parti Keadilan Naisonal, Tian Chua melahirkan keyakinan Barisan Alternatif (BA) berkemampuan untuk mengambilalih kuasa pemerintahan negeri Kedah pada pilihanraya umum yang akan datang.

Bagi mencapai hasrat tersebut beliau berkata, keADILan telah menggerakkan jentera pilihanrayanya termasuk mendekati para pengundi dengan ‘mewujudkan suasana memerintah kedah”.

“Kami akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menawan negeri Kedah. BA mempunyai peluang yang amat tinggi untuk mencapai matlamat itu. Kita telah membuktikannnya di Kelantan dan Terengganu” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan pada bengkel pilihanraya yang diadakan di Ibu Pejabat keADILan, di Shah Alam baru-baru ini yang dihadiri oleh kepimpinan parti.

Pada pilihanraya umum ke-10  yang lalu, Barisan Nasional (BN) kehilangan lapan kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Lebih memburukkan rekod BN Kedah ialah apabila pilihanraya kecil DUN Lunas diadakan, calon keADILan, Saifuddin Nasution Ismail telah menamatkan rekod dua pertiga majoriti BN di dalam DUN Kedah.

Menurut Tian Chua, semua kepimpinan parti yang menghadiri bengkel berkenaan bersetuju agar bagi menghadapi pilihanraya umuma kan datang, pendekatan yang paling berkesan ialah mengamalkan amalan bekerja yang sederhana.

Sehubungan itu beliau berharap, para pengundi dapat membuat keputusan yang bijak dan bernas dan tidak meletakkan kepentingan jangka pendek sebagai asas dalam membuat keputusan.

Mengenai kerjasama dengan DAP, beliau berkata, keADILan akan akan membantu rakan sekutu politik BA iaitu DAP pada pilihanraya akan datang.