Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:57 AM

Demonstari pekerja sambut Dolah di Jakarta

Konsortium Buruh Indonesia (KOPBUMI) menyifatkan hukuman penjara setahun ke atas Timbalan Ketua Wanita keADILan yang juga Pengarah Tenagnita, Irene Fernandez sebagai tidak adil.

Setiausaha Esekutif KOPBUMI Susilo Wahyu berkata, hukuman tersebut jelas tidak adil kerana Irene mendedahkan apa sebenarnya yang dialmai oleh para pekerja asing termasuk dari Indonesia.

“Kami rasa hukuman selama setahun bagi aktivis buruh Malaysia Irene Fernandez tidak adil. Apa yang diterbitkan oleh Irene mengenai masalah buruh asing di penjara adalah sesuatu yang benar, yang tidak boleh dinafikan.

“Ramai buruh Indonesia telah mengalaminya. Oleh itu, kami mendesak supaya Perdana Menteri membebaskan beliau dari hukuman,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyertai tunjuk perasaan aktivis buruh Indonesia berdemonstrasi di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta pada 8 Januari 2004 semasa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi melawat Jakarta.

Kumpulan itu mahu mengemukakan kebimbangan mereka terhadap layanan Malaysia terhadap buruh asing Indonesia di negara kami.

Konsortium Buruh Indonesia (KOPBUMI) telah berkumpul di depan kedutaan itu, sambil membawa poster yang membidas dasar Malaysia terhadap buruh asing.

Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Irene atas dakwaan menerbitkan berita palsu melalui satu memorandum yang disediakan olehnya.

Hukuman itu dijatuhkan setelah Irene menunggu hamper tujuh tahun untuk kes itu diselesaikan.

Beliau didakwa mengeluarkan memorandum tersebut pada satu sidang media dalam bulan Ogos 1995 dan memorandum berkenaan mendedahkan insiden kematian dan kesengsaraan buruh asing semasa di tahan di kem tahanan imigresen.

Sementara itu mengenai tunjuk perasaan yang diadakan, Wahyu berkata, Abdullah nampak perhimpunan yang diadakan itu di hadapan Keduataan besar Malaysia.

Sehubungan itu katanya, beliau telah menghantar sepucuk surat terbuka kepada Abdullah melalui Kedutaan untuk menentang keengganan kedua kerajaan untuk menangani secara langsung masalah-masalah yang dihadapi oleh buruh asing terutama dari Indonesia di Malaysia.