Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:58 AM

Khidmat Negara belum tentu lahir belia bermoral

Parti Keadilan Nasional (keADILan) tidak yakin Program Khidmat Negara (PKN) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi mampu melahirkan belia yang bermoral.

Pengerusi Biro Agama dan Tamadun keADIlan Pusat, Haji Mohamad Mustafa berkata, tanpa adanya nilai agama yang diketengahkan, sudah pasti PKN akan gagal sama seperti dialami program Rakan Muda yang dilaksana sebelum ini.

“Program ini kemungkinan tidak akan mampu melahirkan generasi yang bermoral sekiranya penekanan terhadap ajaran agama tidak diutamakan. Ini kerana asas agama sahaja yang mampu melahirkan insan yang berakhlak tinggi.

“Kita juga ingin melihat sejauh mana batas-batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan serta program lain yang dijalankan, sama ada membelakangi syariat atau tidak,” katanya di Kota Bharu baru-baru ini.

Menurut Mohamad, keADILan tidak membantah pelaksanaan PKN, namun berharap pihak kerajaan memberi keutamaan kepada nilai-nilai agama.

Bagaimanapun beliau juga bimbang PKN menjadi platform kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menerapkan nilai kebencian terhadap pembangkang, kepada kalangan remaja yang dipaksa menyertai program berkenaan.

“KeADIlan akan membantah sekiranya terdapat unsur yang tidak sepatutnya diajar turut dilibatkan dalam program ini,” tegasnya.

Katanya, kembimbangan tidak dapat ditolak peserta PKN diperalatkan untuk membantu jentera BN menjelang pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Pergerakan Pemuda keADIlan Kelantan, Zamakhsari Ibrahim berkata, pihaknya berusaha memberi pendedahan kepada belia-belia yang bakal menyertai PKN terhadap aspek ketahanan jiwa sebagai persediaan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan bakal berlaku.

“Kursus khas akan diadakan kepada mereka tidak lama lagi, terutamanya pendedahan terhadap aspek-aspek keagamaan dan pengetahuan am supaya pelajar tidak mudah diperalatkan,” katanya.

PKN dilahirkan untuk mewujudkan masyarakat progresif dan berdisiplin sebagai mekanisme mencapat matlamat Wawasan 2020. Ia akan dilaksanakan di 20 kem di seluruh negara, yang membabitkan remaja berusia 18 tahun.