Seruan
Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:59 AM
Skandal
balak Umno Pahang
SGM
sifatkan Adnan bohong
Skandal
balak yang membabitkan Umno Pahang menjadi semakin hangat apabila
syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur (SGM) membuat laporan
polis sebagai membalas laporan polis yang dibuat oleh Menteri Besar
Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
SGM
dalam laporan polisnya yang dibuat oleh pengarah syarikat itu, Lee
Sin, mendakwa Adnan dan Umno Pahang memang mengetahui dan terlibat
di dalam isu pemberian konsesi balak berkenaan.
Malah
Adnan disifatkan sebagai seorang pembohong kerana cuba memutarbelitkan
fakta yang sebenarnya.
Laporan
yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya turut melampirkan
dua salinan surat yang menunjukkan bukti Menteri Besar Pahang itu
memang mengetahui perkara yang berlaku.
Adnan
pada 3 Januari lalu di Kuantan, telah membuat laporan polis terhadap
pemimpin pembangkang yang didakwanya menuduh beliau menyalahgunakan
kuasa meluluskan konsesi pembalakan kepada Umno pada tahun 2000
yang kemudiannya memberikan hak membalak di tanah seluas 10,000
ekar kepada SGM.
Tindakan Adnan membuat laporan
polis itu kononnya untuk membersihkan dirinya setelah pihak SGM
mendapat kerjasama Ketua Publisiti Nasional DAP, Ronnie Liu membuat
laporan berhubung dengan skandal berkenaan.
Dalam
laporan yang dibuat oleh SGM, dilampirkan surat bertarikh 3 Julai
dan 13 November 2002 yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan
Pahang.
Dalam
surat itu menurut laporan polis SGM, dengan jelas menyebut bahawa
permohonan syarikat tersebut untuk meneruskan kerja pembalakan di
kawasan gantian harus mendapatkan kelulusan dari pihak Menteri Besar.
SGM
meminta untuk mendapatkan tempat gantian kerana kawasan asal mereka
telah dicerobohi oleh pihak lain.
“Saya ada bukti dan semua
dokumen membuktikan semua kelulusan pembalakan untuk kawasan tersebut
diberikan oleh Menteri Besar Pahang. Surat ini semua telah dikirimkan
dari Jabatan Perhutanan kepada pihak peguam kami,”.
“Pengarah Jabatan Perhutanan
telah memaklumkan kepada kami bahawa permohonan ini gagal dan beliau
diarahkan oleh Menteri Besar tanpa memberikan sebarang sebab. Langsung
tidak disebut soal keputusan ini dibuat oleh pihak jawatankuasa
pentadbiran negeri, seperti apa yang didakwa oleh Menteri Besar
dalam kenyataanya sebelum ini” demikian menurut pengarah syarikat
itu dalam laporan polis yang dibuat yang kemudiannya diedarkan kepada
wartawan.
Sehubungan
itu, Lee menyifatkan Adnan sebagai pembohong.
|