Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 11:01 AM

Tuduhan keADILan dipinggir tak berasas

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan isu pemimpin parti keADILan dipinggirkan oleh kerajaan negeri hanyalah satu tuduhan.

Beliau berkata, terdapat pemimpin parti itu yang diberikan tempat di bawah kerajaan negeri seperti pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.

Katanya, apa ditimbulkan mengenai isu pemimpin parti keADILan seolah-olah dipinggirkan di bawah kerajaan PAS bukan daripada pihak parti itu.

“Mereka berada di beberapa tempat yang kita letakkan seperti dalam majlis daerah, ahli Parlimen pun ada, dalam beberapa agensi kerajaan pun ada.

“Itu pihak lain yang membuat tuduhan dan rungutan, bukan pihak keADILan negeri,” ujarnya kepada wartawan pada persidangan media selepas mesyuarat mingguan Exco, di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden PAS menambah, kerajaan ngeri tidak menerima apa-apa pengaduan daripada pihak keADILan.

“Kita sentiasa mengadakan perjumpaan bulanan dengan kepimpin keADILan di peringkat pusat, pihak negeri pun ada yang diaturkan oleh keADILan negeri,” ujarnya.

Katanya, pihak lain tidak berhak untuk menentu dan meletakkan kedudukan pemimpin parti komponen BA itu dalam kerajaan negeri.

“Kitalah yang memikul tanggungjawab,” katanya.

Mengenai perlantikan isteri seorang pemimpin PAS sebagai ahli Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), beliau berkata, ianya bergantung kepada kelayakan.

Ini, katanya kerana tidak ada peraturan yang menghalang untuk melantik seseorang sebagai ahli majlis kecuali disebabkan bankrap atau melakukan kesalahan yang boleh menjatuhkan imejnya.

“Kalau dia ada kemampuan maka, kita boleh lantik siapa sahaja yang ada kemampuan untuk mentadbir dan mengendalikan urusan,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting ialah pentadbiran berjalan dengan baik dan terpulang kepada pihak pentadbir MPKT untuk menentukan siapa yang layak dilantik sebagai ahli majlis.