Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 11:04 AM

Dollah umum kabinet Mahathir

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri dan rombakan kecil kabinet mengesahkan kepercayaan di kalangan ahli-ahli Umno bahawa Datuk Seri Abdullah hanya mengumumkan barisan yang telah ditetapkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beberapa Ahli Majlis Tertinggi Umno yang merupakan penyokong Dr. Mahathir ‘meraikan kejayaan’ rancangan yang telah diatur sebelum Abdullah mengangkat sumpah dengan memastikan Najib terpilih sebagai TPM.

Begitu juga mereka melihat perlantikan Mohd Noor Yakcob sebagai Menteri Kewangan Kedua turut mengesahkan penguasaan Dr. Mahathir dalam urusan kewangan dan khazanah negara memandangkan hubungan rapat Dr. Mahathir dengan Mohd Noor.

Najib yang sejak setahun lalu telah disebut oleh Dr. Mahathir sebagai orang paling layak menjadi TPM terpaksa menunggu setahun setengah sebelum dilantik oleh Abdullah dan menurut kalangan pemimpin tertinggi Umno, perlantikan itu dibuat memandangkan disebabkan Abdullah tidak boleh lari daripada bayangan Dr. Mahathir.

“Walaupun Abdullah cuba menunjukkan bahawa beliau kini menerajui negara, hakikatnya beberapa insiden yang berlaku termasuk dalam soal pembatalan kontrak landasan berkembar bernilai RM14.5 bilion  yang diberikan kepada kenalan rapat Dr. Mahathir Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary meletakkan Abdullah dalam keadaan tertian.

“Kesannya Abdullah tidak punya pilihan untuk mendapatkan sokongan selain daripada melantik Najib sebagai menunjukkan beliau masih akur dan patuh kepada Dr. Mahathir,” menurut seorang pemimpin tertinggi Umno ketika diminta mengulas mengenai perlantikan Najib dan rombakan kabinet yang diumumkan oleh Abdullah tersebut.

Mohd Noor Yakcob sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua  adalah Penasihat Ekonomi kepada Dr. Mahathir yang kemudiannya terus memegang jawatan itu apabila Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan rekod, Mohd Noor adalah orang yang memainkan peranan penting di Bank Negara termasuklah menggunakan Bank Negara untuk menjalankan perdagangan matawang.

Bagaimanapun apabila negara menghadapi krisis kewangan, Dr. Mahathir menutup mata di atas kegiatan yang dijalankan oleh Mohd Noor sebaliknya menyerang George Soros, yang turut menjalankan perdagangan matawang, sebagai penyangak matawang.

Dengan perlantikan Mohd Noor, beliau yang turut menjalankan aktiviti perdagangan matawang sebelum ini boleh diibaratkan melantik penyangak matawang sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Mengenai peralihan potfolio Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kementerian Pertanian dan Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis menggantikan Muhyiddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menurut pemimpin tertinggi Umno itu, ia dibuat sekadar untuk menunjukkan bahawa Abdullah sebenarnya memang telah lama membuat keputusan memilih Najib sehingga sanggup mengorbankan Muhyiddin dengan meletakkannya di kementerian pertanian.

Walaupun tambah pemimpin itu lagi, Najib disebut-sebut akan menjadi Menteri Kewangan sebelum ini, tekanan dan desakan politik Dr. Mahathir kepada Abdullah masih kuat sehingga Abdullah tidak berupaya meletakkan Muhyiddin di kedudukan yang boleh mencabar kedudukan Najib.

Manakala Jamaluddin pula daripada menjadi Menteri Kewangan Kedua kini bertaraf Menteri Penuh dan ia dilihat sebagai orang kanan Najib yang diberikan peranan lebih besar berbanding Menteri Kewangan Kedua.

Berdasarkan keadaan berkenaan, apa yang jelas Abdullah masih lagi berada di bawah bayangan Dr. Mahathir.

“Pasaran saham yang melonjak bukan membuktikan penerimaan mereka kepada Abdullah sebaliknya ia membuktikan kalangan pengamal pasaran dan ekonomi negara ini yang selama ini telah dibentuk oleh Dr. Mahathir masih yakin yang Dr. Mahathir masih berkuasa,” demikian menurut seorang ahli perniagaan.