Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 11:05 AM

Kementerian Kewangan arah henti bayar kontraktor

Kalangan kontraktor dan pembekal kepada kerajaan terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Shamsuddin Hitam yang mengeluarkan arahan agar semua pembayaran kepada semua baucer kerajaan diberhentikan serta merta pada 31 Disember 2003 lalu.

Dalam surat pemberitahuan yang dikeluarkan pada jam 2.00 petang itu, arahan diberikan agar semua pembayaran diberhentikan.

Keputusan tersebut memperlihatkan seolah-olah kerajaan menghadapi masalah kewangan yang serius.

Beberapa buah syarikat yang sepatutnya menerima pembayaran daripada Kementerian Kewangan melahirkan rasa terkejut mereka kerana sebelum ini mereka merasa lega dengan jaminan kerajaan agar semua bayaran tertunggak dibayar segera.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan agar semua kontraktor yang masih belum dibayar diberikan pembayaran segera.

Menurut laporan kerajaan berhutang kira-kira RM3 billion kepada kontraktor yang telah menyiapkan semua projek kerajaan.

Apa yang lebih mengelirukan arahan tersebut dibuat berdasarkan satu surat pemberitahuan yang hanya menggunakan nama Shamsuddin tetapi tidak ditandatangani oleh beliau.

“Paling tidak perlu ada arahan seperti pekeliling tetapi arahan ini hanya dibuat melalui notis pemberitahuan sahaja,” demikian menurut seorang kontraktor yang kecewa kerana bayaran projeknya untuk tahun 2003 tidak dapat dibayar ekoran tindakan berkenaan.

Ditanya apakah yang menyebabkan arahan itu dibuat, beliau berkata, apa yang paling jelas ia memberikan gambaran bahawa kerajaan menghadapi masalah kewangan yang serius sehingga terpaksa memberhentikan pembayaran.

Sehubungan itu, syarikat-syarikat yang menunggu pembayaran berkenaan menuntut kerajaan agar membuat penjelasan segera berhubung notis pemberhentian pembayaran yang dibuat oleh Shamsuddin bagi mengelakkan kekeliruan.

Malah mereka menuntut agar Kementerian Kewangan memberikan sebab yang jelas kenapa pembayaran berkenaan dihentikan serta mereta.