Seruan
Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 11:07 AM
Pilihanraya
Negeri Sabah
Komponen
BN rebut kerusi
Parti-parti
komponen Barisan Nasional (BN) Sabah mula bergolak ekoran tindakan
Umno menuntut agar diberikan lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri
daripada 60 kerusi yang ada pada pilihanraya umum negeri itu yang
dijangka akan diadakan pada Mac atau April tahun ini.
Tindakan
Umno itu menyebabkan parti-parti komponen lain merasakan Umno ingin
menguasai majoriti DUN Sabah dan menidakkan hak parti-parti komponen
lain yang telah lama bertapak di negeri itu.
Malah
kalangan pemerhati politik melihat tuntutan Umno itu mempunyai kaitan
dengan soal penggiliran Ketua Menteri yang akan menyaksikan selepas
pilihanraya negeri, Ketua Menteri Sabah akan dilantik daripada kalangan
kaum Kadazan – yang sudah tentu menjadi milik wakil Parti Bersatu
Sabah (PBS).
Umno
difahamkan bimbang dengan giliran yang akan dipegang oleh PBS memandangkan
rekod ‘buruk’ PBS sebelum ini yang sanggup menikam kawan dari belakang
setelah berkuasa.
Sehubungan
itu tuntutan Umno untuk mendapat lebih 30 kerusi disifatkan sebagai
langkah berjaga-jaga Umno untuk mengelakkan PBS mengulangi perbuatannya
meninggalkan BN apabila telah menerajui kerajaan negeri.
Keputusan
Umno menuntut lebih 30 kerusi bukan merupakan satu rahsia kerana
ia telah dinyatakan secara terbuka oleh Ketua Penerangan Umno Sabah,
Datuk Abdul Rahim Ismail.
Malah
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman dikatakan
akan mengumumkan keputusan itu tidak lama lagi.
Buat
masa ini Sabah mempunyai 48 kerusi DUN dengan 25 dikuasai oleh Umno,
PBS (17), UPKO (2), SAPP (3) dan LDP satu kerusi.
Menjadi
rahsia umum di Sabah, Umno telah memasang angan-angan untuk bertanding
di 36 kerusi DUN daripada 60 kerusi yang ada berikutan persempadanan
semula kawasan pilihanraya.
Bagaimanapun
Presiden PBS, Pairin Kitinggan dalam Kongres ke-18 PBS di Kota Kinabalu
baru-baru ini, dengan tegas menyebut parti itu tetap akan mempertahankan
jumlah kerusi yang dimenangi iaitu 17 kerusi dan akan memohon untuk
mendapatkan beberapa tambahan kerusi ekoran persempadanan semula
kawasan pilihanraya.
Dengan
kenyataan tersebut, jumlah yang diimpikan oleh Umno iaitu 36 kerusi
dan 17 kerusi sedia ada PBS menjadikan 53 kerusi daripada 60 kawasan
telah direbut oleh dua parti berkenaan.
Timbul
persoalan di kalangan para penyokong parti komponen BN lainnya iaitu
PBRS, UPKO, SAPP dan LDP tentang nasib parti itu.
Belum
lagi diambil kira MCA yang pernah bertanding satu kerusi di Sabah
tetapi tewas dalam pilihanraya yang lalu.
Mengulas
mengenai perkembangan tersebut, Pengerusi keADILan Sabah, Datin
Saidatul Badru berkata, perebutan jumlah kerusi itu membuktikan
parti-parti komponen BN Sabah lebih mengutamakan kelompok masing-masing
dan bukannya memikirkan tentang kepentingan rakyat.
Tambahnya,
sekiranya mereka semua ikhlas berjuang untuk rakyat, mereka adalah
dalam satu keluarga BN dan tidak timbul soal banyak atau sikitnya
kerusi yang ditandingi sebab mereka atas satu nama dan satu lambang.
“Namun
hakikatnya mereka ini lebih mengutamakan kelompok dan puak masing-masing
dan dengan itu masing-masing mahukan kerusi lebih bagi memastikan
mereka dapat memonopoli pentadbiran dan sumber negeri.
“Setelah
itu nanti, mereka akan lupa tentang nasib rakyat,” ujarnya.
|