Seruan
Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:36 AM
BICARA
PRESIDEN
Pemimpin
autokratik cabul nilai-nilai Asia
Kita
sering mendengar beberapa pemimpin Asia yang menonjolkan diri mereka
sebagai jurucakap Asia mengutuk keburukan dan keruntuhan moral di
Barat. Masyarakat Barat dikatakan sudah runtuh kerana berlakunya
berbagai bentuk masalah sosial dan juga jenayah. Ini dikatakan berpunca
daripada sikap Barat yang liberal dan ‘permissive’.
Namun,
jika perhatikan masyarakat Asia hari ini masalah-masalah yang sama
telah dan sedang muncul. Kadar jenayah semakin meningkat. Di bahagian-bahagian
tertentu di Asia, rompakan dan penculikan sudah menjadi perkara
biasa seolah-olah kawasan-kawasan ini telah menjadi wilayah koboi.
Di Malaysia sendiri, keganasan terhadap wanita sudah menjadi berita
harian.
Sekiranya
kita menonton laporan Edisi Siasat NTV7, nyata sekali berbagai masalah
sosial seperti homoseksual, pondan dan seks bebas, yang dikatakan
sebagai masalah Barat sudah berada di Malaysia. Di Singapura seks
sebelum kahwin di kalangan remaja telah menjadi satu masalah serius.
Kedua-dua negara ini merupakan negara yang mempunyai pemimpin yang
lantang menyatakan tentang kehebatan ‘nilai-nilai Asia’ jika dibandingkan
dengan nilai Barat.
Sebenarnya,
kehebatan ‘nilai Asia’ adalah satu mitos. Benua Asia menjangkaui
dari Timur Jauh sehinggalah Timur Tengah. Nilai-nilai masyarakat
di Asia amat berbeza. Dan Asia terkenal kerana kepelbagaian nilai.
Selain dari nilai-nilai positif, ia juga terkenal kerana berbagai
amalan negatif seperti perdagangan manusia dan seks, pelacuran kanak-kanak,
amalan rasuah dan pencemaran alam.
Jika
berbagai masalah yang wujud di Barat adalah kerana masyarakat yang
terlalu bebas dan ‘permissive’, di Asia di antara punca masalah
yang kita hadapi ialah kerajaan yang yang autokratik dan tidak wujud
pertanggungjawaban. Akibatnya, kerajaan-kerajaan ini bertindak mengikut
sesuka hati dan tanpa batasan dan kawalan. Ini terjadi khususnya
apabila ia dicabar. Kerajaan-kerajaan sebegini akan melakukan apa
saja untuk mengekalkan kekuasaan.
Dua
instrumen utama yang sering digunakan ialah penindasan dan rasuah.
Pemimpin-pemimpin menggunakan rasuah untuk mendapatkan sokongan
pegawai-pegawai cabang-cabang lain kerajaan. Ini berikan dalam bentuk
kontrak perniagaan, janji kenaikan pangkat, janji jawatan dan ganjaran
lumayan selepas persaraaan kepada pegawai-pegawai berkenaan. Bagi
mereka yang tidak boleh dibeli melalui rasuah, ugutan dan penindasan
digunakan.
Oleh
kerana pemimpin-pemimpin ini bebas dari sebarang pertanggungjawaban,
mereka boleh bertindak sewenang-wenangnya. Ini termasuklah memperkayakan
diri dan mengamalkan rasuah. Jawatan politik merupakan laluan untuk
menjadi kaya. Dan untuk memastikan penyelewengan mereka tidak didedahkan
dan dihebahkan, mereka membataskan kebebasan bersuara, mengawal
media massa dan mewujudkan undang-undang kerahsiaan yang menyukarkan
usaha mendedahkan penyelewengan mereka.
Media
digunakan untuk membentuk imej yang amat baik mengenai diri mereka.
Perhatikan bagaimana rakyat diingatkan untuk menghargai ‘perjuangan’
dan ‘pengorbanan’ pemimpin-pemimpin ini. Adakah seorang rakyat biasa
yang kemudiannya dengan cepat menjadi jutawan selepas terlibat di
dalam politik pemerintah boleh dianggap sebagai telah berjuang dan
berkorban?
Justifikasi
yang digunakan untuk melakukan semua ini ialah bahawa apa yang mereka
katakan sebagai ‘nilai-nilai Asia’ menekankan kestabilan dan kepentingan
kolektif. Oleh itu, tidak perlu media yang bebas, tidak perlu kebebasan
bersuara kerana semua itu akan menggugat kestabilan. Individu tidak
harus diberi kebebasan kerana ia boleh menjejaskan kebebasan kolektif.
Hujah
‘nilai Asia’ sebenarnya adalah hujah yang tempang. Nilai Asia tidak
mengenepikan pertanggungjawaban pemimpin kepada rakyat mahu pun
memberi pemimpin hak bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyat.
Ini dapat kita perhatikan pada bidalan, simpulan bahasa, peribahasa
dan cerita-cerita rakyat. Kisah Sultan Mahmud mati dijulang, kisah
Hang Nadim dan Singapura dilanggar todak, peribahasa seperti ‘ular
menyusur akar tidak kan hilang bisanya’ dan ‘raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah’, semuanya menunjukkan nilai budaya yang
‘rakyat-centric’, menekankan keadilan dan pertanggunjawaban pemimpin
kepada rakyat. Malahan, ia menunjukkan bahawa raja-raja Melayu tidak
dilihat rakyat sebagai mempunyai kebebasan dan kuasa mutlak. Ini
amat berbeza dari pemimpin-pemimpin Melayu hari ini.
Segala
kepincangan dan keburukan yang dikatakan ada pada masyarakat Barat
kini sudah menular di negara-negara Asia, termasuklah di Malaysia.
Ini kerana rejim-rejim autokratik Asia lebih mementingkan mengekalkan
kekuasan mereka dan bukan untuk membina masyarakat madani. Institusi-institusi
yang sepatutnya melindungi kepentingan rakyat lebih berperanan melindungi
pemimpin-pemimpin yang mengkhianati rakyat.
Malahan,
kepincangan dalam institusi-institusi ini menjadi sebahagian dari
masalah yang membelengu masyrakat. Di negara-negara Barat masalah
sebegini berpotensi untuk diatasi kerana kerana kerajaan masih bertanggungjawab
kepada rakyat. Di negara seperti Malaysia pertanggungjawaban sebegini
tidak wujud. Oleh itu, kita boleh menjangkakan kemerosotan yang
kini menular di Malaysia akan merebak dengan lebih cepat. Generasi
seterusnya akan mewarisi masyarakat Malaysia yang lebih pincang
jika ini dibiarkan berterusan. Barat dan Asia tidak lagi ada bezanya.
Ayuh bangun dan teruskan reformasi!
|