Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:44 AM

Kerajaan cuba kelirukan rakyat tentang harga kenderaan

oleh Ria  Tiara

Pengumuman struktur cukai baru bagi kenderaan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Abdullah Ahmad Badawi, awal tahun ini benar-benar mengelirukan rakyat. Pengumuman tersebut yang dinanti-nantikan oleh semua ternyata mengecewakan.

Pengurangan cukai impot yang diumumkan oleh kerajaan tiada makna kerana pada masa yang sama menyaksikan peningkatan ketara dalam cukai eksais, di samping itu, cukai jualan juga dijangka akan dinaikkan.

Rakyat Malaysia sudah sekian lama membayar lebih untuk kereta nasional berbanding harganya di pasaran luar Malaysia. Malah kereta nasional yang diekspot dilengkapi dengan aksesori yang lebih baik berbanding dalam negara, untuk bersaing dengan model-model kereta antarabangsa yang lain.

Kini, dengan penguatkuasaan Afta, peluang untuk membeli kereta selain proton juga berakhir. Rakyat tidak diberi peluang memiliki kereta pilihan mereka, mereka terpaksalah berpuashati dengan Proton, Perodua dan NazaRia, yang harganya tidak juga rendah berbanding harga kereta yang diimpot.

Rata-rata penganalisis permotoran berpendapat struktur baru cukai kenderaan meningkatkan harga kenderaan. Tetapi Rafidah tetap ingin memperdayakan rakyat, dia dipetik mengatakan kerajaan tidak pernah menjanjikan harga kenderaan akan turun apabila struktur cukai impot dan eksais dibuat sempena pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Dia juga berkata, “ Saya jangka harga kenderaan akan berkurangan akibat persaingan pasaran kerana pengedar tidak akan menyalurkan semua peningkatan kos kepada pengguna.”

Kerajaan menjaga kepentingan segelintir rakyat daripada massa. Rakyat terpaksa menanggung beban disebabkan kelemahan Proton untuk berdiri di atas kehebatan sendiri. Nampaknya, kereta nasional yang dimegahkan sangat oleh kerajaan BN, sebenarnya tidak mampu bersaing di pasaran tempatan, jangan bicara tentang pasaran antarabangsa. Kerajaan terpaksa melindungi harga kereta nasional daripada kereta impot yang modelnya lebih menarik dan teknologinya yang lebih tinggi. Kerajaan menggunakan helah, rakyat negara ini mesti mempunyai semangat patriotik dengan membeli kereta nasional.

Kerajaan BN masih sama seperti dulu, kini dan selamanya, mengutamakan kroni daripada rakyat.