Seruan
Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:45 AM
‘Tak
mungkin keADILan sertai Umno’
oleh
Srikandi
Menjelang
pilihan raya ini, usaha melemah dan memecahkan semangat lawan menjadi
agenda utama. Sejak akhir-akhir ini, Keadilan mendapat perhatian
Umno dan Barisan Nasional.
Berita mengenai kepimpinan
dan ahli Keadilan dipujuk untuk menyertai Umno disebarkan dengan
meluas. Umno merasa selesa melihat Keadilan dibubarkan sepertimana
Semangat 46 dan kembali ke pangkuan Umno. Satu perkara yang Umno
gagal memahami ialah Keadilan bukan seperti Semangat 46, Keadilan
ialah parti berbilang kaum yang berlandaskan prinsip keadilan sejagat,
berlainan dengan Semangat 46 yang merupakan parti serpihan Umno,
memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
Seruan
Keadilan meninjau pandangan beberapa pimpinan Wanita Keadilan tentang
isu kemungkinan Keadilan menyertai Umno dan Barisan Nasional. Ini
yang apa mereka kata:
Ketua Wanita Johor, Dr. Zaliha
Mustafa berpandangan, “Tidak mungkin Keadilan akan sertai Umno
kerana matlamatnya berbeza, dan caranya bertentangan dengan apa
yang kita pegang. Umno sedang tenggelam dalam segala bentuk rasuah,
salahguna kuasa dll. Menyertai Umno bermakna menggadaikan prinsip
Politik Baru dan Malaysia Baru.”
Ketua
Wanita Pulau Pinang, Hjh Salma Ismail fikir, “Pertama, secara peribadi
saya tidak akan menyertai Umno, dulu, kini dan selamanya kerana
prinsipnya berbeza dengan prinsip yang dipegang dalam Keadilan.
Keadilan memperjuangkan keadilan sejagat, bukan perjuangan sempit
yang didokong oleh Umno. Keduanya, Umno dan BN masih yang sama,
walaupun ia di bawah pimpinan Abdullah, ia masih yang melakukan
rasuah, masih melakukan kezaliman, masih mengaut kekayaan negara.
Akhir sekali, jika sekiranya terdapat mana-mana individu atau sekumpulan
pemimpin ataupun ahli Keadilan yang menyertai Umno, mereka sebenarnya
mempunyai agenda mereka sendiri. Rakyat marhain akan rasa dipermainkan
dan tidak mungkin akan percaya kepada individu atau kelompok tersebut
selepas itu.”
Ketua
Wanita Wilayah, Hjh Zuraida Kamaruddin melihat perkembangan mutakhir,
sebagai BN dan Umno yang cemas akan kemampuan Keadilan untuk terus
menarik hati rakyat. Walaupun pelbagai sekatan dan tekanan yang
dilaksanakan ke atas parti pembangkang, pemimpin-pemimpinnya dan
ahli-ahlinya tetap teruskan usaha menegakkan keadilan. Ia adalah
perkembangan yang positif kerana Keadilan masih dilihat mampu ‘menyengat’,
oleh itu Umno menggunakan kaedah mengalihkan kelemahannya kepada
yang lain.
|