Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:48 AM

Menafikan hak perubatan Anwar Ibrahim

‘Ambil tindakan atas Dr Jeyaindran’

Oleh: Dr Irene Fernandez

Timbalan Ketua Wanita, Wanita keADILan Malaysia

Wanita keADILan merasa lega, apabila akhirnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan yang perlu kerana keadaan kesihatannya yang bertambah serius.

Permintaan Datuk Seri Anwar untuk dimasukkan ke hospital, dua minggu lalu, kerana mengalami kesakitan yang luar biasa, telah dinafikan oleh Dr Jeyaindran Sinnadurai. Ubat yang ditambah hanya memburukkan keadaan, di mana kaki dan lengannya bengkak.

Selian itu, Dr Jeyaindran telah membuat laporan palsu kepada Perdana Menteri, bahawa, Datuk Seri Anwar sebenarnya sihat dan tidak mengalami sakit yang serius.

Namun, tindakan bebas oleh pihak penjara untuk memasukkan Datuk Seri Anwar ke hospital, membuktikan keadaan tulang belakangnya sudah bertambah parah.

Sebagai seorang doktor, Dr Jeyaindran bertanggungjawab terhadap pesakitnya. Dr Jeyaindran telah gagal melaksanakan tugasnya. Dengan itu, Wanita Keadilan mendesak agar Pertubuhan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Association) untuk segera mengambil tindakan terhadap Dr Jeyaindran.

Tindakan disiplin wajar dikenakan dan MMA wajar mengadakan penyiasatan dan melihat mengapa Dr Jeyaindran patut terus menjadi doktor. Tiada tolak ansur patut diberi kepada individu-individu terutama para doktor, seperti Dr Jeyaindran, yang dengan sengaja membahayakan pesakitnya.

Dr Jeyaindran patut segera ditamatkan perkhidmatannya, iaitu sebagai doktor yang dilantik untuk merawat Datuk Seri Anwar.

Datuk Seri Anwar patut dibenarkan mendapat rawatan lanjut mengikut pilihannya, hatta, jika beliau perlu ke luar negara untuk mendapatkannya.

Insiden ini menunjukkan, mengapa Datuk Seri Anwar sebelum ini, tidak yakin untuk menjalani pembedahan yang dilakukan di Malaysia. Oleh itu, Perdana Menteri yang baru, wajar membenarkan Datuk Seri Anwar mendapatkan rawatan yang sesuai dengan keadaan kecederaan yang di hadapi.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mesti mengarahkan Menteri Kesihatan untuk mengadakan penyiasatan ke atas rawatan dan layanan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika seorang bekas timbalan perdana menteri boleh dilayan seperti itu, tidak dapat dibayangkan, masalah yang di hadapi oleh banduan dan tahanan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Wanita keADILan menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan  Pertubuhan Perubatan Malaysia untuk mewujudkan badan bebas bagi menyemak semula perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang disediakan bagi banduan dan semua tahanan di pusat-pusat tahanan. Terdapat banyak aduan daripada banduan bahawa mereka tidak mendapat layanan dan rawatan yang diperlukan.