Seruan Keadilan Online - Monday, February 9, 2004 10:36 AM

MINDA ANWAR

Jujur dalam menerima perbezaan dan kepelbagaian

Lebih kurang tiga puluh tahun yang lalu, buat pertama kali saya bertemu dengan ide Club of Rome. Bersama dengan sekumpulan intelektual muda, aktivis dan penyajak dari Asia Tenggara, saya bertuah dapat terlibat dalam siri diskusi informal, di mana kami melihat isu-isu penting, bagi masyarakat madani yang rapuh. Dalam satu pertemuan, mendiang Soedjatmoko dari Indonesia, menyampaikan satu wacana yang menarik mengenai "The Limits to Growth" (Had Pertumbuhan). Ia merupakan masa untuk pembangunan dan pertumbuhan yang menggila, pertumbuhan sebagai penawar kepada semua masalah, tiada kebimbangan akan kesan sosial, budaya dan persekitaran. “The Limits to Growth” menjadi satu kritik yang merosakkan kebijaksanaan. Kami sedar, dan sebenarnya kritikal, akan keterbatasan laporan mengaplikasikan kepada ekonomi yang sedang membangun. Buat seketika, negara-negara industri mengalami pertumbuhan berlebihan, kita di negara membangun pula mengalami pertumbuhan yang rendah atau ekonomi yang beku.

Walaupun kami hanya idealis muda, pencernaan pandangan yang kurang sofistikated dan kurang tegas, namun, saya fikir, kami  dapat menggarap isu-isu fundamental dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Kami rasakan dan menyaksikan berleluasanya rasuah dan keruntuhan moral dalam orde sedia ada, dan kesedaran ketara di kalangan generasi muda, yang telah dilahirkan oleh sistem. Ketidakseimbangan ekonomi dan perbezaan sosial begitu ketara di mana-mana, tetapi perbincangan mengenai masalah ini kurang mendalam disebabkan penyakit menjerut intelektual. Kami memahami revolusi pengharapan yang tinggi mengiringi penekanan yang berat sebelah kepada pembangunan material, yang telah menyebabkan peningkatan keadaan yang kita katakan sebagai “revolusi bertambah kecewa.”

Kami sedar bahawa, jika terlampau eksklusif  memikirkan tentang pertumbuhan, akan membawa kepada peningkatan mendadak, perbezaan dalam masyarakat. Terutama dalam masyarakat yang pelbagai etnik dan budaya, ini akan menjejaskan perpaduan sosial. Ketegangan sosial dan politik, tidak dapat tidak, akan menggugat kedaulatan sesebuah negara. Kami merasa yakin akan keperluan mengintegrasikan prinsip-prinsip keadilan sosial, persamaan dalam pembahagian pendapatan, begitu juga pembangunan yang seimbang dalam keseluruhan strategi.

Dengan itu, saya tidak dapat mengungkap dengan lebih jelas, akan keyakinan saya tentang masalah kemanusiaan yang begitu banyak, semasa ucapan perasmian sebagai presiden persidangan Unesco, lebih kurang dua belas tahun lalu, dengan merujuk kepada “The First Global Revolution.” Laporan tersebut dan “Beyond the Limits”,  yang telah mengatasi kekurangan mereka yang terdahulu. Saya dapati di dalamnya suara moral yang kuat, dan pendekatan pelbagai budaya yang begitu menyenangkan.

Benar kata-kata : “Sejarah tidak akan memberi peluang lain seluas dan meyakinkan seperti sekarang dan ia penting bagi kemanusiaan mencari kebijaksanaan untuk mengambil kesempatan daripadanya.” Sejarah belum berakhir, tetapi tidak juga yang lepas, hilang daripada ingatan kita. Sebaik saja kita mulakan tugas membentuk abad ke 21, situasi yang kita hadapi kini, dalam banyak aspek, belum pernah berlaku sebelum ini.

Pelayaran bersejarah merentas Atlantik pada tahun 1492 bukan saja bertemu dengan Dunia Baru tetapi ia menjadi titik perpisahan bagi pandangan dunia moden yang menguasai dunia pada masa itu. Menurut pandangan dunia, seluruh dunia yang bukan Eropah hanya mempunyai peranan yang pasif dalam pembangunan dunia moden. Dunia bukan Barat perlu ditemui oleh Barat, sebelum ia diletakkan di bawah skima Barat. Jika tidak, ia sengaja dilupakan atau menjadi bahan kajian manusia. Kita semua, merasa pada hari ini, kemungkinan keterbatasan daripada ‘kejahilan yang membina’. Sejarah versi ini mesti lalui perubahan konsep yang fundamental.

Oleh itu, ulangtahun ke 500 kedatangan Columbus di Amerika memberi peluang yang jarang sekali untuk mengalihkan imaginasi sejarah kita. Bagi kita, pedagang Eropah yang mencari India Timur yang akhirnya terjadinya dominasi dunia oleh Barat, mempunyai maksud yang berbeza. 500 tahun lalu, Melaka merupakan salah satu pelabuhan yang terkenal di dunia. Ia bukan saja satu pusat strategik bagi rangkaian perdagangan yang besar, membekalkan Eropah dengan barangan keperluan dan kemewahan, tetapi ia juga hubungan penting dalam jaringan pelbagai interaksi budaya dan hidup bersama. Satu bahagian yang menonjol dalam sistem yang mempunyai visi yang seimbang dan saling perlu-memerlukan.

Visi Columbia tentang globalisasi tidak memadai. Bagaimana dunia di luar Eropah dibentuk pada tahun 1492, masih menjadi perkara yang sengaja dilupakan oleh buku-buku sejarah. Dengan meninggalkannya, interpretasi alternatif tentang sejarah dunia mungkin tersasar. Kita mesti mempunyai kerendahan diri dan kehendak untuk meneroka interpretasi lain.

Agenda kita hari ini mesti memungkinkan pertemuan antara budaya yang saling memperkayakan. Itulah yang tidak berlaku dalam tahun 1492. Kemungkinan itu tidak kesampaian kerana dari awal globalisasi diikuti dengan perasaan benci dan penghapusan budaya lain yang kejam. Sistem ekonomi yang lahir kemudiannya wujud atas monopoli sumber-sumber penting, dan perdagangan dikuasai dan terhad untuk memenuhi kepentingan negara-negara yang kuat.

Pertemuan budaya yang benar-benar pelbagai tidak bermula dengan keramahan dengan orang bawah. Plurality yang sebenar bermakna jujur dalam menerima perbezaan dan kepelbagaian dalam rangka nilai-nilai sejagat yang luas. Kita tidak meminta multi budaya yang pasca moden war-warkan sebagai yang popular. Ia menawarkan pelbagai budaya, menurut nafsu, aktiviti lebih masa bagi yang kaya. Bagi masa depan plural, sikap acuh tak acuh kepada budaya yang pelbagai, tiada beza dengan tiada toleransi. Kepelbagaian kebudayaan ialah dunia baru yang kita perlu cari. Ia suatu moral sejagat baru yang kita perlu kemudi, etika baru yang perlu diperolehi.

Sistem perdagangan global yang dipelopori oleh perusahaan Columbia kini mula bercerai-berai. Dalam dasawarsa yang lepas, dalam rangkaian global, pada masa yang sama berjaya bertukar kepada pusat otonomi yang viable. Perdagangan intra rantau meningkat, dan kerjasama ekonomi telah menggalakkan pertumbuhan di rantau itu.

Tiga dasawarsa lalu, GDP kesemua negara-negara timur laut dan tenggara Asia, sama dengan sepertiga daripada Eropah Barat. Pada hari ini, Asia Timur ialah separuh daripada Eropah Barat. Jika kita terus menunjukkan prestasi yang baik seperti dalam tahun 1980an, GDP rantau Asia Timur akan mengatasi Eropah Barat pada tahun 2005; dan gabungan GDP rantau tersebut akan melebihi blok negara Nafta pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, jika prestasi bagi lima tahun terakhir sahaja diunjurkan, perubahan yang pantas dalam ekonomi global akan berlaku lebih awal. Ini adalah sistem yang terdapat di Melaka sebelum ia lenyap ditelan ombak perluasan Eropah.

Dalam bidang ekonomi dan bidang lain, kita tidak mahu warisan Columbia diulangi dalam rupa bentuk yang lain. Contoh, beban kemusnahan alam sekitar terletak di atas Barat dan kita tidak patut dibiarkan merasa bersalah. Begitu juga, bantuan kepada negara membangun tidak wajar diperkecilkan dengan memaksa hak asasi manusia apabila perkauman dan pencabulan hak minoriti semakin meningkat di Barat. Dengan nama kebebasan dan demokrasi, kita tidak hanya diharap menurut perintah yang berkuasa sahaja. Ia membimbangkan bahawa demokrasi liberal yang baru, yang dibebaskan daripada cengkaman Komunisme, juga tidak mampu mencapai idealisme yang diidamkan. Bersama dengan bilangan negara yang bertambah, menunjukkan kekangan yang keterlaluan atau mungkin ketakutan demi memuaskan tuan yang baru.

Pertembungan ini disebabkan kebergantungan mereka kepada tentera dan hal berkaitan ekonomi, tetapi lebih daripada itu, pelampau dalam masyarakat mereka sendiri. Negara yang dibebankan dengan kemiskinan, buta huruf, rasuah, pencabulan hak asasi manusia dan penyakit intelektual, tidak boleh diharap mempunyai semangat untuk bersuara tanpa halangan. Bagi mereka yang menghargai nikmat kebebasan sebenar tidak boleh merasa tertekan dengan budaya takut. Mereka mesti terimanya sebagai nilai moral yang mendesak dan suara kebebasan.

Urusan global perlu dikendalikan dengan cara yang lebih berperikemanusiaan dan beradab, memandangkan keuntungan politik dan kepentingan ekonomi yang sempit, terus mengatasi kepentingan kemanusiaan yang lebih luas. Perbandingan dalam peristiwa terkini, memperlihatkan pertembungan ketara dalam tingkah laku kita.

Dalam dunia yang dirobek oleh dominasi, konflik dan pertembungan ideologi, harapan kita hanya kepada kuasa pembebasan kebenaran dan moral. Kita harus mempelajari semula menghargai ide, seperti kata-kata Vaclac Havel, “kuasa kebenaran, kuasa kata-kata yang benar, kekuatan semangat kebebasan, suara hati dan tanggungjawab, mampu mengubah dunia”. Ini bukan suatu ide yang naif tetapi berakar umbi, dan sering dilupakan, di lubuk hati manusia.