Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:23 PM

PILIHANRAYA UMUM KE-11

Pengundi mahu kerajaan bersih, efisyen dan telus

Di tengah-tengah demam pilihanraya dan kesibukan aktiviti persiapan pilihanraya umum ke-11 ini, The Star telah membuat tinjauan dengan rakyat dari semua lapisan masyarakat untuk mengetahui harapan dan aspirasi mereka dengan kerajaan yang akan dilantik nanti.

Secara amnya, kebanyakannya mahukan kerajaan yang bersih, efisyen dan telus serta bebas dari rasuah, sensitif terhadap keperluan minoriti, bencikan diskriminasi, serta memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Mereka yang ditanya menyatakan keputusan pilihanraya kali ini akan bergantung kepada undi generasi muda, kerana mereka merupakan golongan pengundi yang paling besar, berbanding golongan lebih tua yang sudahpun membuat keputusan.

Guru bersara Francis Sta Maria yang telah mengundi sejak tahun 1969 merasakan, orang awam di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mahukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat.

Sebagai "orang lama", beliau mengatakan, adalah amat penting bagi kerajaan untuk mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran untuk menunjukkan kerajaan yang bebas rasuah.

Pekerja sosial Katherine Mah, 57, berkata, kebanyakan pengundi mahukan kerajaan yang boleh memberikan kehidupan yang lebih baik dan pantas dan efektif dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Pengurus Wilson Wong Choong Weng, 43, yang tinggal di Subang Jaya, berharap, pentadbiran baru ini akan mengambil berat tentang kebajikan masyarakat, sementar Henry Wong yang berumur 40 tahun berharap kerajaan tidak mengamalkan sikap diskriminasi.

Pesara Wong Kim Fong, yang telah mengundi dalam setiap pilihanraya, berkata, kerajaan yang baik harus mendengar pendapat rakyat, terutamanya pihak minoriti.

"Buat lebih banyak kerja, jangan banyak bercakap," katanya, yang telah berumur 80 tahun.

Haji Borhan Ismail, 43, dari Sungai Buloh, berkata, kerajaan baru ini harus menghapuskan halangan-halangan pentadbiran jikalau mahu memajukan ekonomi.

Siti Musrifah Jamil, 26, dari Kampung Baru, berkata, gabungan pemerintah haruslah memberi tumpuan kepada peningkatan tahap perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya sungguh kecewa dengan prosedur yang kompleks dan perkhidmatan yang lembap di sesetengah jabatan kerajaan," katanya.

Untuk Francis Xavier, pemandu yang berumur 42 tahun, beliau akan mengundi kerajaan yang akan mengenakan kawalan harga terhadap barang keperluan, kerana kos hidup telah meningkat.

Peguam Chitra Muthusamy mengatakan yang kerajaan baru ini patut menyediakan tabung pendidikan untuk kaum India di kawasan terpencil. Doktor gig Joe Paul, 63, berkata, kerajaan baru haruslah bersikap adil terhadap semua dan tidak bersikap diskriminasi terhadap sesetengah kaum.

Ahli perniagaan Haji Wahid Norbinsha, 55, yang telah mengundi sejak 1991 berkata, cabaran paling getir untuk kerajaan baru ini adalah untuk menaikkan taraf penghidupan rakyat di kawasan terpencil.