Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:36 PM

PILIHANRAYA UMUM KE-11

Umno salahguna harta awam

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mendesak Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri ini supaya menanggalkan segera bendera parti di pintu utama Univesiti Institut Teknologi Mara (UiTM) jalan Permatang Pauh dekat sini.

Ketua Penerangan dewan berkenaan, Anuar Abdul Hamid berkata, lambang parti tidak sewajarnya digunakan dalam kawasan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka datang ke majlis tersebut.

"Umno dan BN jelas tidak tahu menilai yang mana program parti atau kerajaan. Sepatutnya mereka gunakan bendera kebangsaan sahaja kerana ia melibatkan IPT, " jelasnya ketika diminta mengulas kejadian tersebut.

Menurutnya lagi, Dewan Pemuda juga tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya mereka tidak mengendahkan teguran.

Umno dan BN seringkali menggunakan tempat seumpama itu dan dewan orang ramai untuk tujuan program politik.

Sepatutnya, Umno meniru langkah pembangkang yang membina bangunan sendiri untuk mengadakan kegiatan parti, katanya lagi.

Harakah dimaklumkan yang Perdana Menteri akan mengadakan kunjungan ke UiTM pada 6 Mac ini untuk bertemu rakyat Permatang Pauh untuk cuba menandingi kehebatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr. Wan Azizah.

Sebelum ini, Umno pernah mengadakan program sedemikian di Politeknik Seberang Perai yang terletak tidak jauh dari situ.