Seruan
Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:34 PM
PILIHANRAYA
UMUM KE-11
Suruhanjaya
Pilihan Raya alat UMNO?
Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) tidak membenarkan tiga orang kuat Parti Keadilan
Rakyat (Keadilan) untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang.
Dalam
surat yang bertarikh 3 Mac 2004, suruhanjaya tersebut berkata, naib
presiden Mohd Azmin Ali, ketua Pemuda Ezam Mohd Nor dan timbalan
ketua Wanita Irene Fernandez disekat daripada bertanding kerana
kesalahan jenayah mereka.
Ezam
menyifatkan keputusan tersebut sebagai "tidak munasabah"
kerana ketiga-tiganya masih dalam dalam proses membuat rayuan membantah
hukuman mereka.
"Walaupun
Mahkamah Tinggi menolak rayuan kami, kami masih boleh membawa kes
kami kepada Mahkamah Rayuan."
"Keputusan
tersebut menunjukkan yang Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh
Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dan Najib, takut menghadapi pemimpin-pemimpin
Keadilan yang diterima rakyat. Mereka takut yang pemimpin-pemimpin
mereka akan tewas di tangan kami," beliau mendakwa.
Ezam
telah dijatuhkan hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama
dua tahun kerana membocorkan dokumen rahsia mengenai siasatan ke
atas dua ahli politik negara. Beliau telah diikat jamin sementara
menunggu rayuan.
Pemimpin
Keadilan tersebut, yang dijangka bertanding di kerusi Parlimen Pekan,
berkata, parti tersebut akan berbincang tentang hal ini bersama
peguamnya sebelum bercakap kepada media esok hari.
"Kita
tak akan berputus asa. Kita akan menentang ketidakadilan ini kerana
kita sedar keputusan suruhanjaya ini telah dipengaruhi oleh sesetengah
pihak."
"Mungkin
kita tak boleh mengubah keadaan kita, tapi kita akan tunjukkan yang
gambaran sebenar pemimpin BN, kepada rakyat," tambahnya lagi.
Sebaliknya,
Azmin pula menjelaskan yang berita tersebut telah mengejutkan partinya
dan para pengundinya di kerusi DUN Hulu Kelang.
Beliau
menambah yang parti tersebut sedang mempertimbangkan kemungkinan
membuat tindakan undang-undang.
"Kita
tidak akan menerima keputusan suruhanjaya ini. Persoalannya, mengapa
SPR membuat keputusan di saat-saat akhir? Mengapa ketua SPR bercanggah
dengan apa yang dikatannya sebelum ini? Sebagai ketua, beliau harus
dipertanggungjawabkan," katanya.
Azmin
merujuk kepada kenyataan pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman
tahun lepas, yang ketiga-tiganya tidak akan menghadapi masalah untuk
bertanding kerana mereka masih mempunyai hak untuk merayu.
Naib
presiden Keadilan tersebut kini sedang membuat rayuan membantah
hukuman penjara selama 18 bulan kerana berbohong kepada mahkamah.
Ketika
ditanya mengenai keputusannya, Abdul Rashid berkata ulasannya sebelum
ini telah dibuat tanpa meminta pandangan bahagian undang-undang
suruhanjaya tersebut.
"Bila
saya membuat kenyataan tersebut, saya memikirkan tentang pemahaman
undang-undang tersebut secara keseluruhannya. Saya fikir, jikalau
seseorang itu belum dipenjarakan, dia sepatutnya boleh bertanding.
"Tetapi
selepas berbincang dengan pegawai undang-undang saya, saya dapat
tahu yang pemahaman sebegitu tidak boleh digunakan untuk pilihanraya.
Undang-undang mengatakan, apabila sahaja hukuman dijatuhkan, pihak
tersebut tidak layak lagi bertanding selepas itu," katanya
ketika dihubungi.
Abdul
Rashid berkata, perlembagaan persekutuan jelas menyatakan bahawa
seseorang yang dihukum penjara 2 tahun atau denda RM2,000 atau lebih
tidak boleh bertanding di pilihanraya selama 5 tahun.
"Saya
tidak ragu-ragu dengan tafsiran ini. Pegawai undang-undang saya
telah kaji dengan teliti, dan sudah tentu dia telah merujuk kepada
ketuanya di Pejabat Peguam Negara sebelum menasihati saya. Kami
telah berbincang dengan panjang mengenai hal ini sebelum membuat
keputusan," katanya lagi.
Mengenai
tuduhan yang keputusan itu bukanlah satu keputusan bebas, ketua
Suruhanjaya Pilihanraya itu menegaskan yang pihaknya hanya mengikut
undang-undang.
"Mereka
tak boleh tuduh kita membuat kesalahan. Ini bukan keputusan kita.
Ini adalah undang-undang, bukan kita yang buat. Jikalau undang-undang
kata mereka tak boleh bertanding, kita tak boleh benarkan. Jikalau
saya, saya akan benarkan semua orang bertanding... tetapi saya tak
ada pilihan dalam hal ini," tambahnya lagi.
Mengenai
keputusan suruhanjaya untuk menghantar surat itu sekarang, dan bukan
pada masa lain, Abdul Rashid berkata: "Kita menghantar surat
itu sekarang (sebelum pencalonan) kerana mereka perlu tahu tentang
kelayakan mereka. Situasi ini boleh memberi kesan terhadap mereka
dan parti."
Dalam
masa itu, Fernandez - yang sedang membuat rayuan menentang hukuman
penjara 12 bulan dan denda kerana menyiarkan berita palsu - tidak
dapat dihubungi.
|