Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:35 PM

PILIHANRAYA UMUM KE-11

Rakyat benci rasuah, tuntut ketelusan

Hampir 80 peratus dari responden tinjauan The Star mengatakan rasuah, diikuti dengan kes jenayah, sebagai masalah serius.

Beberapa minggu sebelum pilihanraya umum diadakan, rakyat Malaysia telah sepakat mengatakan yang rasuah adalah masalah terbesar negara, dengan jenayah-jenayah lain sebagai masalah yang kedua terbesar.

79 peratus dari 3,720 responden yang ditemuramah oleh Tinjauan Pilihanraya Umum akhbar The Star setuju yang rasuah adalah masalah serius negara.

Namun, hanya 55 peratus yang berkata Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mampu mengatasi rasuah, kata tinjauan tersebut.

Sejak mengambil-alih jawatan tersebut Oktober lepas, Datuk Seri Abdullah telah mendapat sanjungan rakyat Malaysia kerana langkah-langkah membanteras rasuah yang diambilnya. Tetapi ahli politik pembangkang mengatakan yang langkah-langkah yang diambil tidak cukup untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dari 3,720 responden, 1,511 telah ditanya mengenai trend atau isu semasa. Responden lain telah ditanya berasingan untuk Kedah, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang.

Tinjauan tersebut - yang dijalankan bulan lepas - menarik perhatian akhir-akhir ini, kerana ia menunjukkan yang 57.1 peratus pengundi Melayu di Kedah menyokong Umno dan hanya 38.8 peratus mengundi PAS dan parti pembangkang lain.

Hasil tinjauan mengenai rasuah adalah menyamai beberapa temuramah orang ramai yang dibuat oleh wartawan akhbar tersebut.

Hasil temuramah itu: Rakyat Malaysia mahukan kerajaan yang bersih, cekap dan telus serta bebas dari rasuah dan mementingkan kebajikan masyarakat.

Mereka yang ditanya turut menyatakan yang kes jenayah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

"Kadar jenayah yang semakin meningkat adalah merisaukan dan boleh dianggap masalah kedua terbesar negara selepas rasuah," kata Profesor Johan Saravanamuttu dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap di bengkel yang diadakan untuk menilai tinjauan tersebut pada hari Rabu.

Isu lain yang dibangkitkan termasuk pandangan rakyat terhadap masa depan negara, diskriminasi terhadap wanita dan isu program khidmat negara.