Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 8:15 PM

BICARA PRESIDEN

Masa depan yang lebih baik: Irama baru pada lirik lama?

Tema utama yang dimainkan BN pada setiap pilihanraya umum adalah sama sebenarnya. Ia menjanjikan syurga. Dan syurga yang dijanjikan di sini ialah syurga yang dibenarkan SPR. Syurga ini ialah syurga dunia. Dan seperti biasa, rakyat akan diugut dengan berbagai amaran mengenai kekecohan yang akan berlaku jika lawan BN yang menang. Ia akan cuba menyamakan undi kepada BA dengan undi untuk keganasan dan kekecohan. Seolah-olah undi untuk BA ialah untuk neraka di dunia.

Ini sebenarnya menunjukkan BN tidak mempunyai agenda baru. Inilah modal yang digunanya pada setiap pilihanraya. Sebaliknya ia menggunakan syurga dunia yang dijanjikannya sebagai candu supaya rakyat khayal dan terpegun dengan kebendaan. Ia bertujuan untuk mengelabui mata rakyat supaya rakyat tidak melihat kepincangan-kepincangan yang berlaku. Banyak slogan yang digunakan tetapi sehingga kini kita masih tidak melihat program yang khusus untuk membetulkan kepincangan-kepincangan yang wujud dalam masyarakat. Malahan, pemimpin BN sendiri sebenarnya mengakui kegagalan mereka. Seorang pemimpin MCA telah merungut mengenai kualiti graduan yang dihasilkan universiti-universiti tempatan. Program Khidmat Negara terpaksa dilakukan untuk memupuk perpaduan. Ini sebenarnya menunjukkan bahawa dasar-dasar yang diwujudkan BN selama ini masih belum berjaya menyatukan rakyat. Dan ada pemimpin BN sendiri masih merungut mengenai polarisasi perkauman yang berlaku dalam sistem pendidikan negara. Kesemua ini adalah sebahagian dari kegagalan BN.

Media massa telah mewarwarkan mengenai muka-muka baru yang dicalonkan BN. Kononnya, ia akan membawa nafas baru. Hakikat sebenarnya jauh dari ini. Muka-muka baru ini dibawa untuk mengganti muka-muka lama untuk membolehkan Abdullah Badawi mengukuhkan kedudukannya. Perhatikan bawa di antara muka-muka baru ini sebenarnya adalah orang-orang  lama yang sebelum ini sebahagian dari Team B dan parti Semangat 46. Tindakan membawa "muka-muka baru" ini sebenarnya adalah bertujuan untuk menyisihkan anasir-anasir Team A yang dilihat setia kepada perdana menteri sebelum ini. Kemelut dalam MIC pula adalah sebahagian dari langkah presidennya untuk mencantas timbalan presidennya yang berpotensi mencabarnya.

Sebenarnya tiada yang baru pada "muka-muka baru" dan manifesto BN. Oleh itu, bolehkah kita mengharapkan pembaharuan dan pembaikan? Apa yang dilakukan BN ialah menggunakan candu pembangunan untuk menjadikan pengundi khayal dan mabuk dengan syurga dunia. Namun, syurga dunia ini sebenarnya adalah penyakit. Ada pemimpin BN menumbuk pemimpin BN lain semata-mata untuk merebut syurga ini. Tidak kurang yang membaling kerusi. Dan wujud syak wasangka bahawa ada pemimpin BN yang tidak dicalonkan telah membiayai calon bebas semata-mata kerana ingin mengalahkan calon BN yang menggantikannya.

Kenapakah ini semua berlaku? Ini kerana syurga dunia yang dijanjikan BN dibina di atas asas materialisma dan didorongi tamak haloba. Syurga BN ini adalah syurga untuk golongan elit. Nasib pekerja estet masih tidak banyak berubah, nasib pesawah masih tidak banyak berubah dan nasib penduduk setinggan masih tidak terbela. Alam sekitar terus dicemarkan, bukit-bukit digondolkan dan sungai-sungai dikotorkan. Sebaliknya syurga dunia yang dijanjikan BN hanya mengutamakan syarikat-syarikat besar dan sanak-saudara pemimpin BN. Lihatlah berapa ramai wakil rakyat BN yang hidup mewah melebihi gaji mereka sebagai wakil rakyat sedangkan rakyat biasa di kawasan mereka diabaikan. Hitunglah berapa banyak kereta mewah yang mereka miliki. Bukanlah satu kebetulan ramai anak pemimpin-pemimpin BN yang bertaraf jutawan.. Syurga dunia yang dijanjikan BN sebenarnya tidak diasaskan di atas landasan keadilan dan pengagihan kekayaan. Sebaliknya, ia hanya menumpukan kekayaan kepada segolongan elit.

Masa depan yang dijanjikan BN hanyalah penerusan kepada sistem pincang yang sedia ada. "Muka-muka baru" yang ditawarkan BN adalah mereka yang lahir dari acuan ini. Adakah mereka ini boleh diharapkan untuk membawa perubahan? Adakah mereka dapat membawa pembaikan sedangkan mereka telah sama-sama ketagih pada candu syurga dunia ala BN? Lagu yang dinyanyikan BN sebenarnya adalah lagu lama yang menggunakan lirik lama dan diubah hanya iramanya. Hakikatnya masih sama . Ia bertujuan untuk mengekalkan syurga dunia ala BN. Inilah sebabnya kita memerlukan perubahan.