Seruan
Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 8:13 PM
BICARA PRESIDEN
Formula 1/3
Satu kajian mengenai sikap
pengundi di Malaysia baru-baru ini melaporkan bahawa satu pertiga
pengundi akan membuat keputusan calon pilihan mereka pada saat-saat
terakhir. Ini adalah berita baik kerana ia menunjukkan bahawa sokongan
terhadap BN tidaklah sekukuh yang disangkakan pemimpin-pemimpin
BN.
Ini juga bererti pendekatan
yang perlu diambil ialah mengenalpasti golongan 1/3 ini dan mensasarkan
segala usaha kita untuk menawan minda dan hati mereka. Pengalaman
di Lunas, Anak Bukit dan Pendang jelas menunjukkan jentera pilihanraya
yang cekap dan tekun dalam melakukan ini akan berjaya. Di pilihanraya
kecil Pendang, walau pun PAS tewas kepada BN, calon PAS mendapat
undi yang lebih banyak dari semasa pilihanraya umum 1999. Namun,
jentera BN yang lebih agresif telah berjaya menarik golongan atas
pagar dan pilihanraya kecil ini telah menyaksikan jumlah pengundi
yang keluar mengundi yang tinggi. Ini membolehkan BN menewaskan
PAS.
Oleh itu, pendekatan yang
diambil mestilah rapi dan tersusun. Propaganda BN melalui media
massa dan jentera-jentera kerajaan akan bertindak agresif. Mereka
juga akan cuba menawan golongan 1/3 ini. Keupayaan aktivis-aktivis
BA memberi respon yang cepat adalah kritikal untuk membolehkan kita
menambat hati golongan 1/3 ini. Satu formula yang harus kita gunakan
ialah 2/3 dari sumber kita hendaklah ditumpukan kepada golongan
1/3 ini.
Cabaran utama yang akan dihadapi
kita ialah perang imej yang akan dilakukan BN. Ia akan cuba memaparkan
bahawa BN kini sudah berubah, era Mahathir telah berakhir, Abdullah
Badawi menjanjikan kerajaan yang lebih bersih, beliau berjiwa rakyat,
oleh itu sokonglah Abdullah Badawi untuk membawa perubahan.
Di sinilah aktivitis-aktivitis
BA perlu bertindak pantas dan dengan pintar dalam menanggani hujah-hujah
sebegini. Jika benar Abdullah Badawi seorang yang bersih dan komited
untuk membenteras rasuah, kenapakah jerung-jerung seperti Rafidah
Aziz tidak didakwa. Demikian juga, kenapakah penyiasatan dalaman
UMNO terhadap penyelewengan politik Khalil Yaakob di Pahang didiamkan
sahaja. Keadaan yang sama juga wujud dalam skandal balak di Pahang.
Demikian juga dengan skandal pembinaan makmal komputer yang tidak
memenuhi piawai, skandal pembinaan pusat-pusat matrikulasi yang
telah mengalami kerosakan sebelum digunakan dan skandal empangan
Pergau. Kita juga lihat tiada sebarang tindakan diambil terhadap
Najib walau pun ada laporan polis dibuat mengenai tindakannya menyogokkan
wang kepada mereka yang berpaling tadah dari Keadilan
Kesemua ini melibatkan jerung-jerung
besar atau mereka yang hampir dengan jerung besar. Malahan, jika
kita perhatikan dengan teliti kita akan mendapati bahawa penangkapan
Eric Chia dan Kasitah Gadam lebih melibatkan mereka yang dilihat
tidak rapat dengan Abdullah Badawi. Sebaliknya mereka lebih dilihat
sebagai kuncu Mahathir yang boleh dikorbankan dalam kempen membina
imej Abdullah Badawi. Sehingga kini pemerintah masih membisu mengenai
kontrak penyajian makanan MAS Catering yang diberi kepada ahli keluarganya
yang turut memberi jaminan keuntungan kepada ahli keluarganya yang
terbabit. Adakah peniaga-peniaga kecil diberi jaminan keuntungan
sebegini sekiranya berurusan dengan kerajaan, mahu pun mana-mana
organisasi?
Kita juga perlu menerangkan
kepada rakyat bahawa rasuah bukanlah masalah kecil dan tiada kaitan
dengan kehidupan seharian mereka. Sebaliknya, ia boleh menjejaskan
kehidupan seharian mereka dan membebankan mereka. Satu kajian di
Taiwan menunjukkan 1/3 dari kos pembelian kerajaan sebenarnya boleh
dielak jika tidak melibatkan rasuah. Projek yang berkos RM1 juta
sebenarnya boleh dilaksanakan pada kos RM650,000 jika ia tidak melibatkan
rasuah. Akhirnya, rakyat yang menanggung beban kos yang tinggi ini.
Wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk faedah rakyat dilesapkan
oleh pemimpin-pemimpin yang mengamalkan rasuah.
Selain dari pembaziran, amalan
rasuah juga membantut pertumbuhan peniaga-peniaga kecil. Apabila
sesebuah syarikat mendapat kontrak kerana kesanggupannya memberi
rasuah, syarikat terbabit sebenarnya tidak mampu dan tidak mempunyai
keupayaan melaksanakan projek berkenaan. Sebaliknya, ia akan mengsubkontrakkan
projek berkenaan kepada syarikat yang lebih kecil. Syarikat yang
lebih kecil ini terpaksa melakukan projek ini pada harga yang lebih
rendah. Untuk memastikan keuntungan, ia terpaksalah mengkrompomikan
kualiti. Sebagai contoh, sebuah projek bernilai RM10 juta diberikan
kepada sebuah syarikat yang sanggup memberi rasuah. Syarikat ini
terpaksa menanggung kos membayar rasuah kepada orang-orang tertentu.
Jika jumlah rasuah yang terpaksa dibayar ialah RM1 juta, pendapatan
sebenar syarikat ini ialah RM9 juta sahaja. Syarikat ini kemudiannya
akan mengsubkontrak atau menjual projek ini pada harga RM6 juta
kepada syarikat yang kecil. Kos menyiapkan projek ini mungkin RM5.5
juta. Jika syarikat subkontraktor ini ingin menghasilkan keuntungan
dia terpaksa mengkompromikan kualiti dengan menggunakan bahan yang
tidak memenuhi piawai atau mengubah rekabentuk pembinaan. Untuk
memastikan ini tidak mendatangkan masalah kepadanya, ia perlu pula
membayar rasuah kepada pegawai-pegawai penguatkuasa.
Akhirnya, syarikat kecil
ini mendapat keuntungan yang kecil dan menyiapkan projek yang tidak
berkualti. Kesan daripada keadaan ini, syarikat-syarikat kecil bumiputra
yang seharusnya mendapat manfaat dari projek-projek kerajaan akhirnya
tertindas dan yang beroleh keuntungan ialah syarikat-syarikat UMNOputra
yang menggunakan kabel dan kesediaan mereka membayar rasuah. Yang
paling malang ialah rakyat, kerana keadaan sebeginilah yang menghasilkan
makmal-makmal komputer dan pusat matrikulasi yang cepat rosak dan
tidak dapat digunakan. Pada musim pilihanraya keadaan menjadi semakin
meruncing kerana peniaga-peniaga ini perlu memberi “sumbangan” kepada
cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian parti. Inilah sebabnya satu
petanda pilihanraya sudah hampir ialah jumlah projek kerjaya yang
diberikan meningkat dengan mendadak 1-2 bulan sebelum Parlimen dibubarkan.
Kontraktor-kontraktor yang mendapat kontrak-kontrak ini kemudianya
perlu menyalurkan kembali wang kepada pemimpin-pemimpin cawangan
dan bahagian.
Satu kajian yang dilakukan
oleh sebuah agensi kerajaan dan dibentangkan dalam sebuah seminar
tertutup mendapati jika semua wang yang telah lesap akibat berbagai
skandal sejak 20 tahun lalu ditadbir dengan bijak oleh sebuah kerajaan
yang bersih, Malaysia hari ini sepatutnya menikmati kemakmuran lima
kali ganda lebih tinggi daripada keadaan hari ini. Oleh itu, jika
ada orang suruh kita bersyukur dengan keadaan hari ini, ingatkan
mereka bahawa rakyat sebenarnya telah dikhianati. Inilah mesej yang
harus kita sampaikan kepada golongan 1/3 pengundi yang masih di
atas pagar. Ajak mereka lakukan sesuatu untuk menghentikan pengkhianatan
ini.
|