Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 8:12 PM

EDITORIAL

Kuasa di tangan kita

Ada yang menyatakan, pembangkang tidak lagi mempunyai isu untuk diketengahkan. Menurut mereka, pemerintahan baru Abdullah Badawi sudah memenuhi tuntutan mereka, termasuk untuk membanteras rasuah dan menghentikan projek mega yang serba boros dan membazir. Dengan yakin, mereka mendakwa “tidak ada sebab” untuk menentang Barisan Nasional.

”Zaman ini zaman baru,” kata mereka. Tetapi benarkah begitu? Eric Chia dan Kasitah Gadam yang diseret ke mahkamah dijadikan bukti kononnya kerajaan bebas dan anti-rasuah. Tetapi apakah ini mencukupi?

Memang pendakwaan mereka menghembus nafas baru sesudah 22 tahun kita dikongkong oleh kezaliman dan kedurjanaan pemerintahan Mahathir Mohamad. Tetapi di zaman terdahulu pun ada menteri-menteri dan orang kenamaan yang ditarik ke muka pengadilan lantas disumbat ke dalam penjata. Kalau kini Kasitah Gadam jatuh, di zaman Tunku pun, Abdul Rahman Talib didakwa di mahkamah. Di zaman Tun Hussein Onn pula, Harun Idris dipenjarakan, manakala di waktu Mahathir, Mokhtar Hashim nyaris dijerut di tali gantung.

Ini bukti utama bahawa Abdullah Badawi langsung tidak membawa sebarang perubahan. Sebaliknya, kita masih di takuk lama. Menteri-menteri, orang kenamaan dan ”ikan jerung” hanya dibawa ke muka pengadilan jika mereka tidak lagi memainkan peranan sebagai budak suruhan perdana menteri. Maka menjunamlah kerjaya politik mereka!

Nasib sebegini juga menimpa Anwar Ibrahim. Pokoknya, Anwar adalah seteru politik yang tidak bisa ditumpaskan dengan cara biasa, iaitu melalui pemilihan agung parti atau pilihanraya umum. Rekod Anwar yang bebas rasuah menyebabkan sukar bagi UMNO menyingkir beliau melainkan dengan cara luar biasa.

Hanya ada satu cara untuk menjatuhkan Anwar iaitu dengan mereka-reka tuduhan yang bukan-bukan. Lantas, adab kesopanan dan kebenaran diketepikan. Maka terpenjaralah Anwar!

Abdullah badawi diberi kuasa sebagai Perdana Menteri bukan sahaja untuk mentadbir negara tetapi untuk memastikan nilai-nilai perlembagaan negara, termasuk hak-hak asasi manusia dipertahankan. Dalam tugas ini, beliau ternyata gagal. Rakyat tahu, selagi Anwar terus terpenjara, selagi itulah kezaliman bermaharajalela. Segala perubahan yang diagung-agungkan oleh Abdullah Badawi hanyalah satu jenaka – sandiwara yang jelek lagi menjelekkan.

Apa bezanya Abdullah dengan Mahathir, jika Anwar terus dipenjarakan? Siapakah yang lebih berdosa, antara si-pemfitnah dengan orang yang terus mendokong fitnah tersebut? Mungkin Abdullah yang lebih bersalah, kerana sebenarnya beliaulah yang menjadi alat meneruskan kezaliman Mahathir!

Masakan Abdullah Badawi, orang terpelajar berlatarbelakangkan keluarga alim ulama, dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang serba cerdik pandai, tidak terfikir bahawa perbuataannya itu salah? Jadi, apa kesimpulannya? Tentulah tidak lain dan tidak bukan, Abdullah Badawi turut bersekongkol dalam konspirasi jahat ini, kalaupun tidak sebagai pembantu sutradara, sebagai pak pacak yang memegang tombak bagi terus menghalang wira rakyat kembali ke pangkuan famili dan rakyat!

Anehnya, kita mendengar dakwaan, kononnya Abdullah Badawi tidak sezalim Mahathir! Apakah mereka ini buta? Celikkan mata dan pasang telinga – lihatlah bagaimana penipuan terhadap rakyat Malaysia masih berterusan! Dan kita sebagai rakyat turut bertanggungjawab jika kita berpeluk tubuh dan terus mempercayai penipuan ini.

Apa yang ada pada Abdullah Badawi ialah kuasa untuk mengubah kedurjanaan, membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara lantas membebaskan negara dari mimpi ngeri yang tidak henti-henti semenjak peristiwa 1 September 1998. Dan jika Abdullah Badawi enggan berubah, kita sebagai pengundi berhak mengambil balik kuasa itu pada tanggal 21 Mac ini.

Hanya dengan cara inilah makakita akan benar-benar berjaya meluputkan kerosakan dan kehancuran demokrasi yang bermula semenjak Mahathir bersemayam di takhtanya. Pilihan ini, pilihan kita. Gunakanlah dengan bijaksana!