Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:42 PM

Sindiket minta kad pengenalan beroperasi selepas pencalonan

Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Norhashimah Deraman mengingatkan bakal pengundi agar berhati-hati terhadap sindiket mengambil kad pengenalan kononnya untuk memudahkan urusan membuang undi.

Menurutnya, berdasarkan kepada maklumat diperolehi sindiket itu akan memulakan tugas mereka selepas penamaan calon sehingga menjelangnya hari mengundi.

“Sindiket ini akan dilakukan pihak tertentu untuk mengambil kad pengenalan terutamanya penyokong PAS dan Barisan Alternatif (BA) bagi menggagalkan mereka membuang undi di hari pengundian.

“Ingat, jangan sekali-kali menyerahkan kad pengenalan terutamanya kepada orang yang tidak dikenali, walau apa pun alasan mereka,” katanya di majlis Penerangan Dasar-Dasar Kerajaan Negeri, di Dewan Majlis Daerah Bachok, di sini semalam.

Turut hadir anggota Exco Dewan Pemuda PAS negeri, Haji Nasharuddin Daud dan Ketua Dewan Muslimat PAS Bachok, Hajah Zainab Sidek.

Norhashimah berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab akan melakukan apa sahaja demi untuk memenangkan Umno di Kelantan. Katanya lagi, kehadiran muslimat di program serupa yang diadakan di Jeli baru-baru ini membuktikan sokongan rakyat kepada PAS masih padu.

Nasharuddin berharap penduduk Bachok mempertahankan kubu kuat PAS itu pada pilihan raya umum ini.

Menurut beliau, sekiranya usaha bersungguh-sungguh tidak dilakukan untuk mempertahan kemenangan, sejarah Parlimen Bachok sebagai kubu kuat PAS akan berkubur begitu sahaja.

“Selain Pengkalan Chepa, Bachok juga adalah kubu kuat PAS dan ia wajib dipertahankan pada pilihan raya umum ini,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, biar pun penduduk Bachok mendapat limpahan wang, namun jangan sampai menggadaikan prinsip perjuangan mendaulatkan Islam.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Bachok turut menyampaikan cenderahati kepada lapan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di majlis tersebut.