Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:43 PM

Calon wanita pembangkang kekalkan momentum pilihanraya

Parti-parti pembangkang akan mencalonkan jumlah tertinggi wanita dalam pilihanraya akan datang ini dengan jumlah 31 calon, berbanding 12 pada tahun 1999.

Berdasarkan maklumat awal, ini adalah peningkatan sebanyak 158 peratus - ini adalah kerana PAS telah memutuskan untuk mencalonkan 10 wanita dalam pertandingan untuk kerusi Parlimen dan DUN, perubahan berbanding 22 tahun sebelum ini. Kali terakhir calon wanita mewakili parti Islam tersebut adalah pada tahun 1978.

Keadilan, yang hanya mencalonkan 5 wanita pada 1999, akan mencalonkan 13 wanita dalam usaha berkempen seluruh negara.

DAP, yang telah menjadi tradisinya untuk menghantar calon wanita, dijangka mengemukakan 10 calon wanita kali ini, berbanding 7 pada 1999, dari mana 4 telah menang.

Ketua penerangan Dewan Muslimat PAS Dr Siti Mariah Mahmud memberitahu malaysiakini yang calon-calon wanita terdiri dari guru-guru agama dan ahli profesional.

Beliau berkata calon akan bertanding dalam 5 negeri - empat di Selangor, 2 di Kelantan dan Kedah, dan satu di Johor dan Perak.

"Tiada kerusi yang selamat untuk kami... mungkin di Kelantan. Seperti calon-calon lelaki, calon Muslimat harus berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi undi," katanya.

Siti Mariah tidak memberi identiti calon-calon tersebut dan kawasan mereka, dan hanya menjelaskan yang calon terlibat adalah pemimpin yang dipercayai ramai yang terdiri dari ahli-ahli utama dalam sayap Muslimat parti.

Walaubagaimanapun, sumber-sumber mengatakan yang barisan itu terdiri dari ketua Muslimat Kalthom Othman, timbalan ketua Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar), Siti Mariah, dan ketua Muslimat Selangor Wan Hasrina Wan Hasan.

Kalthom dijangka bertanding di kerusi DUN Pasir Puteh di Kelantan, manakala Lo' Lo' dijangka bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak. 

Siti Mariah akan menjadi salah seorang dari 3 ahli profesional yang bertanding di Selangor, di kerusi Parlimen Kota Raja, manakala ahli perniagaan Wan Hasrina mungkin bertanding di Ampang, Dr Halimah Ali di Klang, dan jurutera Mastura Mohamad di kerusi DUN Seri Setia (Selangor).

Ketika ditanya tentang agenda utama PAS untuk kaum wanita, Siti Mariah berkata: "Kita berhasrat untuk jelas menyuarakan pendapat kita di Parlimen untuk berjuang bagi kebajikan wanita."

Ketua Wanita Keadilan Fuziah Salleh berkata calon-calon wanita dalam barisan parti tersebut terdiri daripada ahli profesional muda seperti doktor, peguam dan wartawan.

"Kebanyakannya adalah pemimpin Wanita...selebihnya tidak memegang jawatan dalam parti, tapi kita yakin mereka berpeluang untuk menang."

"Berbanding (wanita lain) parti politik lain, kita tidak hanya menyokong ahli-ahli lelaki. Pemimpin wanita juga mendapat tempat di semua peringkat dalam parti. Dalam majlis tertinggi sendiri, terdapat 8 pemimpin wanita yang diketuai oleh presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail."

Beliau berkata calon-calon wanita itu akan dibahagikan secara teratur di Selangor, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Sabah (di mana empat calon wanita akan bertanding).

"Kita berharap lebih ramai dari mereka akan menang kerana hanya satu - Wan Azizah - daripada lima calon menang dalam pilihanraya lepas," katanya.

"Wan Azizah akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh beliau. Kesemuanya kecuali Marina Yusoff (yang bersara dari politik) yang kalah pada pilihan raya lepas akan bertanding lagi...."

Empat calon tersebut terdiri dari Fuziah sendiri, Salma Ismail dan Zainun Jaafar yang tewas di Kuantan (parlimen Pahang), Batu Uban (DUN Pulau Pinang) dan Bukit Asahan (DUN Melaka) masing-masing.

Muka-muka baru adalah doktor perubatan Dr Zaliha Mustafa, pensyarah Animah Annete Ferrar (kerusi DUN Kota Anggerik) dan bekas wartawan Susan Loone (kerusi DUN Batu Uban), pensyarah Dr Rohana Arifin (kerusi DUN Balik Pulau) dan peguam Christina Liew (kerusi parlimen Kota Kinabalu dan DUN Luyang).

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata parti tersebut telah menambah tiga calon wanita kepada tujuh yang bertanding pada 1999.

Sepuluh calon tersebut akan bertanding di Perak (tiga), Johor, Negri Sembilan dan Pahang (dua setiap satu) dan Pulau Pinang, Malacca dan Wilayah Persekutuan (satu tiap negeri)

Muka-muka baru dijangka terdiri dari ahli majlis eksekutif Pemuda party Leong Ooi Kuan dan Susann Chan.

Chong berkata pemimpin wanita yang menang pada 1999 akan dibenarkan mempertahankan kerusi mereka. Ini terdiri dari Chong sendiri di Bukit Mertajam (parlimen), ahli majlis eksekutif Teresa Kok di Seputeh (parlimen), ahli majlis eksekutif Fong Poh Kuan di Batu Gajah (parlimen) dan Betty Chew di Durian Daun (DUN Melaka).

Chong berkata keperluan untuk mencalonkan wanita tidak perlu disangkal lagi memandangkan pembangkang hanya mempunyai empat calon wanita yang menang selepas pilihanraya lepas.

"Empat dari kami - tiga DAP dan satu dari Keadilan - telah berjaya membangkitkan pelbagai isu. Lebih ramai wakil wanita pembangkang, lebih baik untuk rakyat," tambahnya.

"Kita berharap dengan lebih ramai calon kita dapat menghalang ahli parlimen lelaki dari membuat kenyataan yang "sexist" mengenai wanita. Kita bercadang untuk menggandakan usaha kita,mendidik lelaki untuk lebih prihatin dalam Parlimen, walaupun ia bermakna kita harus mengajar mereka yang kurang sopan."