Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:44 PM

Bagi Pak Lah, Terengganu ialah medan tempur utama

Kawasan Melayu luar bandar yng dikuasai oleh PAS menjadi medan tempur penting bagi pilihan raya akan datang yang akan membentuk politik Malaysia.

Pertaruhan yang tinggi di negeri Terengganu bagi kedua PAS dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, juga Pemangku Presiden Umno, pada 21 Mac nanti.

PAS yang muncul hebat dalam pilihan raya 1999 dengan merampas Terengganu dan menggandakan tiga kali bilangan kerusi Parlimen, mencuba meluaskan pengaruhnya dan membuktikan kemenangannya bukan omong-omong kosong.

Tetapi Umno, parti utama dalam pakatan BN, mencari jalan menghalang pemerintahan PAS di Terengganu dan membalikkan undi besar pada tahun 1999, yang disebabkan kemarahan Melayu atas pemecatan dan hukuman penjara Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Memenangi semula Terengganu ialah ujian utama Abdullah, yang bertanggungjawab atas kempen parti Umno di sana dan mendapat mandat daripada pengundi setelah lima bulan mengambilalih daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir.

 “Terengganu ialah medan tempur utama. Ia akan dilihat sebagai kayu ukur bagi kemenangan Abdullah dalam pilihan raya kali ini,” kata Abdul Razak Baginda, pengarah eksekutif Malaysian Strategic Research Centre.

Jika PAS kekal berkuasa di Terengganu, ia akan menunjukkan pengaruh Islam semakin popular seiring dengan trend global yang mempunyai persepsi bahawa perang barat terhadap terrorist ialah perang terhadap Islam, katanya.

PAS juga memerintah di Kelantan, yang ia telah berkuasa semenjak 1990 dan dijangka akan terus berkuasa di sana.

PAS telah membuat perubahan ketara di utara, negeri Kedah pada pilihan raya tahun 1999 dan sedang memburu kemenangan di sana – yang akan memberinya berkuasa di tiga buah negeri daripada 13 buah negeri di Malaysia – tetapi banyak cabaran yang perlu dihadapinya.

Di Terengganu walau bagaimanapun, ia akan menjadi pertarungan sengit antara PAS dan BN, jika bilangan bendera sama banyak memenuhi ruang jalanraya , kampong-kampung dan sekitar ibu negeri Terengganu.

Semenjak berkuasa, PAS telah fokus kepada kebajikan sosial dengan mewujudkan bantuan kewangan dan pendidikan bagi yang miskin, menyelesaikan isu hak milik tanah yang tertangguh, menghapuskan bayaran tol dan mengurangkan cukai-cukai.

Ia juga telah mengharamkan perjudian, menghadkan penjualan arak dan menutup tempat-tempat hiburan.

Semua ini telah mendapat persetujuan orang Melayu, yang terdiri daripada 95 peratus penduduk Terengganu, yang ramai hidup sebagai nelayan dan petani.

Satu lagi yang menarik Melayu Islam kepada PAS ialah keagamaannya. Ia bercadang menukarkan Malaysia kepada sebuah negara Islam dengan perlaksanaan undang-undang Syariah.

 “Pembangunan ekonomi telah menurun tetapi saya harap PAS akan menang. Mereka telah memperbaiki moral generasi muda,” kata seorang pelajar dalam lingkungan umur 20an yang bertudung.

Zaharah Salleh, 48 tahun, pemilik kedai kopi, sudah menjadi penyokong Umno tetapi berkata dia mungkin akan bertukar parti.

 “Saya rasa akan berubah fikiran. Pemerintahan PAS di sini telah membawa banyak kebaikan kepada orang miskin dan ini mungkin tidak akan berlaku jika Umno kembali memerintah. Ia keputusan yang sukar,” katanya.

Tetapi sebaliknya yang berlaku kepada adiknya Zakaria, seorang kontraktor.

“Saya akan berubah kepada PAS lima tahun lalu kerana isu Anwar tetapi sekarang saya kembali kepada Umno kerana PAS tidak boleh bawa pembangunan yang cepat kepada negeri,” katanya.

Umno menuduh PAS mewujudkan negeri yang kuku besi dengan undang-undang Islamnya. Suatu yang mengancam kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, dan gagal mengimbangi antara ugama dan pembangunan ekonomi.

PAS berkata ia menjejaskan kecekapan kerana kerajaan pusat menarik balik lebih kurang RM800 juta royalti minyak tahunan, yang menyumbang sebanyak 70 peratus kepada pendapatan negeri semasa ia di bawah Umno. Kerajaan Terengganu kini, telah membawa kerajaan pusat ke mahkamah berkenaan isu ini.

Parti tersebut menegaskan, ia model pemerintahan Islam yang bertoleransi, dan berjanji akan bersikap adil kepada semua, tidak mengira kaum.

Pusat karaoke beroperasi di ibukota Terengganu sementara arak dan babi, dijual dengan bebas kepada orang bukan Islam.

PAS mendapat hampir 57 peratus undi popular di negeri tersebut pada tahun 1999 berbanding 41 peratus bagi Umno. Ia menang 28 daripada 32 kerusi DUN, dan semua  lapan kerusi parlimen.