Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:45 PM

Propaganda Umno: `undi PAS masuk syurga'

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno menggunakan isu `undi PAS masuk syurga’, bukannya PAS.

Katanya, pihak keselamatan pernah menahan wanita Umno yang berpakaian seperti muslimat PAS dan memakai simbol parti PAS yang menjalankan kempen undi PAS masuk syurga.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan demikian semasa bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman pada minggu lepas.

Berikut ialah petikan penjelasan beliau kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh para wartawan.

Wartawan (W): Dato Seri, janji-janji atau kempen masuk syurga. Ini dikaitkan dengan PAS. Macam mana Dato' Seri.

Tuan Guru Abdul Hadi (AH): Kita tidak ada hak untuk menentukan seseorang itu masuk syurga, neraka. Tidak ada dalam PAS. Itu hak Tuhan. Dalam poster, itu dibuat oleh orang lain, bukan oleh kita. Apa yang kita sebut dalam Quran, siapa yang beriman yang mengerjakan amal soleh, masuk syurga. Siapa yang ikut Islam, masuk syurga. Siapa yang berpegang dengan agama masuk syurga. Kita berurusan mengikut agamalah. Itulah. Itu sahaja prinsip kita. Prinsip kita menjelaskan apa yang ada dalam Islam. Dan memang keyakinan kitalah, kita nak cari syurga. Itu disuruh oleh agama. Menentukan syurga, itu Tuhan, menerangkan jalan ini masuk syurga, jalan ini masuk neraka, itu 'line' yang ditunjukkan oleh al-Quran. Mesti dirujuk. Sepatutnya bagi tiap-tiap orang Islam mestilah merujuk semua kenyataan itu kepada al-Quran yang merupakan sumber utama bagi orang Islam iaitu firman Tuhan, termasuk Nabi Muhammad sendiri. Baginda tidak boleh menentukan seseorang itu masuk syurga. Dia menentukan orang yang ditentukan oleh Allah. Nabi sebut, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali masuk syurga, itu Tuhan bagi tahu pada dia, bukan nabi yang menyenaraikan.

W: Kempen peringkat bawahan?

AH: Orang PAS tak ada. Kita pernah tangkap wanita Umno yang pakai jilbab PAS dalam beberapa kali pilihan raya. Mereka kempen dan pihak keselamatan kita tangkap, itu ada. Dia pakai lambang PAS, dia kata undi PAS masuk syurga, kita pegang dia. Itu pernah berlaku setiap kali pilihan raya.

W: PAS tidak pernah gunakan isu ini?

AH: Tidak, tapi Umno yang gunakan isu ini.

W: Dato'Seri, peringkat bawahan dan peringkat atasan tak pernah gunakan isu ini?

AH: Orang PAS faham, orang PAS mengaji agama. Apa yang berlaku ialah Umno yang mengaitkan dengan PAS dan kita tangkap dalam pilihan raya. Dia pakai jilbab macam muslimat PAS dan dia pakai simbol. Keselamatan kita ikut, kita kejar, tahan, memang kita tahan. Masa itu tak ada penguatkuasa. Apa yang kita nak ialah supaya pihak penguatkuasa ini mesti adil. Mesti adil. Kalau ada orang Umno yang kita tangkap pun, dia mesti itulah. Jangan orang Umno, dia bebas. Itu dah acapkali. Dan orang PAS kena bunuh dalam pilihan raya. Pilihan raya Lubuk Merbau, Osman Talib dibunuh. Begitu juga pilihan raya 1982, Saudara Botok dari Kampung Tok Dir, dibunuh. Lepas pilihan raya, orang PAS, tapi orang yang membunuh ini dibebaskan. Itu kita pernah alamilah peristiwa ini.

W: Dato' Seri, amaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya tidak membabitkan parti PAS?

AH: Tidak ada. Tidak ada hubungan dengan kita.

W: Tak jejas?

AH: Tak jejas. Tak ada apa. Orang kita faham termasuk yang di Kedah. Yang ditampal di jalan, `Undi PAS masuk syurga', kita dapati itulah saraf yang dimainkan oleh parti lawan, bukan kita.

W: Sekarang ini ke?

AH: Pernah keluar dalam TV. Saya hubungi PAS Kedah, dan memang dia orang buat. Tapi yang pakai pakaian muslimat, ini kita tangkap, memang orang Umno yang kempen. Itu di Terengganu. Dua, tiga kali pilihan raya kita jumpa macam ini. Itu Umno yang buat, kita boleh tangkap. Polis mesti adil, jangan tak adil. Masalahnya, orang kita yang mati, orang yang membunuh pun, dibebaskan.

W: Tuan Guru, ada dibayangkan bahawa pilihan raya kali ini cukup sengit dan kemungkinan ketegangan itu akan terus berlaku. Bagaimana?

AH: Itu satu andaian. Yang sengit bukan kita, yang sengitnya Umno. Kita tak sengit. Kita macam biasa.

W: Dato' Seri, ada satu penyelidikan dilakukan oleh akhbar The Star, untuk membuat kajian termasuk di Terengganu dan Kedah. Di Terengganu keputusannya telah disiarkan di muka depan akhbar The Star hari ini (2 Mac). Mengikut pandangan dia, dia mengkaji 650 orang responden di Terengganu. Didapati bahawa persaingan antara Umno dan PAS begitu sengit sekali. Dan mengikut kajian tinjauan itu, Umno akan mendapat 51 peratus undi dan PAS mendapat 49 peratus undi. Apa pandangan Dato' Seri?

AH: Responden itu, dari kalangan mana? Itu perlu diketahui. Kalau responden dia tanya orang Umno semua. Dia akan jawab begitulah. Dia mesti kena tanya orang atas pagar. Kalau nak buat, mesti kena tanya orang atas pagar, orang PAS berapa jumlah, orang Umno berapa jumlah. Kalangan muda berapa orang, kalangan orang Islam, kaum Tionghua, mesti kena ada. Mesti ikut. Dan saya dapati apa yang dibuat di Kedah itu tak tepat.

W: Di Terengganu pun agaknya tidak tepat?

AH: Ya, saya kata tak tepat.

W: Rasa PAS akan menanglah?

AH: Ya, insya Allah, insya Allah. Kita buat kajian macam itu dan kita tetap mengambil kira. Walaupun The Star buat kajian, kita mengambil kira semua.

W: Pernah buatlah? W: Apa keputusannya?

AH: Keputusannya, sehingga hari ini kita masih lagi memerintah Terengganu. Dan kita jangka kita lebih meningkat. Ada kerusi-kerusi Umno yang kita tawan. Dan kita boleh bertahan, kerusi Umno kita tawan. Kerana respons daripada beberapa langkah yang kita ambil, dengan sebab Umno telah memerintah hampir 40 tahun. Dan rakyat Terengganu telah mengalami pemerintahan hampir 40 tahun. Dan kita hanya baru 4 tahun. Dengan sebab itu perkara-perkara negatif yang masih ada seperti masalah kemiskinan, masalah yang belum diselesai, itu adalah peninggalan daripada 40 tahun zaman pemerintahan Umno. Dan rakyat telah melihat beberapa pencapaian yang sudah kita lihat, di antaranya ialah dalam masalah tanah, kemiskinan, kemajuan ekonomi. Sebagai contoh, kita menjadi johan dalam menyelesaikan tanah, johan bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat, kita telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan, daripada tempat kedua, pada ketiga, itu sama dengan Kedah. Dan kita akan mungkin jatuh tempat keempat dari segi kadar kemiskinan. Begitu juga dari segi pencapaian ekonomi, Perancangan Malaysia kelapan di mana kita mencapai 5 peratus mengatasi Pulau Pinang dan Selangor.

W: Dato' Seri, kajian yang dibuat oleh PAS beberapa bulan lalu yang menunjukkan PAS akan menang lebih banyak kerusi, bukan?

AH: Kita ada simulasi pilihan raya. Simulasi pilihan raya ini kita sudah buat dua kali.

W: Kajian tu hampir sama dengan The Star?

AH: Itu tidak sama. Tidak sama. Kerana kita punya responden lebih banyak, lebih besar. Kerana kita melalui cawangan-cawangan, melalui peti-peti undi. Dan melalui culaan, dibanci tiap-tiap rumah, tiap-tiap pengundi. Itu kita buat.

W: Dato Seri, The Star ada laporan mengenai Kedah yang dia kata Barisan Nasional akan menang. Itu pun Dato' rasa tak betul ?

AH: Tak betul. Dan kita sudah buat cula. Dari segi culaan, kita tawan Kedah. Culaan ini berdasarkan kepada cawangan, tiap-tiap satu cawangan, peti undi. Dan kamu dapat melihat sendiri bagaimana Barisan Nasional terpaksa menggunakan RTM dan buat rancangan khas untuk Negeri Kedah dan fokus berita pada Kedah. Itu menandakan mereka takut di Kedah.