Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:46 PM

Perpecahan BN tidak dapat disorok

Pengguguran beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) sehingga ada yang sanggup ‘mengadu dan menangis’ di depan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan yang perpecahan BN tidak dapat disorok lagi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata tindakan menggugurkan nama-nama seperti Timbalan Menteri Kesihatan, Sulaiman Mohamad; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Khalid Yunus, Napsiah Omar (Umno) dan Timbalan Presiden MIC, S Subramaniam meyakinkan rakyat bahawa BN semakin kelam kabut.

Perkembangan ini jelas apabila ada di kalangan mereka ‘merayu dan menangis’ kepada Abdullah untuk mendapat simpati, katanya.

Perkara ini yang dilaporkan sebuah akhbar Inggeris hari ini bahawa Sulaiman, Khalid dan wakil Subramaniam telah menemui Abdullah.

Turut disiarkan Presiden PPP, M Kayveas mengadakan perjumpaan dengan Abdullah selepas pencalonannya untuk kerusi Batang Padang tidak diterima Umno di kawasan tersebut.

Mahfuz berkata, tindakan mengenepikan pemimpin tersebut menimbulkan banyak kesulitan kepada Abdullah dan BN bagi berhadapan dengan percaturan calon dipilih, sekali gus menggugat kelancaran dan kelicinan jentera parti BN/Umno.

Namun, apa yang membimbangkan PAS katanya, pucuk kepimpinan BN mungkin menggunakan apa saja cara untuk memujuk mereka ini sehingga terpaksa menggunakan kebendaan atau menganugerah projek-projek besar untuk mengambil hati.

"Lazimnya Abdullah boleh buat apa saja tetapi kita minta jangan sampai berlaku penyelewengan ataupun penyalahguanan kuasa," katanya.

Dalam pada itu, katanya, perpecahan dalam BN merupakan peluang terbaik untuk Barisan Alternatif (BA) mendekati hati pengikut-pengikut pemimpin berkenaan.

"Tentu sekali mereka ini berasa tersisih dan inilah masanya bagi BA untuk mencuri hati mereka," katanya.

Beliau turut membidas tindakan Umno meletakkan tokoh-tokoh agama seperti bekas Imam Besar Masjid Negara, Pirdaus Ismail dan Dr Mashitah Ibrahim, dalam pilihanraya ini. Ia menunjukkan Umno lemah di sudut kepimpinan yang diyakini boleh membawa anjakan kepada parti tersebut.

"Di sini kita lihat Umno yang tidak yakin lagi dengan kekuatan mereka untuk mendapat undi orang Melayu, mula beralih kepada calon-calon berlatarbelakangkan agama," katanya.

Bagaimanapun beliau yang akan mempertahankan kerusi Pokok Sena berkata, Umno tidak bersungguh-sunguh menaruh harapan kepada calon-calon ini kerana mereka diletakkan di kawasan yang menjadi kubu kuat BA umpamanya kerusi Permatang Pauh dan Baling, dan hanya untuk menunjukkan yang Umno kononnya parti berimej tokoh agama.