Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:04 PM

LAPORAN KHAS: RASUAH DAN KESANNYA PADA RAKYAT

Masa untuk adakan semula pilihan raya majlis daerah

Merepek kata seorang bekas pegawai majlis tempatan dari utara, menceritakan, cubaan mengkosmetikkan majlis-majlis bagi memperbaiki kecekapan dan pertanggungjawaban.

Pegawai tersebut, yang telah berkhidmat dalam majlis tempatan lebih 30 tahun, sudah bersara baru-baru ini dengan merasa lega. Dia tidak mahu lagi berurusan dengan sistem yang tidak cekap dan semakin teruk. Ini menyebabkan perkhidmatan kepada pembayar cukai yang bertambah merosot.

Dia memberitahu yang sentimen yang sama dirasakan dalam majlis juga, bukan di luar saja. Ia amat mencemaskan kerana kurang perhatian diberikan kepada suara-suara ini, sudah agak lama.

Majlis tempatan membentuk peringkat terendah kerajaan dalam negara demokrasi. Ia adalah kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Pada tahap inilah rakyat berinteraksi dengan kerajaan setiap hari.

Oleh itu, ia jugalah yang membentuk persepsi dan sikap rakyat terhadap kerajaan. Sehingga kini, persepsi yang ketara tentang kerajaan tempatan ialah tidak cekap dan rasuah.

Jalan berlubang dan sampah sarap yang tidak diangkat, sudah menjadi petunjuk kepada pembayar cukai yang tinggal di bandar, menilai bagaimana prestasi majlis bandaraya mereka. Banjir kilat di tempat rendah yang sebelum ini tidak mengalami banjir kerana parit dan tepi jalan sentiasa dijaga dengan bersih, lagi menjadi petunjuk yang mengecewakan.

Sungguhpun begitu, perkhidmatan oleh majlis tempatan, tidak berubah, pembayar cukai terpaksa menubuhkan persatuan penduduk masing-masing dan kumpulan pemantau bagi memantau kerja-kerja majlis.

Sementara itu, rasuah di majlis tempatan, menjadi pengalaman yang sentiasa dibualkan kalangan pembayar cukai. Seruan pengerusi majlis tempatan kepada pembayar cukai supaya jangan memberi rasuah bagi menghentikan amalan rasuah memang tidak realistik dan main-main. Itu sudah tentu bukan punca kepada masalah rasuah dalam majlis.

Ia menafikan hakikat bahawa pegawai majlis mempunyai tugas berbayar untuk memberi khidmat kepada pembayar cukai tanpa disogok atau dipaksa. Ia juga suatu yang tidak bijak, meletakkan beban ke atas mereka yang dalam keadaan diabaikan, bertanggungjawab terhadap pegawai-pegawai yang rasuah.

Dalam situasi di mana periuk nasi pembayar cukai terancam, ia lebih mudah untuk menurut saja dengan permintaan, atau cadangan, memberi rasuah bagi memastikan 'survival' masa depan.

Apa yang jelas ialah majlis tempatan dan pihak berkuasa perlu membuatkan, mustahil bagi mana-mana pegawai terlibat dalam rasuah. Undang-undang dan agensi diberi kuasa menangani rasuah, seprti BPR, sudah sedia ada.

Apa yang kurang ialah kemahuan politik dan sedikit imaginasi dalam membuat perangkap bagi pegawai yang disyaki.

Seorang profesor madya Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia Dr Lim Hong Hai, menjelaskan bahawa kerajaan pusat masih mengadu tiada disiplin dan amalan rasuah dalam majlis tempatan, 20 tahun selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir melancarkan slogan "Bersih, Cekap, Amanah".

Kata Lim, tiada disiplin kerana tiada yang memastikan seruan kerajaan diambil dengan serius. Tiada ketegasan, katanya, oleh itu, tiada disiplin dan rasuah akan berterusan dan tiada tindakan diambil.

Sama seperti apa yang dikatakan oleh pegawai majlis tempatan yang bersara, bahawa Piagam Pelanggan dan sijil ISO 9002 yang setengah majlis gunakan akan hanya tinggal sebagai penyeri dinding, sehingga ada tindakan susulan apabila piawaian yang terkandung dalamnya tidak dipatuhi.

Keberkesanan majlis tempatan juga tidak akan berubah selagi majlis tempatan adalah lantikan politik yang menggunakan pengaruh politik mereka untuk campurtangan dalam urusan harian pegawai majlis dan menjejaskan kuasa mereka.

Sebagai contoh, tiada tindakan ke atas syarikat yang menaikkan billboard secara tidak sah di Pulau Pinang kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan parti politik yang memerintah.

Ahli majlis juga mempunyai senarai penjaja dan peniaga yang di bawah 'perlindungan' nya, jadi, ia akan pastikan mereka diberi lesen di lot pasar baru dan dilindungi daripada tindakan jika mereka melanggar peraturan.

Seorang bekas ahli majlis mengaku yang projek tempat letak kereta yang diswastakan diberikan kepada "budak-budak" parti.

Keadaan menjadi lebih tenat apabila hanya mesyuarat jawatankuasa penuh dibuka kepada awam, setengah ahli majlis menggunakan jawatankuasa kecil untuk memutuskan projek-projek  sensitif (dibaca: kepentingan awam) jauh daripada pemantauan awam.

Keputusan-keputusan ini akan segera diluluskan melalui mesyuarat jawatankuasa penuh tanpa awam diberi masa mendapatkan maklumat bagi mengutarakan soalan kritikal.

Hanya Majlis Perbandaran Seberang Perai yang mengadakan dialog pra-belanjawan bersama awam, belanjawan bagi lain-lain majlis hanya diumumkan kepada awam melalui media.

Ketua-ketua majlis tempatan yang ditemubual,tidak bersetuju untuk mempertimbangkan  proses tersebut dibuka kepada awam. Ini, walaupun hakikatnya, cukai dibayar oleh pembayar cukai, yang mana sebahagian besarnya untuk membayar gaji mereka.

Ipoh City Watch, menganggarkan Majlis Bandaraya Ipoh memungut cukai sebanyak RM13.7 juta setahun daripada 150 kawasan perumahan di bandaraya tersebut pada kadar RM365 setahun bagi setiap 250 isi rumah dalam sesebuah kawasan.

Sungguhpun keperluan merombak majlis tempatan amat mendesak dan sistem pertanggunjawaban difikirkan semula, kerajaan tetap berdegil bahawa sistem yang ada ialah yang terbaik.

Gesaan bagi pemilihan ahli majlis tempatan telah ditolak selama lebih 30 tahun walaupun Suruhanjaya DiRaja mengesyorkan ia dikembalikan.

Jadi mungkin ia benar bila mengatakan sistem yang ada ialah yang terbaik, tetapi hanya kepada mereka yang berkuasa.

Sistem perlantikan yang ada memastikan majlis tempatan digunakan sebagai tempat latihan bagi kader-kader parti-parti politik membuat persiapan bagi pemilihan di negeri dan pusat. Ahli majlis memang diketahui umum menjadi calon pilihan raya selepas mereka berkhidmat beberapa lama di majlis tempatan.

Mungkin, sebuah majlis yang semua ahlinya dipilih, bukan cara yang paling bijak. Terdapat beberapa model yang menggabungkan antara ahli majlis yang dipilih dan dilantik.

Sejarah majlis daerah di Malaysia, penuh dengan contoh bagaimana berkesan dan bersihnya majlis pada masa lalu kerana ahli majlis dibuat bertanggungjawab kepada rakyat.