Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:10 PM

Jomo: Usaha PM banteras rasuah gimik pilihan raya

Oleh Dinsman

Profesor Jomo KS (Universiti Malaya) berkata, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke arah membanteras rasuah di negara ini hanya akan berakhir sebagai suatu gimik politik pilihanraya sahaja.

Oleh itu, rakyat tidak boleh terpengaruh dengannya sehingga memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional pada hari mengundi 21 Mac ini.

“Bukan kita tidak menyokong tindakan Pak Lah hendak membanteras rasuah,” katanya.

“Kita patut menyokong sesiapa pun yang hendak membanteras rasuah. Tetapi dengan sedikit tindakan yang diambilnya setakat ini saya tidak yakin dia benar-benar dapat melakukannya.”

“Kita kena tanya, kenapa hanya seorang dua itu sahaja yang diambil tindakan?” katanya. “Kalau kita ada senarai pesalah rasuah, katakan dari A hingga Z, kenapa tindakan hanya diambil ke atas Z sahaja? Kenapa tidak ada tindakan ke atas A hingga Y? Dan sanggupkah Pak Lah mengambil tindakan ke atas A?”

Pensyarah tersohor dari Universiti Malaya itu mengaku bahawa setakat ini beliau tidak nampak ada petanda serius ke arah itu.

Beliau bimbang apa yang dilakukan oleh Abdullah selama empat bulan menjadi Perdana Menteri itu semua hanya helah pilihan raya.

Perubahan

“Kalau pembangkang jadi lemah selepas pilihan raya ini, jangan harap akan berlaku perubahan. BN akan terus bermaharajalela,” tegas Jomo.

Seterusnya beliau menjelaskan, “Kalau Pak Lah benar-benar serius ingin membanteras rasuah, beliau hanya dapat berbuat demikian kalau ada sokongan dan tuntutan dari orang ramai, dan tekanan daripada pembangkang, sepertimana yang dibuat oleh Husam Musa di Parlimen misalnya, yang banyak membongkar penyelewengan yang berlaku.”

Jomo mengambil contoh kes dakwaan terhadap Eric Chia, yang merupakan satu isu lama yang pernah ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu.

“Baguslah, dengan tindakan itu sekarang, jelaslah kepada kita siapa yang melindungi Eric Chia selama ini. Tetapi kalau kita dengar tuduhan yang dibuat itu menghairankan kita, kerana jumlah yang terlibat tidak sampai RM 100 juta, sedangkan kita tahu kerugian sebenar Perwaja kira-kira RM 10 bilion,” jelas Jomo.

Mengenai dakwaan ke atas Kasitah Gadam pula, mengikut Jomo, “ramai orang yang mengetahuinya di Sabah menganggap ini cerita lama, kerana Peguam Negara, Abdul Gahni Patail juga orang Sabah. Mereka ada cerita lama yang belum selesai.

"Dan orang Umno sendiri tidak tahu apa nak buat dengan Kasitah, kerana beliau merupakan orang PBS yang mula-mula masuk Umno. Jadi kesempatan ini digunakan untuk singkirkan dia.”

Mengikut Jomo lagi, ramai orang percaya bahawa hampir semua Menteri Kabinet yang ada boleh dibawa ke mahkamah, atas dakwaan rasuah. Jadi kalaulah Abdullah hendak membersihkan kerajaan dan memberi satu imej baru, hampir seluruh kabinet mesti berhenti atau minta bersara.

Oleh sebab itulah, katanya, apabila Abdullah membuat tindakan memerangi rasuah, tidak ada di kalangan menterinya yang menyatakan sokongan padu kepadanya.

“Berapa ramai menteri yang berani mengatakan bahawa apa yang Pak Lah buat mengenai rasuah itu bagus? Mana ada menteri yang komen kata tindakan ke atas Kasitah dan Eric itu baik?” Tanya Jomo dalam satu pertemuan dengannya di Universiti Malaya.

Seorang Rais Yatim

Mungkin ada seorang Rais Yatim yang cuba menampakkan sokongan. “Tetapi Rais hanya bercakap sahaja, komen sini komen sana, tetapi tiada buat apa-apa setakat ini, sudah empat bulan,” kata Jomo.

“Kalau begitulah keadaannya, jangan harap ia akan berterusan selepas pilihan raya,” ujar Jomo lagi. “Dan dakwaan ke atas Eric dan Kasitah itu pun boleh digugurkan.”

Beliau menyebut contoh banyak kes yang disiasat oleh BPR sebelum ini, pun tiada tindakan, dan tiada sebarang tanda untuk sebarang tindakan akan dilakukan.

Jomo percaya hanya dengan wujudnya pembangkang yang kuat, yang terus menekan kerajaan, barulah Abdullah akan memaksa beliau mengambil tindakan membersihkan kerajaan daripada rasuah.

Tanpa tujuan mempersoalkan keikhlasan Abdullah, Jomo berkata: “Kalaulah beliau ikhlas, setakat ini sudah tentu telah banyak tindakan ke atas lebih ramai lagi, sebab ini satu cara untuk bersihkan dan pulihkan kabinet.”

Beliau memberi contoh mengenai seorang menteri yang mengugut pegawai kerajaan. “Sudah tentu simpati orang ramai kepada pegawai kerajaan, sebab dia diugut begitu. Tetapi Pak Lah membisu.”

“Kenapa Pak Lah membisu dalam kes itu?” tanya Jomo.

Dalam kes di mana Ezam Md Nor (Ketua Pemuda KeAdilan) dibawa ke mahkamah, kata Jomo – “tidak ada siapa yang berani mengatakan bahawa apa yang Ezam kata itu tidak benar. Tetapi Ezam yang didakwa dan dihukum. Kenapa?”

Keselamatan

Akta Rahsia Rasmi sepatutnya hanya meliputi soal keselamatan nasional. Tetapi di negara kita ia digunakan untuk melindungi kroni, di mana soal pemberian tender pun semua dirahsiakan.

“Perkara semacam ini tidak berlaku di mana-mana pun di dunia,” jelas Jomo, yang turut juga menyentuh isu Anwar Ibrahim.

Apa yang dilakukan ke atas Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang tidak munasabah, yang dilakukan oleh Perdana Menteri dahulu. Tetapi Abdullah Badawi pun setelah empat bulan mengambil alih pemerintahan, tidak berbuat apa-apa yang positif ke atas kes tersebut.

”Pak Lah kalau dia nak bezakan pimpinan dia dengan Mahathir, dia boleh bebaskan Anwar. Tetapi dengan tidak berbuat apa-apa dia sebenarnya meneruskan dan merestui apa yang dibuat Mahathir,” kata Jomo.

Berdasarkan analisanya terhadap beberapa perkara yang menyentuh sikap dan dasar Abdullah setakat ini, Jomo menyatakan kesangsiannya terhadap Perdana Menteri Malaysia kelima itu, walaupun dia menyokong tindakan Abdullah untuk membanteras rasuah.

Kes ‘Jakie Chan’ yang didakwa membawa unsur gangsterism ke dalam Barisan Nasional (melalui MCA) juga tidak terlepas dari pemerhatian Jomo.

“Orang seperti itu pun masih boleh terus bebas memimpin cawangan BN, di bawah pimpinan Pak Lah,” katanya.

Hal itu menambahkan lagi kesangsiannya kepada pimpinan Abdullah. Maka beliau seolah-olah memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terperangkap dengan tindakan ‘baik’ Abdullah yang bermatlamat mendapatkan kemenangan besar BN dalam pilihanraya ini.

“Ada kemungkinan tiga hari sebelum pilihan raya, kalau Abdullah rasa ini akan membantu, mungkin dia akan bebaskan Anwar,” kata Jomo.

“Ini semua adalah gimik politik pilihan raya, yang harus dibezakan dengan prinsip dan dasar kepimpinan,” tegas Jomo lagi.

Bagaimanapun, dalam keadaan negara yang telah diperintah oleh seorang penguasa yang mengamalkan rasuah dan membiarkan menteri-menteri kabinetnya mengamalkan rasuah, selama lebih 20 tahun sebelum ini, maka “apa-apa tindakan yang kecil sahaja pun orang akan nampak sebagai besar dan penting.”

Melalui kuasa dan pengaruh media yang ada pada BN, Jomo sangat bimbang akan generasi baru yang tidak pernah kenal suasana lain selain daripada pentadbiran Mahathir yang banyak rasuah dan penyelewengan. Bagi mereka ini, sedikit sahaja perubahan yang dibuat oleh PM baru, akan dianggap sebagai suatu yang baik.