Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:11 PM

Pak Lah masih guna khidmat 'sampah' dalam BN

Umar Mukhtar

Bukan semua dari kita yang selalu mengkritik BN mahukan Pak Lah gagal dalam pilihanraya akan datang ini. Ramai rakyat Malaysia sudah sebati dengan pilihan yang amat terhad ini, sehinggakan kita lebih sanggup mempunyai seorang perdana menteri yang kuat, dari perdana menteri yang baik. Kerana takutkan ketidakstabilan politik, ramai dari kita yang memilih yang jelas kelihatan, walaupun buruk, daripada mengambil risiko untuk yang lebih baik.

Ketakutan ini wujud di dalam sanubari mereka yang mampu kehilangan segala-galanya, disebabkan ketegangan dalam komuniti dan kekeliruan dalam agama, yang selalu digunakan oleh sesetengah pihak. Tetapi, sebenarnya, ketakutan itu turut diperkuatkan lagi oleh ancaman-ancaman dari pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Samada taktik pemancingan undi ini akan menunjukkan keburukannya atau tidak kali ini akan terpulang kepada sikap Pak Lah kepada pengundi dan agendanya untuk masa hadapan negara.

Perjuangan menentang rasuah, adalah matlamat penting dalam agenda ini. Ramai dari kita menentang rasuah. Masalah sosial ini akan sentiasa dihentam dalam setiap ceramah kedua-dua pihak. Malangnya, kemenangan hanya akan berpihak kepada kumpulan mana yang mampu menunjukkan yang ia tidak akan menyalahgunakan kuasa politik untuk faedah sendiri.

Kita dapat lihat dari kerapuhan kemajuan negara pada masa lepas, cara yang memecah-belahkan kitalah yang akan menyatukan kita. Dan ini akan berterusan untuk gabungan parti yang berasaskan perkauman, walaupun mereka tahu yang perjuangan parti mereka mungkin akan memberi kesan yang lebih buruk di masa hadapan. Tetapi, ini mungkin dapat dielakkan.

Untuk sesetengah dari kita yang percaya bahawa keadilan sosial tidak perlu diketengahkan dari segi perkauman dan kemasyarakatan, kita tidak sabar menunggu akan senarai calon Pak Lah. Inilah peluangnya yang pertama untuk menunjukkan yang beliau telah berubah dari politik ketakutan kepada isu yang benar-benar penting - pembasmian rasuah dan keadilan sosial.

Adakan senarainya akan terdiri dari 'sampah' yang masih lagi belum didakwa? Ataupun adakah dia akan menuruti kehendak ahli politik kanan yang sudah serasi dengan organisasi partinya? Takutkah dia akan 'tikaman dari belakang' oleh sesetengah ahli Majlis Tertinggi Umno, yang masih akan berkuasa selepas pilihanraya ini?

Kita berdoa agar Pak Lah dapat menunjukkan yang negara ini dapat bergerak ke hadapan dengan senarai calonnya. Ke hadapan untuk lari dari ketakutan yang kita alami selama ini, untuk mencapai masa hadapan untuk keadilan sosial untuk semua. Bagaimana lagi kita akan duduk sama tinggi dengan negara lain jikalau kita sentiasa melihat ke belakang di negara kita sendiri?

Jikalau Pak Lah berani membuat perubahan, rakyat Malaysia akan menyokongnya. Ini bukanlah kerana ketakutan, tetapi dengan harapan hanya yang terbaik dan paling cemerlang sahaja dapat mewakili kita di parlimen dan memimpin kita di kabinet. Kita terhutang budi kepada sesiapa yang boleh membuang 'sampah-sampah' perpecahan masyarakat kita ke dalam 'tong' lipatan sejarah.

Jikalau dia tidak mampu, dia akan sama sahaja seperti yang lain, bersumpah atau tidak bersumpah. Dan saya akan turut mengundi walaupun hanya berbekalkan satu undi untuk calon alternatif saya, yang mungkin akan kalah.

Namun, setelah sekian lama, kali ini Pak Lah mampu membuat perubahan. Dia juga boleh tidak berbuat apa-apa selain dari menggunakan kembali 'sampah-sampah' tersebut untuk kegunaanya sendiri.

Orang yang terakhir menjanjikan kita penyatuan dan keamanan sebelum ini telah menyebabkan kita menanti 22 tahun dan menyalahkan kaum Yahudi kerana kegagalannya.