Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:13 PM

Mengapa BN akan menang

Kempen kali ini akan berlalu sepantas kilat - lapan hari sahaja diberikan, yang paling singkat dalam sejarah Malaysia. Apapun, keputusannya sudah diketahui awal-awal lagi.

Ia akan menjadi satu tugas yang amat sukar untuk pembangkang. Untuk menafikan dua pertiga majoriti undi Barisan Nasional sekalipun memerlukan usaha yang di luar batasan, apatah lagi untuk merampas kuasa dari BN.

Dan kita belum lagi bercakap tentang faktor "feel good" yang dibawa oleh Perdana Menteri baru Abdullah Ahmad Badawi, ekonomi yang kembali pulih, dan tiga M yang dikuasai kerajaan - "money" (wang), "machinery" (jentera politik), dan "media."

SPR telah menyebabkan pembangkang merasa tertekan walaupun perang belum lagi bermula.

Setiap lapan tahun, undang-undang pilihanraya diubah oleh SPR - sebuah badan yang diberi tanggungjawab untuk memastikan pilihanraya sentiasa adil dan bebas - untuk menjadikan ia lebih sukar bagi pembangkang untuk menang.

Jadi tidaklah memeranjatkan lagi apabila pegawai SPR telah memberi kelebihan kepada BN, dalam persempadanan semula kawasan, baru-baru ini. Sekali lagi, tiang gol pembangkang dibesarkan lagi beberapa kaki.

Bagaimana Kedah akan kalah

Sebagai contoh, penghasilan 26 kerusi parlimen dan 63 kerusi DUN selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Mengikut Ong Kian Ming, penganalisa politik kanan badan pemikir Gerakan Sedar Institute, 13 dari kerusi-kerusi baru parlimen itu adalah kerusi 'kebal' BN manakala 8 boleh ditandingi oleh pembangkang. Untuk kerusi DUN yang baru pula, 37 adalah 'kebal' untuk BN manakalah 14 boleh ditandingi oleh BA.

Ong menjelaskan bahawa kerusi 'kebal' adalah yang dimenangi dengan lebih dari 10 peratus majoriti berdasarkan pilihanraya 1999. Yang boleh ditandingi oleh pembangkang pun, kebanyakannya berpihak kepada parti pemerintah.

Bukan itu sahaja. SPR telah menyempadankan semula kawasan dengan sebegitu rupa sehinggakan kerusi yang dimenangi mudah oleh pembangkang pada 1999, kini telah 'hilang.' Ambil kerusi-kerusi utama di Kedah sebagai contoh (lihat carta dibawah).

Dalam pilihanraya lepas, Mahfuz Omar dari PAS memenangi parlimen Pokok Sena dengan majoriti 3,211 undi.

SPR, dengan kebijaksanaannya, memotong Tanjung Seri - salah satu dari kerusi DUN Pokok Sena di mana BN telah menang dengan lebih dari 400 undi. Ia telah diganti dengan Derga, kerusi DUN dari kawasan Parlimen ketua MCA Chor Chee Heung, di mana BN telah menang sebanyak 5,456 undi.

Dengan demikian, Mahfuz kini akan kalah di Pokok Sena dengan beza undi sebanyak 1,805 undi.

Cara SPR

Untuk Chor pula, Derga tidak diperlukan sangat kerana dia telah menang di Alor Setar dengan majoriti 14,384 undi. Dengan Tanjung Seri sebagai kawasannya sekarang, dia masih mampu menang dengan majoriti 9,368 undi - sesuatu yang tidak akan dirisaukannya.

Dua lagi kerusi PAS telah diberi 'layanan' yang sama oleh SPR.

Kerusi Parlimen Jerai Setiausaha Agung PAS Nasharuddin Mat Isa yang dimenanginya dengan majoriti 346 undi, kini telah menjadi kerusi BN dengan majoriti 4,887 undi. Ini telah dilakukannya dengan memasukkan Gurun - kerusi DUN yang diambil dari bekas timbalan menteri kewangan Daim Zainuddin di Merbok.

Untuk Taib Azimuddin Mohd Taib, beliau memenangi kerusi Parlimen Baling dengan 682 majoriti, tetapi dengan kemasukan Kuala Ketil - kerusi DUN dari parlimen Padang Serai yang dikuasai MCA - kini ia menjadi kerusi BN dengan majoriti 1,940 .

Tidak hairanlah, PAS menjangka kehilangan beberapa kerusi parlimen di Kedah. Kerana itu, strategi parti itu adalah untuk memenangi kerusi DUN, di mana kurang perubahan telah dibuat.

Tambahan lagi, untuk kerusi BN yang telah dimenangi dengan majoriti kecil pada masa lepas, SPR telah meletakkan pengundi menyokong kerajaan untuk menaikkan peluang barisan pemerintah.

Sebagai contoh, Pekan yang dimenangi Timbalan Perdana Menteri Najib Abdul Razak - yang dimenanginya dengan majoriti kecil 241 pada 1999.

Kali ini beliau mempunyai pengundi pro-BN tambahan dari kawasan Umno yang bersebelahan - Kuantan yang dipunyai Khalil Yaacob dan Paya Besar yang dikuasai Siti Zaharah Sulaiman. Dengan menjadi Menteri Pertahanan, beliau juga dijangka meraih undi sebuah kem askar - yang menyumbang 2,000 undi pos - dalam kawasannya.

Undang-undang diubah

Masih ada lagi.

Tiga hari sebelum SPR bermesyuarat untuk menetapkan hari pengundian, malaysiakini telah melaporkan yang hari pencalonan ditetapkan pada 13 Mac dan hari mengundi pula pada 21 Mac. Sumber kami bukanlah SPR, tetapi kerajaan.

Jikalau kerajaan tidak boleh membenarkan SPR menjadi badan bebas untuk menetapkan tarikh-tarikh tersebut, jangan kita mengharap badan tersebut untuk bebas bertugas dengan baik sebelum dan ketika pilihanraya.

Kerana itulah, walaupun 43.5 peratus - hampir separuh - dari pengundi telah menolak BN pada 1999, pembangkang hanya mampu meraih satu perempat dari kerusi Parlimen.

Untuk pilihanraya akan datang ini, pembangkang akan sekali lagi turun padang dengan tangan terikat. Ini, sememangnya bukan perkara baru.

Tetapi yang baru adalah lawan mereka telah menggantikan kapten mereka yang tidak popular. Jadi, peraturannya juga sudah ditukar. Namun, pengadilnya, masih seperti yang dulu.