Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:15 PM

Bila Demokrasi Sudah Hilang Maknanya

Di Malaysia sekarang ini banyak diperkatakan tentang keluhuran demokrasi. Sejak 1955 dulu, kita telah mengadakan pilihan raya umum (pemilu - Pemilihan Umum di Indonesia) di mana rakyat membuang undi tanpa takut-takut ataupun pantang larang yang membolehkan pihak pembangkang bertanding dan mempunyai peluang untuk menang. Lihat sahaja di Kelantan dan Terengganu. Pas di sana telah memenangi lebih banyak kerusi dalam sesuatu negeri berbanding Barisan Nasional (BN) dan gagasan pemerintahannya. PAS sudah lama berkuasa di Kelantan sejak 1990 dan di Terengganu sejak 1999. Kita telah diberitahu betapa Parlimen yang ada di negara ini adalah amat dicemburui oleh dunia membangun. Kononnya di sini ada kebebasan bercakap, walaupun keadaan sebenarnya adalah berlainan kerana kerajaan melihat ramai manusia berkumpul dan bersuara untuk mencabar versi rasmi kerajaan ataupun segala majlis tajaannya. Tempoh berkempen yang begitu singkat dianggap sebagai cara terbaik untuk melangsaikan tugas berpilihan raya dan membolehkan kerajaan menguruskan pentadbiran negara. Demikianlah cara Barisan Nasional dan gagasan yang mendahuluinya telah dimenangkan untuk menjuarai Parlimen dengan suara majoriti dua pertiga setiap kali Pilihan Raya Umum itu tamat. Pihak pembangkang kononnya, selalu bercelaru, tidak bersatu dan tidak boleh dipercayai. Kerana itu, pembangkang tidak akan merasa tampuk kuasa pentadbiran kerajaan pusat. Biarlah berapa kali pun Pilihan Raya Umum yang akan diadakan di Malaysia untuk berdekad yang akan datang, BN akan terus menang mudah, kerana Pembangkang akan ditakutkan diwaktu pengundian dan akan disisihkan oleh para pengundinya.

Akan tetapi, di sebalik cakap besar itu wujud segala kerja-kerja busuk BN yang kerap mengatur semula sempadan pengundian untuk memihak kepadanya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR yang sepatutnya bersikap berkecuali tidak pernah menepati hukum-hakam itu. Lagi lama BN berkuasa, lebih besar perlunya mereka mengetatkan demokrasi sambil menunjuk-nunjuk betapa demokrasi begitu hidup subur seperti mana yang diasaskan di Athens dulu. Dalam satu perubahan dalam pindaan terbaru Undang-undang pilihan raya membenarkan sesiapa juga yang menjadi calon untuk menarik diri tiga hari selepas pencalonannya. Satu ketika dahulu penarikan itu mesti dibuat dalam masa dua jam selepas pencalonan ditutup. Di masa dulu, kekerapan seseorang calon menarik diri di tengah jalan dan kemudiannya menyatakan kesetiaannya kepada BN sudah menjadi bahan lelucon kerana namanya tetap berada di kertas mengundi, dan orang itu menjadi bahan ketawa walaupun pengundian sudah lama berakhir. BN mengeluarkan wang pampasan yang besar kepada calon pembangkang yang menarik diri. Satu ketika dulu wang yang dibayar adalah sekitar jutaan ringgit, tetapi harganya sudah jatuh merudum sekarang ini. Namun demikian, kadar wang deposit dinaikkan daripada harga asal setakat RM500 sahaja menjadi RM10,000 untuk kerusi Parlimen dan RM5,000 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri. Parti Pembangkang yang kekurangan dana tentu tidak mampu mencabar satu gagasan politik yang kaya raya. Ada pihak yang menyebut betapa BN memerlukan RM3.5 bilion untuk mengongkosi pilihan raya umum ini.

Ini bererti pihak pembangkang menghadapi masalah kewangan setiap kali ia bertanding dalam pilihan raya umum. Pembangkang tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk membantah ataupun merundingkan masalah itu di Parlimen. Rang undang-undang kerap dipercepatkan, dengan menggunakan alasan kepentingan meluluskannya, sehinggakan Parlimen tidak mempunyai masa yang sesuai dan cukup untuk menolak sesuatu Rang Undang-undang itu, ataupun memindanya. Lagipun semua Rang Undang-undang itu selalunya disogokkan kepada wakil rakyat di Parlimen sejurus mereka tiba untuk menghadiri sesi Parlimen. Inilah sahaja ketikanya Parlimen dianggap berguna kepada kerajaan. Namun, perbelanjaan yang berlebih-lebihan seperti RM20 bilion ringgit untuk pembinaan fasa pertama pusat pentadbiran di Putrajaya, tidak pun dimulakan dengan kelulusan Parlimen. Sebabnya terletak kepada keunikan Petronas yang terkeluar daripada pengawasan perbendaharaan (off-budget agency) yang tidak perlu mendapatkan kelulusan Parlimen untuk urusannya. Dengan lain perkataan, BN sudah begitu selesa mentadbir negara sehinggakan ia mendapati Parlimen dan juga Pembangkang sebagai tukang kacau sahaja. Inilah yang membiakkan keangkuhan sehingga mampu memperlekehkan sesiapa sahaja yang cuba membetulkan keadaan.

Keadaan itu tentu dapat berterusan kalau tidak kerana Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamed memusnah dan mengaibkan anak didiknya pada 1998, Dato Seri Anwar Ibrahim, yang kini meringkuk dan menderita di satu bilik penjara Sungai Buluh. Kesannya mencetuskan anjakan kesetiaan Melayu yang amat besar sejak kemerdekaan negara ini. Orang Melayu yang memang terkenal kerana kefahaman keadilan dan bertimbang rasa, telah terkejut bukan kepalang dahsyatnya, lantas beranjak jauh daripada menyokong UMNO. Orang Melayu lebih rela meminggirkan dirinya untuk melihat siapa yang akan menang dalam pertarungan politik itu. UMNO dan gagasan pimpinannya BN, cuba menarik semula sokongan orang Melayu, tanpa hasilnya. Inilah yang membolehkan puak pembangkang khususnya PAS menerbus jalan ke hadapan dengan mudah. Undi Melayu sudah berpecah dan UMNO tidak boleh menyandar harapan kepada itu lagi. Lantas dalam pilihan raya kali ini, tumpuan utama diberikan kepada undi orang Cina yang kelihatan begitu mantap menyokong BN, walaupun ada pemimpin parti Cina yang menghadapi masalah kemesraan dengan Pak Lah. Sebenarnya keupayaan UMNO memulas semua rakan politiknya dalam BN bukanlah berasaskan satu prinsip yang khusus. Cuma kewujudan sepakatan berpolitik yang seolah-olah menyuntik satu perpaduan yang pasti tidak dapat bertahan lama. Namun, fenomena ini bukan berkaitan dengan BN sahaja. Setiap parti politik dalam BN mahupun dalam pembangkang memang bersalah dalam perkara ini. Keadaan tidak begitu kritis dalam Pembangkang kerana ia tidak mempunyai kuasa. Lagi pun ia mampu mendebatkannya sesama sendiri. Namun demikian, ada juga parti seperti DAP yang tidak membenarkan langsung perkara itu.

Kisah ‘katak lompat’ daripada Pembangkang kepada UMNO, dan sebaliknya, bukanlah disebabkan prinsip diri tetapi ia kerap terjadi disebabkan cemburu dan marah kerana diabaikan. Keadaan seperti ini kalau berterusan tidak akan merobah apa-apa, walaupun BN dipaksa menduduki kerusi pembangkang. Selagi perkara yang ‘superficial’ masih menguasai politik negara ini apa pentingnya dengan sesiapa yang memegang kuasa Kita boleh yakin tiak ada perubahan yang akan terjadi. Kerana itu, kita perlu menunggu hingga satu generasi kemudiannya untuk melihat adakah prinsip pegangan politik bangsa kita. Di zaman ini masyarakat muda-mudi sudah tidak lagi mengamalkan budaya persepakatan yang menjadi amalan hidup nenek moyang mereka. Malahan terlalu ramai yang sudah begitu terasing jauh daripada mengenali budaya sendiri. Lompatan budaya inilah yang sepatutnya menakutkan semua pihak. Tidak ramai yang menyedari kelemahan ini. Mereka beranggapan adalah perkara biasa untuk mencedok budaya barat, sambil mempersendakan kawan sebaya di negara sendiri yang tidak berpeluang mendapat pendidikan di luar negara. Peminggiran begini yang merupakan perkara yang amat berbahaya kepada generasi kita. Inilah yang melebar memasuki dunia politik, di mana budaya memperlekehkan sesuatu itu adalah kesan pendedahan budaya barat yang sudah menyerap masuk sanubari mereka semasa belajar di luar negara. Mungkin juga saya merupakan seorang yang pesimis. Kumpulan muda-mudi ini tidak akan menyokong Pembangkang berasaskan prinsip hidup mereka. Tetapi akan berbuat demikian kalau ada bau-bau berbentuk kontrak dan tugasan profesional. Namun, ini terhad kepada golongan yang mudah dimanja. Yang menakutkan saya ialah golongan di bawah sana yang sama tahap kelulusannya dan mungkin daripada universiti yang baik-baik sengaja terpinggir kerana latar belakang mereka. Mereka lebih rela mengasah pisau mereka daripada bakat profesional yang sedia ada. Manusia masih mampu memeram dendam sehingga saat terakhir sebelum melepaskan geramnya itu di jalan raya. Seandainya mereka disanggah dan masalah mereka itu dibincangkan secara ilmiah dan muzakarah mungkin juga rintihan panas itu dapat didingini dan dipadamkan. Saya tidak nampak sesiapa yang berkuasa kini mampu melaksanakannya. Kerana itu demokrasi yang difahami oleh dunia masa kini akan tinggal sebagai bahan sejarah sahaja.

MGG Pillai