Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 28, 2003 2:37 PM

ANWAR BEBAS 14 APRIL 2003

Pendahuluan

Anwar Ibrahim telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun bermula pada 14 April 1999 oleh kerajaan Malaysia atas empat tuduhan rasuah. Pada 14 April 2003, Anwar sepatutnya telah tamat menjalani hukuman tersebut, oleh itu beliau sepatutnya dibebaskan.

Walaupun Anwar masih menghadapi hukuman kedua iaitu sembilan tahun penjara untuk kes liwat, Anwar sepatutnya tidak perlu menjalani hukuman tersebut dan boleh diikat jamin – dan ia terpulang keseluruhannya kepada budi bicara mahkamah -melainkan wujudnya campur tangan politik dan ‘tekanan dari atas’ yang berusaha sedaya upaya menghalang ikat jaminnya.

Kenapa kita mengatakan bahawa Anwar boleh dan patut dibebaskan dengan ikat jamin pada 14 April 2003?

Hujah-hujah yang menyokong bahawa Anwar boleh dan patut dibebaskan dengan ikat jamin adalah seperti berikut:

1. Dengan pengurangan satu pertiga, Anwar sepatutnya menjalani empat tahun sahaja daripada hukuman enam tahun penjara.

2. Memandangkan Anwar telah didapati bersalah, dihukum dan dipenjarakan pada 14 April 1999, beliau sepatutnya akan tamat menjalani hukuman pada 14 April 2003.

3. Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara telah dihukum 60 hari penjara kerana membelasah Anwar. Ini adalah satu hukuman yang sangat ringan untuk kesalahan membelasah Anwar sehingga separuh mati, namun beliau hanya menjalani hukuman 40 hari penjara iaitu dua pertiga daripada 60 hari setelah pengurangan satu pertiga.

4. Bagi hukuman kedua Anwar, beliau tidak sepatutnya menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun sekarang kerana hukuman tersebut bukan berjalan serentak tetapi selepas hukuman pertama (6 tahun) selesai.

5. Hukuman kedua Anwar sepatutnya dijalani selepas beliau tamat menjalani hukuman pertama dan selepas beliau selesai membuat rayuan melalui segala saluran undang-undang untuk menolak keputusan dan hukuman tersebut.

6. Anwar belum lagi selesai membuat rayuan melalui segala saluran ini, bahkan rayuan beliau belum pun bermula dan masih menunggu tarikh rayuan daripada mahkamah.

7. Anwar sedang merayu terhadap hukuman kedua, sembilan tahun penjara, dan sepatutnya beliau layak diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.       

8. Kesalahan Anwar adalah kesalahan yang boleh diikat jamin, hak untuk membenarkan ikat jamin adalah di bawah budi bicara mahkamah. Mengikut Seksyen 388(1) Kod Prosedur Jenayah, tanggungjawab mengemukakan bukti terletak pada pendakwa untuk membuktikan mengapa Anwar tidak boleh diikat jamin dan keputusan muktamad iaitu keputusan perundangan, adalah terletak pada budi bicara mahkamah.

Dalam sejarah perundangan Negara, mereka yang dituduh di bawah Seksyen 4 Ordinan 22, telah dibenarkan ikat jamin. Halangan kepada Anwar untuk diikat jamin adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku.

9. Anwar telah dituduh, dibicarakan, disabitkan kesalahan dan dihukum bersama Sukma, adik angkatnya. Setelah keputusan dibuat dan hukuman dijatuhkan, Sukma terus dibenarkan ikat jamin dan dibenarkan pulang ke rumah sementara Anwar dihantar ke penjara kerana beliau sedang menjalani hukuman pertamanya. Jika tidak, Anwar pun berhak untuk diikat jamin dan boleh pulang ke rumah, sebaliknya terpaksa ke penjara menunggu rayuannya untuk didengar.

10. Peguambela Anwar telah menulis empat pucuk surat kepada mahkamah dan kepada Ketua Hakim memohon pengesahan tarikh mendengar rayuan, iaitu rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini mahkamah tidak memberi respon kepada surat-surat tersebut dan tidak juga menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan.

11. Anwar tidak sepatutnya dipenjarakan sementara menunggu rayuannya didengar di mahkamah, kelewatan dalam menetapkan tarikh rayuannya bukanlah silap Anwar malahan beliau telah berkali-kali mendesak pihak mahkamah untuk menetapkan tarikh rayuannya tetapi tidak berhasil.

12. Pada tahun 2002, dua orang yang ditahan atas tuduhan membunuh telah dibebaskan setelah diikat jamin, walaupun di Malaysia kesalahan membunuh tidak boleh diikat jamin. Salah seorang daripada mereka, seorang usahawan berbangsa Cina telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati sementara seorang lagi, seorang peguam terkemuka Balwant Singh, sedang dibicarakan.

13. Hakim yang membenarkan ikat jamin kepada peguam Balwant Singh adalah hakim yang sama yang menolak permohonan ikat jamin Anwar. Hakim tersebut, Augustine Paul membenarkan Balwat Singh diikat jamin di atas alasan-alasan yang bertentangan dengan sebab-sebab yang digunakannya untuk mengenepikan ikat jamin Anwar.

14. Anwar, sepertimana juga Balwant, memerlukan rawatan perubatan - salah satu sebab yang diberi ketika membenarkan Balwant diikat jamin. Dengan itu, Anwar juga sepatutnya dibenarkan untuk diikat jamin.

15. Anwar tidak akan dapat mengugut atau menakut-nakutkan saksi kerana tidak ada saksi yang terlibat dalam prosiding rayuan - salah satu lagi sebab yang membolehkan Balwant diikat jamin.  Dengan itu, Anwar juga patut dibenarkan ikat jamin.

16. Anwar tidak akan melanggar ikat jamin; beliau akan hadir untuk perbicaraan di mahkamah; alasan ketiga yang membolehkan Balwant diikat jamin. Dengan itu, Anwar juga patut dibenarkan ikat jamin.

17. Hujah yang diberikan untuk mengenepikan ikat jamin untuk Anwar di dalam kes salahguna kuasa yang pertama, iaitu beliau mungkin mengganggu saksi, tidak boleh digunakan dalam kes liwat yang kedua; kerana tiada saksi yang akan terlibat di dalam prosiding rayuan. Dengan itu, Anwar patut diberikan ikat jamin.

18. Seorang pakar bedah neuro yang terkemuka, Dr. Halili Rahmat, mengesahkan bahawa Anwar perlu menjalani pembedahan tulang belakang  secepat mungkin untuk mengelakkan risiko lumpuh. Sekiranya dibenarkan ikat jamin, Anwar boleh menjalani pembedahan tersebut.

19. Anwar bukanlah dibebaskan atau dilepaskan daripada tuduhannya. Beliau hanya dibebaskan secara sementara di atas jamin. Beliau tetap perlu hadir di mahkamah semasa perbicaraan atau rayuannya. Tiada sebab mengapa beliau patut dipenjarakan sementara menunggu perbicaran atau rayuannya. Beliau hanya patut dikembalikan ke penjara sekiranya beliau gagal dalam rayuannya. Sementara itu beliau boleh menjalani rawatan perubatan yang diperlukannya.

20. Membenarkan Anwar diikat jamin adalah selaras dengan tuntutan masyarakat antarabangsa, kerajaan-kerajaan luar negara, badan-badan bukan kerajaan, pejuang-pejuang hak asasi manusia dan seluruh rakyat Malaysia.

Imbas kembali

1. Pada 2 Sept. 1998, Perdana  Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohammad, memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

2. Pada 3 Sept. 1998, Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Presiden dan ahli parti pemerintah, UMNO.

3. Orang ramai terkejut bukan sahaja dengan pemecatan Anwar, tetapi lebih-lebih lagi dengan alasan-alasan yang diberikan oleh Dr. Mahathir untuk memecat beliau. Dr. Mahathir muncul secara langsung di kaca televisyen dan menghebahkan kepada seluruh negara bahawa bekas timbalannya adalah “seorang peliwat dan penzina”.

4. Pemecatan yang tidak adil itu serta-merta mencetuskan beberapa demonstrasi jalanan yang disertai oleh pelbagai rakyat jelata. Sejarah politik negara ini tidak pernah menyaksikan kemarahan rakyat sebegini rupa. Tindakan polis terhadap demonstrasi yang dijalankan secara aman itu adalah ganas dan zalim.

5. Dr. Mahathir terus-menerus mengata dan menuduh Anwar melalui putar-belit media, dan juga melalui beberapa agensi kerajaan.

6. Pada 20 September 1998, Anwar telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), suatu undang-undang yang membenarkan seseorang ditangkap dan ditahan tanpa bicara.

7. Pada 29 September 1998, Anwar telah dihadapkan dengan sembilan tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu lagi tuduhan dihadapkan terhadap Anwar di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

8. Setelah penterjemah mahkamah membacakan sepuluh tuduhan tersebut, Anwar tidak mengaku bersalah terhadap semua tuduhan dan menuntut untuk dibicarakan. Semasa di Mahkamah Sesyen inilah Anwar mempamerkan kepada seluruh dunia “mata lebam” dan berita yang sangat menggemparkan bahawa beliau telah dibelasah semasa dalam tahanan polis. Setelah disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja, terbongkarlah bahawa orang yang membelasah Anwar adalah Ketua Polis Negara sendiri.

9. Pendakwaraya kemudiannya memindahkan perbicaraan Anwar ke Mahkamah Tinggi.

10. Pada 2 November 1998, semasa perbicaraan diadakan, sepuluh tuduhan telah didakwa terhadap Anwar, tetapi Pendakwaraya memutuskan untuk membicarakan empat tuduhan pertama dahulu.

11. Kemudian pada 12 Januari 1999 satu kejutan berlaku sewaktu perbicaraan iaitu pindaan terhadap empat tuduhan tersebut. Perkataan “menafikan salahlaku seks dan liwat yang anda lakukan dengan tujuan untuk melindungi diri anda daripada tindakan jenayah atau dakwaan” telah digugurkan daripada tuduhan tersebut. Hasil tindakan ini, pihak pendakwa tidak perlu lagi membuktikan Anwar telah melakukan salahlaku seks; mereka hanya perlu membuktikan bahawa ada tuduhan terhadap beliau.

12. Pada 14 Januari 1999, Hakim Augustine Paul, telah mencipta satu lagi sejarah. Beliau telah memerintahkan semua bukti yang telah dibentangkan untuk membukti atau menolak tuduhan salahlaku seks dan liwat terhadap Anwar diketepikan. Beliau juga memerintahkan agar perbicaraan hanya memberi tumpuan kepada “amalan rasuah” sahaja.

13. Pada 16 Mac 1999, Anwar yang jelas kecewa dengan pelbagai perintah yang dijatuhkan oleh hakim terhadapnya, telah memohon untuk menghalang Hakim Augustine Paul daripada terus mengadili kesnya atas dasar bahawa hakim itu telah menafikannya suatu perbicaraan yang adil. Walau bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditolak.

14. Setelah suatu perbicaraan panjang yang berlangsung selama 77 hari, Anwar telah dijatuhkan hukuman bersalah dan dikenakan enam tahun penjara pada 14 April 1999.

15. Pada 7 Jun 1999, Anwar didakwa buat kali kedua, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; kali ini di atas kesalahan liwat.

16. Dalam pada itu, Anwar mengemukakan rayuan terhadap keputusan dan hukuman pertamanya tetapi pada 29 April 2000, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan tersebut.

17. Pada 8 Ogos 2000, Anwar didapati bersalah melakukan liwat dalam kes perbicaraan keduanya dan dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara.

18. Anwar seterusnya membuat satu lagi rayuan terhadap hukuman pertamanya, kali ini dikemukakan ke mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan, tetapi pada 10 Julai 2002, rayuan ini juga ditolak.

19. Tarikh untuk mendengar rayuan terhadap hukuman kedua masih belum ditetapkan walaupun peguam Anwar telah menulis empat pucuk surat kepada mahkamah dan kepada Ketua Hakim Negara meminta satu tarikh ditetapkan untuk perbicaraan.

20. Sementara itu, Anwar terus merengkok di penjara, dinafikan ikat jamin, tarikh rayuannya dilewatkan, dan tanpa respon daripada mahkamah bila tarikh sebenar beliau akan dibawa ke mahkamah semula.