Seruan Keadilan Online - Monday, February 10, 2003 4:08 PM

Kisah benar politik Melayu (sub head)

Mahathir cuba pinda sejarah

Oleh: Merong Mahawangsa

Barangkali Mahathir sudah terlalu yakin dengan ungakapan “sejarah ialah apa yang ditulis oleh ahli sejarah”. Beliau menyangka beliau boleh menulis kembali sejarah mengikut sesuka hatinya. Beliau menyangka sejarah adalah lanjutan dari propaganda. Ahli sejarah menulis sejarah berdasarkan fakta yang ditemui melalui penyelidikan. Mahathir pula cuba menulis “sejarah” berdasarkan karut-marut yang dihasilkan dari mindanya yang haru biru.

Beberapa tahun lalu Mahathir mendakwa bahawa dia adalah di antara pengasas Umno. Pada ketika Umno ditubuhkan pada tahun 1946 beliau masih seorang remaja dan tidak ada mana-mana rekod mahu pun buku sejarah yang pernah mencatat beliau sebagai pengasas Umno. Terkini, beliau cuba mereka “sejarah” sekali lagi dengan mendakwa orang Melayu hidup bersatu pada zaman British dan PASlah yang telah membawa perpecahan di kalangan orang Melayu selepas itu.

Untuk memahami sejarah politik Melayu moden dan isu perpaduan orang Melayu, perlulah kita menyingkap kembali urutan perkembangan politik di Tanah Melayu. Parti politik Melayu yang pertama ialah KMM (Kesatuan Melayu Muda, dan tiada kaitan dengan KMM Norian Mai) yang ditubuhkan pada 1937. Walau bagaimana pun, KMM telah diharamkan oleh pemerintah Jepun pada Jun 1942.

Selepas merdeka sebuah parti Melayu baru telah ditubuhkan.  Parti Kebangsaan Melayu (PKM) telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Ia telah dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Mukhtarudin Lasso, Burhanuddin Helmi dan Ishak Muhammad. UMNO ditubuhkan hanya pada 11 Mei 1946. Parti yang berpegang kepada ideologi  Islam telah ditubuhkan pada tahun 1948 dan diberi nama Hizbul Muslimin. Ia ditubuhkan dengan galakan dari pemimpin PKM yang merasakan perlu satu wadah untuk menggabungkan golongan aliran Islam.

Dari awal lagi, pemimpin-pemimpin Umno mengambil sikap memusuhi parti-parti Melayu lain. Dari awal lagi ia menganggap Hizbul Muslimin sebagai satu ancaman. Umno juga merupakan parti yang diterima British. Kebanyakan pemimpin tertingginya sama adalah anak didik British atau sebahagian dari mereka pernah berkhidmat dengan British. Jika Umno benar-benar ingin memelihara kesatuan orang Melayu, pemimpin-pemimpinnya sepatutnya menyertai PKM sahaja. Ini tidak berlaku. Agenda Umno lebih merupakan usaha di dalam ruang lingkup yang boleh diterima British. Sebagai langkah untuk mengukuh kedudukannya, British telah mengharamkan PKM dan menahan pemimpin-pemimpin Hizbul Muslimin. Ia membiarkan Umno, sebagai anak didiknya, terus wujud.

Agenda Islam di dalam Umno telah melalui berbagai pergolakan. Walau pun mendakwa memperjuangkan kepentingan Islam, ia dikritik oleh golongan ulama dari kalangan anggotanya sendiri. Sebagai contoh, satu mesyuarat ulama P. Pinang yang diadakan pada tahun 1951 dan dipengerusikan oleh Hj. Abdullah Fahim, yang juga mufti P. Pinang (dan datuk Abdullah Badawi), mereka telah mengistiharkan kegiatan perjudian loteri yang dianjurkan Umno ketika itu adalah haram.

Pada ketika itu juga, sudah muncul hasrat di kalangan golongan ulama di dalam Umno yang disuarakan oleh tokoh seperti Hj Ahmad Maliki supaya diwujudkan sebuah pertubuhan ulama berdasarkan model Mashumi di Indonesia. Ini timbul kerana perasaan tidak puas hati di kalangan golongan ini terhadap kesungguhan Umno dalam mendokong agenda Islam. Sikap Umno terhadap agenda Islam dapat dilihat daripada ucapan Datok Onn Jaafar ketika acara penutup Persidangan Ulama yang dianjurkan Umno pada tahun 1950. Beliau telah menyatakan  “..dalam kumpulan ini, kedua-dua syaitan dan malaikat wujud dan tempat kita di syurga sudah ditentukan.” Islam bagi Umno hanya satu isu yang diutarakan untuk menenangkan keresahan dan kehendak ulama.

Satu perkara yang menarik ialah Persidangan Ulama yang dianjurkan Umno pada tahun 1950 telah diadakan buat kali ketiga pada 24 November 1951 di Bangunan Umno Butterworth. Di persidangan inilah para peserta telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kesatuan ulama yang diberi nama Persatuan Islam Se Malaya atau PAS. Tujuan penubuhan PAS ialah untuk menjadi satu wadah untuk menyatukan para ulama di Tanah Melayu. Ini dianggap perlu memandangkan terdapat berbagai perbezaan yang timbul di kalangan ulama sendiri akibat dari perbezaan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah kuasa negeri-negeri. Adalah diharapkan kesatuan ini akan dapat melahirkan penyelarasan dan kebersamaan di kalangan para ulama ketika itu. Di antara peruntukan dalam perlembagaan PAS pada 1951 ialah bahawa ia akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Nama organisasi ini telah diubah kepada Parti Islam SeMalaysia pada tahun 1971.

Oleh kerana penubuhan PAS adalah hasil keputusan yang diambil pada Persidangan Ulama yang sebenarnya dianjurkan oleh Umno, tidak wujud suasana permusuhan di antara PAS dan Umno pada awal tahun 1950han. Malahan, wujud pertindihan keahlian di antara PAS dan Umno.  Malahan artikel 22 perlembagaan PAS telah dipinda untuk membolehkan ahli jawatankuasa eksekutif PAS menjadi ahli parti lain. Tujuan pindaan ini ialah untuk memastikan kewujudan PAS tidak menyebabkan perpecahan dan membolehkan ahli-ahli Umno dan juga IMP (yang dipimpin Datok Onn selepas beliau meninggalkan Umno) sama-sama menyertai PAS. Walau bagaimana pun, Umno mula menunjukkan sikap bermusuhannya apabila PAS mula bertapak dan mendapat sokongan dari orang-orang Melayu. Umno juga tidak senang kerana presiden PAS ketika itu, Hj. Ahmad Fuad, dilihat sebagai mempunyai hubungan baik dengan Datok Onn.

Jelas di sini sikap dan pendirian Umno amat sempit dan tidak senang dengan hubungan baik yang terjalin di antara parti-parti lain, khususnya di antara PAS dan IMP. Walau pun demikian, pemimpin PAS ketika itu terus menunjukkan sikap berbaik dengan Umno. Sebagai contoh, pemimpin PAS di Machang telah mengalu dan melayan dengan baik dua pemimpin Umno, Tuanku Abdul Rahman dan Jaafar Albar, ketika mereka melawat Machang pada tahun 1954.

Sekiranya kita meneliti urutan peristiwa ini, nyata sekali penubuhan PAS bukanlah faktor yang memecahbelahkan orang Melayu kerana dari awal lagi PAS telah menunjukkan sikap terbuka dan menerima (accommodative). Sebaliknya, keresahan Umno kerana gagal mendapat keyakinan sebahagian orang Melayu yang menyebabkan ia mula bersikap bebal dan bengis. Tambahan pula, penubuhan PAS itu sendiri adalah hasil dari keputusan yang dibuat oleh Persidangan Ulama yang ditaja Umno dan direstui Umno. Jika benar penubuhan PAS adalah faktor yang menyebabkan perpecahan orang Melayu, maka Umnolah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perpecahan ini kerana tertubuhnya PAS adalah hasil dari keputusan golongan Umno sendiri.

Satu lagi perkara yang dapat kita lihat dari urutan peristiwa yang disebut di atas ialah perpaduan Melayu sebenarnya adalah satu mitos. Orang Melayu tidak pernah bersatu sama ada ketika atau selepas penjajahan British. Dan Umno sebenarnya adalah di antara faktor yang memecahbelahkan orang Melayu. Ini kerana perjuangan orang Melayu telah pun dijuarai PKM yang ditubuhkan lebih awal dari Umno. Oleh kerana perjuangan PKM tidak dapat diterima British, ia telah mengharamkan PKM dan secara de facto menjadikan Umno sebagai alternatif yang boleh diterimanya.

Jika kita melihat kepada sejarah semasa, Umno hari ini tidak boleh mendakwa dirinya sebagai faktor penyatu. Umno yang wujud hari ini adalah Umno Baru yang berusia hanya 16 tahun. Ia muncul dari perbalahan di antara Team A dan Team B yang telah membawa kepada pengharaman Umno pada tahun 1987. Umno yang ada hari ini adalah serpihan dari kemusnahan Umno yang asal. Dan pemimpin yang telah menyebabkan perpecahan ini ialah Mahathir sendiri. Malahan, sejarah kepimpinannya adalah sejarah yang dipenuhi oleh berbagai detik-detik hitam yang telah membawa kepada perpecahan orang Melayu. Adalah wajar sekali Mahathir diberi gelaran “Bapa  Segala Perpecahan”.

Namun tabiat menggunakan propaganda sebagai “sejarah” sudah menjadi resam Mahathir. Beliau mendakwa PAS tidak dapat membawa pembangunan. Tetapi sejarah menunjukkan Kelantan dan Terengganu di bawah Umno tetap mundur. Sejarah juga menunjukkan Umno sejak dari dahulu lagi mempunyai sikap tidak toleran dan bengis terhadap saingannya. Dato Onn dalam ucapannya pada 24 Februari 1950 telah dengan terang-terang menyatakan  sekiranya matlamat Umno tidak dapat dicapai secara aman ia mestilah bersedia menggunakan paksaan. Lee Kuan Yew dalam memoirnya juga telah menyalahkan Pemudan Umno sebagai bertanggungjawab menyebabkan persengketaan kaum di Singapura. Dan Tuanku Abdul Rahman sendiri dalam buku tulisannya mengenai 13 Mei telah menyatakan rusuhan perkauman yang berlaku pada hari itu bermula apabila ahli-ahli Umno merusuh.

Sikap bengis Umno ini juga dapat dilihat pada tindakannya yang  terbaru apabila ia mengarah MARA untuk menutup segera dua buah MRSM yang diusahakan bersama dengan Yayasan Terengganu. Akibat dari ini, pengambilan pelajar ke tingkatan 1 MRSM yang sepatutnya mengambil lebih kurang 2,000 orang pelajar terpaksa dikurangkan sebanyak 900 orang. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak Melayu, terutama dari keluarga miskin. Apakah tindakan sebegini dapat menyatukan orang Melayu?

Inilah tabiat orang bernama Mahathir dan parti bernama Umno. Pembohongan dan bertindak zalim sudah menjadi sebahagian dari darah daging mereka. Jika boleh, mereka  ingin menulis semula sejarah. Dan jika boleh, barangkali mereka akan mendakwa Mahathir adalah wira yang berjuang bersama Leftenan Adnan, walau pun pada ketika Leftenan Adnan mengorbankan nyawanya mempertahankan negara Mahathir hanya seorang remaja yang sibuk menjual ais kacang di Pekan Rabu, Alor Setar.